Memahami Syer Keutamaan

kamal-alrahman

PENGENALAN

Artikel memahami syer keutamaan (preference shares) ini bertujuan untuk memberikan pencerahan kepada lembaga pengarah mengenai suatu kaedah lain bagi meningkatkan modal syarikat.

Syarikat yang ditubuhkan tanpa Perlembagaan, hendaklah menerbitkan Perlembagaan baharu dengan memasukkan klausa syer-syer keutamaan dalamnya.

Bagi syarikat yang sudah ada Perlembagaan, dan mempunyai modal syer, mereka boleh menerbitkan syer-syer keutamaan (preference shares).[1]

Lazimnya, pemegang syer keutamaan akan dibayar dividen terlebih dahulu berbanding dengan pemegang syer biasa. Dengan pemilikan syer keutamaan, pelabur (individu atau syarikat) mendapat pulangan dividen yang lebih baik  daripada pemegang syer biasa syarikat.

APAKAH SYER KEUTAMAAN?

Syer keutamaan dikenali sebagai instrumen pembiayaan hibrid, disebabkan ia mempunyai kedua-dua sifat yang menyamai ekuiti dan hutang. Dalam memahami syer keutamaan, ia bersifat ekuiti, tetapi pada masa yang sama ia adalah hutang syarikat yang perlu dibayar sehingga tamat tempoh yang ditetapkan.

Dengan terbitan syer-syer keutamaan, syarikat tidak perlu berhutang dengan pihak institusi kewangan lagi.

Tujuan Menerbitkan Syer Keutamaan

Tujuan menerbitkan syer keutamaan kepada pelabur ialah untuk mendapatkan modal yang besar. Modal ini akan digunakan bagi membiayai projek-projek yang berdaya maju lagi menguntungkan.

Sesuai dengan gelaran keutamaan, pemegang syernya akan diberi keutamaan dalam aspek pengagihan dividen berbanding dengan pemegang syer-syer biasa.

Walau bagaimanapun, pemegang saham keutamaan tidak mempunyai hak mengundi atau mengambil bahagian dalam pengurusan dan pentadbiran syarikat.

Syer-syer keutamaan biasanya dikeluarkan oleh syarikat-syarikat bersaiz besar atau syarikat awam sebagai suatu sumber dana jangka panjang untuk membiayai projek mereka. Dengan memahami syer keutamaan, pengarah syarikat lebih cakna kaedah mendapatkan modal kerja tanpa berhutang kepada bank.

Ciri-ciri Syer Keutamaan

Syer-syer keutamaan mempunyai gabungan ciri-ciri khas hutang dan ekuiti biasa. Walaupun terma syer-syer keutamaaan mungkin berbeza-beza, namun mempunyai ciri-ciri berikut:

1. Keutamaan dalam mendapatkan aset jika berlaku pembubaran:

Pemegang syer keutamaan diberikan keistimewaan berbanding dengan pemegang syer-syer biasa bagi menuntut aset-aset syarikat selepas dibubarkan.

2. Keutamaan dalam dividen:

Pemegang syer keutamaan mempunyai keutamaan dalam pembayaran dividen berbanding pemegang syer biasa.

3. Tidak mengundi:

Secara amnya, syer keutamaan tidak memberikan hak mengundi kepada pemegangnya. Walau bagaimanapun, beberapa syer keutamaan membenarkan pemegangnya mengundi pada acara luar biasa.

4. Kebolehtukaran kepada syer biasa:

Syer keutamaan boleh ditukar kepada bilangan syer biasa yang telah ditetapkan. Sesetengah syer keutmaaan menyatakan tarikh di mana syer boleh ditukar, manakala yang lain memerlukan kelulusan daripada lembaga pengarah untuk penukaran.

5. Boleh Dipanggil:

Syer boleh dipanggil oleh penerbit pada tarikh yang ditetapkan.

KELEBIHAN SYER KEUTAMAAN

  • (a) Menikmati hak keutamaan atas dividen;
  • (b) Menikmati keutamaan bayaran semula modal sekiranya syarikat digulung;
  • (c) Tiada caj dikenakan atas aset; dan
  • (d) Tiada kehilangan kawalan atas syer dalam syarikat.

KELEMAHAN SYER KEUTAMAAN

  • (a) Tidak memiliki hak mengundi;
  • (b) Tidak boleh mengambil bahagian dalam pengurusan syarikat; dan
  • (c) Melibatkan kos sumber kewangan yang tinggi.

Pemilik syer keutamaan hilang hak kawalan ke atas syarikat, yang mana hak kawalan terletak ditangan pemilik syer-syer ekuiti. Walau bagaimanapun, tujuan utama pelabur membeli saham keutamaan ialah jangkaan pulangan dalam bentuk dividen yang tinggi terutamanya dalam syarikat yang berdaya maju.

Syarat utama syer keutamaan yang diterbitkan oleh syarikat ialah boleh ditebus selaras dengan kehendak Perlembagaan.[2] Penebusan syer keutamaan hendaklah tidak boleh dianggap sebagai akan mengurangkan jumlah modal syer syarikat.[3]

JENIS-JENIS SYER KEUTAMAAN

Syer-syer keutamaan lazimnya dibahagikan kepada:

(a) Kumulatif (cumulative) ~ dividen semasa dibayar pada kadar yang ditetapkan beserta dengan dividen yang terkumpul jika syarikat mengalami kerugian pada tahun-tahun kewangan yang lepas.

(b) Penyertaan (participative) ~ kadar dividen seperti yang ditetapkan dibayar kepada pemegang syer-syer keutamaan, dan dividen tambahan akan ditokok lagi selepas pembayaran dividen ke atas pemilik syer-syer biasa selesai.

(c) Boleh tebus (redeemable) ~ harga syer ditetapkan pada masa syer itu diterbitkan dan syer-syer ini boleh dibeli oleh syarikat pada jumlah harga tertentu selepas suatu tempoh yang ditetapkan.

(d) Boleh tukar (convertible) ~ syer-syer keutamaan boleh ditukar kepada syer-syer biasa yang mana pemegang syer akan menerima manfaat seperti pemegang syer biasa. Lazimnya, jika syarikat gagal memenuhi syarat membayar balik pinjaman, maka pihak pelabur diberi hak untuk menukar jumlah pinjaman kepada syer biasa, seterusnya menjadi pemegang syer syarikat.

Contoh 1.01:

Hospital Putra Specialist Sdn. Bhd. memerlukan modal tambahan sebanyak RM10 juta untuk melengkapkan bangunan dan peralatan hospitalnya. Lembaga pengarah bersetuju untuk menerbitkan syer-syer keutamaan kepada pihak pelabur yang berminat.

Kama Capital Sdn. Bhd. telah berminat untuk melanggan syer-syer keutamaan hospital tersebut. Tawaran syer-syer keutamaan pihak Hospital Putra Specialist Sdn. Bhd. adalah seperti berikut:

Jenis Syer Keutamaan: Syer Keutamaan Terkumpul Boleh Tebus

(a) Jumlah syer keutamaan 10,000,000 unit pada harga RM1.00 seunit syer (andaikan harga pasaran seunit syer biasa ialah RM1.00).

(b) Kadar dividen 5% – 6% setahun.

(c) Tempoh penebusan semula syer – 7 tahun

Pemegang syer keutamaan akan dibayar dividen 6% setiap tahun. Jika berlaku kerugian, dividen akan dibawa ke tahun hadapan sebelum dividen kelas-kelas syer lain dibayar.

Lazimnya, pihak lembaga pengarah akan bekerjasama dengan peguamcara komersial yang dilantik untuk menyediakan perjanjian penerbitan Syer Keutamaan Terkumpul Boleh Tebus dengan pihak pelabur.

Setiausaha syarikat akan menyediakan resolusi khas terbitan Syer Keutamaan Terkumpul Boleh Tebus dan memastikan wang pelaburan RM10,000,000 daripada Kama Capital Sdn. Bhd. sudah diterima oleh pihak peguam yang dilantik.

Peruntukan syer-syer keutamaan akan diproses dan dilaksanakan dilaksanakan melalui MyCoid.

Pihak Hospital Putra Specialist Sdn. Bhd. akan membayar dividen sebanyak RM600,000.00 setahun kepada Kama Capital Sdn. Bhd. selama tujuh tahun. Syer keutamaan berjumlah RM10,000,000.00 itu akan ditebus semula oleh pelabur pada awal tahun kelapan.

PENEBUSAN SEMULA SYER KEUTAMAAN

Bagi memahami syer keutamaan, syer keutamaan boleh ditebus hanya jika syer-syer tersebut telah dibayar penuh oleh pemegang-pemegang syer, dan penebusan syer-syer itu hendaklah dibuat daripada sumber-sumber berikut:[4]

(1) Keuntungan;

(2) Terbitan syer-syer baharu; atau

(3) Modal syarikat.

Syer-syer yang ditebus selain daripada hasil terbitan syer baharu hendaklah dikeluarkan daripada keuntungan yang telah tersedia untuk dividen, kemudian dipindahkan ke dalam akaun modal syer syarikat berjumlah bersamaan dengan amaun syer yang hendak ditebus.[5]

Penebusan syer daripada modal syarikat hanya boleh dilakukan jika:[6]

(a) Semua pengarah telah membuat pernyataan kesolvenan (kemampuan membayar hutang syarikat setelah bayaran dividen dilaksanakan) di bawah seksyen 113 berhubung dengan penebusan tersebut; dan

(b) Syarikat telah menyerah-simpan sesalinan pernyataan kesolvenan membayar itu kepada Pendaftar.

Setelah syer keutamaan itu ditebus, syarikat hendaklah memberikan notis kepada Pendaftar dengan menyatakan syer yang telah ditebus itu dalam tempoh empat belas hari daripada tarikh penebusan.[7]

Sebelum Akta Syarikat 2016 dikuatkuasakan, syarikat berhad oleh syer menerbitkan syer-syer pada nilai par RM1.00 setiap unit syer. Namun begitu, semua syer yang diterbitkan pada Akta Syarikat ini bermula tidak lagi mempunyai nilai par atau nilai nominal.[8] Dalam erti kata lain, syer tidak mempunyai nilai tara, tetapi mengikut nilai pasaran semasa.

——————————————–

[1] Seksyen 72(1) AS 2016

[2] Seksyen 72(2) AS 2016

[3] Seksyen 72(3) AS 2016

[4] Seksyen 72(4) AS 2016

[5] Seksyen 72(5) AS 2016

[6] Seksyen 72(6) AS 2016

[7] Seksyen 72(7) AS 2016

[8] Seksyen 74 AS 2016

Posted on 1 Comment

1 thought on “Memahami Syer Keutamaan

  1. […] Memahami Syer Keutamaan […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *