Pengarah dan Pegawai Syarikat

kamal-alrahman

1.0 PENGENALAN

Pengarah dan pegawai syarikat mempunyai maksud yang berbeza daripada sudut undang-undang. Pengarah suatu syarikat adalah pegawai-pegawai syarikat, tetapi tidak semua pegawai syarikat merupakan pengarah syarikat. Sebenarnya, pegawai syarikat mempunyai maksud dan pengertian yang lebih luas daripada pengarah syarikat.

Artikel ini bertujuan untuk memberikan pengertian dan justifikasi pengarah dan pegawai syarikat dengan lebih tuntas. Jelasnya, usahawan perlu memahami siapakah pengarah dan pegawai syarikat yang dimaksudkan oleh undang-undang disebabkan sosok ini digunakan bersilih ganti  serta saling berkaitan antara satu sama lain.

2.0 MAKSUD PEGAWAI SYARIKAT

Menurut seksyen 4 Akta Syarikat 2016, pegawai syarikat merangkumi:

  • (a) Pengarah, setiausaha atau pekerja syarikat;
  • (b) Penerima dan pengurus mana-mana bahagian usaha perbadanan yang dilantik di bawah kuasa yang terkandung dalam mana-mana dokumen undang-undang; dan
  • (c) Mana-mana pelikuidasi syarikat yang dilantik dalam penggulungan sukarela, tetapi tidak termasuk;
  • (d) penerima yang bukan juga pengurus;
  • (e) penerima dan pengurus yang dilantik oleh Mahkamah; atau(f) mana-mana pelikuidasi yang dilantik oleh Mahkamah atau oleh pemiutang.

Dalam konteks syarikat, pengarah, setiausaha dan pekerja syarikat didefinisikan sebagai pegawai suatu syarikat.

2. 1 Siapakah Pengarah dan Pegawai Syarikat?

Beberapa jenis jawatan atau gelaran pengarah syarikat berasal daripada pengarah de jure atau orang yang dilantik oleh lembaga pengarah ke jawatan pengarah syarikat menurut statut dan masih berkuatkuasa. Mereka dikenali dengan gelaran atau jawatan pengurusan seperti pengerusi lembaga pengarah, pengarah eksekutif, pengarah non-eksekutif, pengarah gantian, pengarah nomini dan juga pengarah bersekutu.

Jenis-jenis pengarah syarikat dinyatakan sama ada dalam Akta Syarikat 2016 ataupun dalam Jadual Ketiga Akta.

Lain-lain pegawai syarikat dilantik oleh syarikat melalui kontrak pekerjaan dengan terma-terma yang ditetapkan oleh Lembaga pengarah. Jawatan seperti Pengerusi Eksekutif, CEO, COO dan CFO merupakan pegawai-pegawai syarikat yang dilantik oleh Lembaga Pengarah yang mungkin dalam kalaangan lembaga pengarah itu sendiri.

3.0 JENIS-JENIS PENGARAH

Bahagian seterusnya memperincikan jenis-jenis pengarah yang lazimnya terdapat dalam suatu syarikat dan fungsi-fungsi mereka. Antara jenis-jenis pengarah syarikat adalah kategori de jure (dilantik secara sah menurut Akta Syarikat) ialah:

(a) Pengarah Eksekutif

(b) Pengarah Non-Eksekutif

(c) Pengarah Gantian

(d) Pengarah Nomini

(e) Pengarah Bersekutu

(f) Pengarah Urusan

3.1 Pengarah Eksekutif

Pengarah eksekutif merupakan seorang pengarah yang bekerja sepenuh masa dan dibayar gaji oleh syarikat. Peranan utama pengarah eksekutif ialah mengambil bahagian dalam pengurusan dan pentadbiran seharian syarikat. Lazimnya, pengarah eksekutif terdiri daripada anggota-angota pengurusan kanan syarikat yang diketuai oleh seorang Pengarah Urusan ataupun CEO.

Perkhidmatan mereka adalah tertakluk di bawah kontrak perkhidmatan yang mana terma dan syarat-syarat perkhidmatan ditetapkan oleh syarikat. Sebagai balasan, di samping gaji bulanan tetap, mereka menerima pelbagai elaun, bonus, insentif, faedah bukan wang dan ganjaran-ganjaran lain.

jenis-jenis-pengarah

Rajah 1: Jenis-jenis Pengarah dan Pegawai Syarikat

3.2 Pengarah non-Eksekutif

Pengarah non-eksekutif termasuk dalam jenis-jenis pengarah dan mereka tidak terlibat dalam pengurusan atau pentadbiran harian perniagaan syarikat dan tidak menerima gaji bulanan. Mereka melibatkan diri secara mengambil bahagian dalam mesyuarat Lembaga pengarah ataupun dalam mesyuarat jatawankuasa pengarah, terutamanya dalam kalangan syarikat tersenarai awam.

Pengarah non-eksekutif berperanan mengawasi tadbir urus syarikat supaya berada dalam landasan tadbir urus korporat yang betul. Mereka bertindak memberikan pandangan profesional lagi bebas untuk membantu Lembaga pengarah supaya sentiasa bertindak menurut kepentingan syarikat.

Tugas pengarah non-eksekutif (seperti ahli jawatankuasa audit, mewakili pemegang syer dan penanggung taruh lain) umumnya lebih kepada ‘check and balance’ untuk kepentingan syarikat dan pemegang syer keseluruhannya.

Di negara-negara maju, bilangan anggota pengarah non-eksekutif dalam sesuatu syarikat adalah lebih ramai berbanding dengan bilangan pengarah eksekutifnya. Hal ini disebabkan pengarah non-eksekutif mewakili banyak kumpulan pemegang taruh dan syarikat perlulah dipantau dengan rapi bagi melindungi kepentingan mereka.

3.3 Pengarah Gantian

Terdapat suatu kategori pengarah yang dinyatakan dalam komponen C definisi pengarah, yakni; pengarah silih ganti atau gantian. Pengarah gantian berfungsi bagi menggantikan pengarah yang tidak mampu hadir dalam mesyuarat lembaga atau tidak dapat melaksanakan kuasa-kuasanya sebagai pengarah dalam suatu tempoh masa tertentu.

Mana-mana pengarah boleh melantik seseorang (sama ada ahli kepada syarikat atau tidak) dengan kelulusan lembaga pengarah sebagai pengarah gantian dalam tempoh masa yang difikirkan perlu.

Pengarah gantian juga menjalankan kuasa-kuasa pengarah, yang mana perlaksanaan kuasa tersebut adalah berkuatkuasa sebagaimana perlaksanaan kuasa-kuasa biasa oleh para pengarah. Pengarah gantian hendaklah mengosongkan jawatannya apabila diminta oleh pengarah yang melantiknya.

Perlantikan semula pengarah yang melantik pengarah gantian hendaklah dikuatkuasakan dengan memberi notis bertulis di bawah tandatangan pengarah tersebut. Walau bagaimanapun, pengarah gantian lazimnya diamalkan oleh syarikat tersenarai awam sahaja.

3.4 Pengarah Nomini

Pengarah nomini merupakan seseorang yang dilantik bagi mewakili kepentingan kumpulan tertentu atau pihak lain.[1] Lazimnya, pengarah nomini berfungsi secara pasif sahaja dan meminjamkan nama mereka dalam syarikat yang dikawal oleh pemilik benefisial. Misalnya, seseorang yang dilantik oleh lembaga pengarah untuk mewaklili kepentingan:

(a) pemegang syer tertentu (misalnya syer pegangan KWSP),

(b) pemiutang (misalnya SME Bank),

(c) syarikat subsidiari (mewakli syarikat pemegangan); dan

(d) mewakili kepentingan kakitangan syarikat.

Pengarah yang telah dilantik sebagai seorang pekerja syarikat, atau yang telah dilantik sebagai seorang wakil kepada ahli-ahli, majikan atau pemegang debentur, hendaklah bertindak untuk kepentingan syarikat.

Jika berlaku apa-apa konflik antara tugasnya bertindak bagi kepentingan syarikat dan tugasnya terhadap orang yang mencalonkannya, dia tidak boleh mengenepikan kewajipannya untuk bertindak atas kepentingan syarikat  yang mencalonkannya.[2]

Dalam kebanyakan kes, pengarah nomini dianugerahkan autoriti tertentu melalui Power of Attorney oleh pemilik benefisial untuk menjalankan perniagaan, menguruskan syarikat dan menandatangani kontrak.

Dalam kes lain, terdapat syarikat yang ditubuhkan untuk menjalankan perniagaan secara usaha sama (joint-venture), kedua-dua belah pihak mempunyai hak untuk melantik beberapa orang pengarah nomini sebagai pengarah syarikat usaha sama. Oleh itu, pengarah nomini bertanggungan untuk bertindak bagi kepentingan syarikat yang diwakilinya.

3.5 Pengarah Urusan

Pengarah urusan merupakan suatu jawatan pengurusan paling tinggi dalam syarikat. Jawatan pengarah urusan boleh dipegang sama ada dengan melantik mana-mana pengarah yang sedia ada, ataupun dengan melantik orang luar bekerja sepenuh masa sebagai pengarah urusan dengan syarikat.

Pengarah urusan tertakluk kepada kontrak perkhidmatan dengan terma-terma yang telah ditetapkan oleh syarikat. Berkaitan dengan pengarah urusan, statut menetapkan bahawa:[3]

(a) lembaga pengarah boleh melantik seorang atau lebih pengarah urusan daripada masa kesemasa untuk suatu tempoh dan menurut terma-terma seperti difikirkan sesuai oleh Lembaga dan boleh membatalkan perlantikan tersebut.

(b) seorang pengarah yang dilantik ke jawatan pengarah urusan tidak dibenarkan (semasa memegang jawatan), tertakluk kepada persaraan mengikut giliran atau diambil kira dalam menentukan giliran persaraan pengarah, tetapi persaraannya hendaklah secara automatik ditentukan jika dia berhenti sebagai pengarah atas apa-apa sebab.

(c) pengarah urusan hendaklah tertakluk di bawah apa-apa terma-terma perjanjian yang dibuat, menerima saraan sama ada dalam bentuk gaji, komisyen atau penyertaan dalam keuntungan atau melalui cara-cara lain yang ditetapkan oleh Lembaga.

(d) lembaga pengarah boleh mengamanahkan dan memberikan kuasa kepada pengarah urusan dengan syarat dan terma-terma yang ditetapkan dan boleh membatalkan, menarik balik, menukar atau mengubah segala atau mana-mana satu daripada kuasa tersebut.

3.6 Pengarah Bersekutu

Terdapat syarikat-syarikat tertentu melantik pengarah bersekutu yang berfungsi sebagai pembantu kepada pengarah dalam urusan yang berkaitan dengan operasi, pentadbiran dan kewangan, perancangan strategi dan pembangunan syarikat dan lain-lain.

Dalam ertikata lain, pengarah bersekutu bertindak sebagai orang kanan pengarah, terutamanya ketika ketiadaan atau kesibukan pengarah dalam menguruskan hal-hal syarikat. Pengarah bersekutu adalah satu-satunya pengarah yang terletak  di bawah kawalan Lembaga pengarah.

Lembaga pengarah boleh melantik mana-mana orang sebagai pengarah bersekutu dan boleh daripada masa ke semasa membatalkan mana-mana perlantikan tersebut.[4]

Para pengarah boleh menentukan, mengubah kuasa-kuasa, kewajipan dan saraan mana-mana orang yang telah dilantik sebagai pengarah bersekutu, namun begitu, orang yang dilantik itu hendaklah:[5]

(a) tidak memegang syer untuk melayakkannya kepada perlantikan; dan

(b) tidak mempunyai hak menghadiri atau mengundi dalam mana-mana mesyuarat pengarah kecuali diundang dengan persetujuan lembaga pengarah.

Menurut seksyen 210 Akta, gelaran pengarah termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Ketua Pegawai Operasi (COO) atau orang-orang lain yang bertanggungjawab terutamanya dalam pengurusan syarikat.  Berikut dibincangkan gelaran atau panggilan pegawai syarikat berstatus pengarah dan fungsi mereka dalam sesuatu syarikat.

3.7 Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)

Kebanyakan syarikat mempunyai pengarah urusan atau ketua pegawai Operasi (CEO) yang bertanggungjawab dalam pengurusan harian perniagaan syarikat. Perlembagaan hendaklah memberi kuasa kepada para pengarah untuk melantik seseorang dalam kalangan mereka ataupun daripada kakitangan syarikat untuk memegang jawatan sebagai pengarah urusan/ ketua pegawai eksekutif.

Lembaga pengarah boleh menetapkan bidang kuasa ketua pegawai eksekutif/ pengarah urusan, misalnya; kuasa menandatangani cek, menandatangani mana-mana perjanjian, melantik pengurus dan kakitangan yang lain melalui suatu resolusi yang diluluskan oleh majoriti pengarah-pengarah.

Perlantikan seseorang ketua pegawai eksekutif/ pengarah urusan juga tertakluk kepada kontrak pekerjan atau penggajian antara majikan dan pekerja, dan menerima apa-apa bentuk balasan (gaji, komisyen, dan sebagainya) sebagaimana yang dipersetujui oleh lembaga pengarah.

Akta Syarikat tidak menetapkan sebarang prosedur atau syarat-syarat dalam perlantikan seseorang ketua pegawai eksekutif/ pengarah urusan. 

3.9 Pengerusi Lembaga Pengarah

Syarikat awam dan terhad oleh jaminan dikehendaki mengadakan mesyuarat agung tahunan setiap tahun kalendar dan juga mesyuarat ahli-ahli. Perlembagaan boleh menetapkan perlantikan pengerusi lembaga pengarah bagi suatu tempoh masa.

Pengarah boleh memilih salah seorang daripada para pengarah yang ada sebagai pengerusi Lembaga pengarah dan menetapkan tempoh baginya memegang jawatan.[6] Hak dan kewajipan Pengerusi Lembaga Pengarah adalah sama dengan pengarah-pengarah lain.

Peranan Pengerusi Lembaga Pengarah dalam mesyuarat adalah untuk mengatur dan menentukan siapakah yang akan bercakap, pembentangan agenda, melayani sebarang pertanyaan, membentang resolusi untuk kelulusan ahli-ahli, urusan-urusan lain syarikat, penangguhan mesyuarat dan menandatangani minit-minit mesyuarat.

Pengerusi Lembaga pengarah juga mempunyai undi pemutus dalam suatu keputusan akhir jika mendapati jumlah undian ahli-ahli yang menyokong dan yang tidak menyokong sesuatu usul adalah sama.

Malaysian Code on Corporate Governance 2102 mencadangkan supaya peranan Pengerusi Lembaga Pengarah berasingan daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi memastikan terdapat keseimbangan kuasa dan authoriti, supaya tiada individu mempunyai kuasa yang tidak dapat dikawal dalam membuat sebarang keputusan.

3.10 Pengarah Pentadbiran

Pengarah pentadbiran (governing director) merupakan suatu jawatan yang terdapat dalam kalangan syarikat kawalan keluarga dan dizahirkan bidang kuasanya dalam Perlembagaan. Pengarah pentadbiran mempunyai kuasa-kuasa berikut:

(a) kuasa untuk melantik dan memecat seseorang pengarah;

(b) kuasa boleh membatalkan apa-apa keputusan Lembaga pengarah;

(c) kuasa menghadkan kuasa mana-mana pengarah;

(d) kuasa mencalonkan pengganti;

(e) kuasa tunggal untuk meluluskan apa-apa transaksi tanpa kelulusan Lembaga pengarah;

(f) kawalan penuh dalam pengurusan dan perniagaan syarikat;

(g) memiliki kelas syer khas yang disertakan dengan hak mengundi; dan

(h) jawatannya seumur hidup.

4.0 MELANTIK PENGARAH DAN PEGAWAI SYARIKAT

Sebagai tambahan, mungkin newbies ingin tahu bagaimana pelantikan pengarah dan pegawai syarikat dilaksanakan. Misalkan, syarikat Kitamaju Sdn. Bhd. mempunyai dua orang pengarah dan pengasas syarikat; yakni A dan B, kedua-dua mereka juga merupakan pemegang syer syarikat.

Disebabkan syarikat meningkat maju, lembaga pengarah bersetuju untuk melantik seorang CFO bagi membantu mereka menjaga hal-ehwal kewangan syarikat.

Syarikat telah bersetuju untuk melantik A sebagai CEO, B sebagai COO dan C sebagai CFO dalam mesyuarat lembaga pengarah syarikat yang lepas. Pihak Human Resource Department akan mengeluarkan surat kontrak pekerjaan kepada pegawai-pegawai tersebut.

Dalam kes Kitamaju Sdn. Bhd. ini, pengarah syarikat terdiri daripada A dan B sahaja. Pada masa yang sama, A, B dan C  adalah pegawai-pegawai syarikat. Daripada segi teknikalnya, A dan B adalah pengarah de jure (yang dilantik menurut statut dan masih berkuatkuasa). Sementara C merupakan pegawai kanan syarikat yang dilantik di bawah suatu kontrak pekerjaan, walaupun berjawatan sebagai Pengarah Kewangan Syarikat.

———————————————————————————

[1] Aiman Nariman Mohd Sulaiman dan Aishah Bidin, 2002, Commercial Application of Company Law in Malaysia, CCH Asia Pte. Ltd.

[2] Seksyen 217(1) AS 2016

[3] Perenggan 22-25, Jadual Ketiga

[4] Perenggan 26, Jadual Ketiga.

[5] Perenggan 27, Jadual Ketiga.

[6] Para 1, Jadual Ketiga

Posted on Leave a comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *