Dibelenggu Masalah Kehidupan

kamal-alrahman

1.0 APAKAH BELENGGU KEHIDUPAN?

a. Manusia tidak dapat lari daripada dibelenggu masalah kehidupan sejak kecil lagi. Ada yang berjaya mengatasi belenggu kehidupan ini, dan ada yang tidak. Belenggu kehidupan menyebabkan seseorang itu ketinggalan, lantaran gagal memecah kepompong belenggu yang bersarang dalam minda.

b. Dibelenggu masalah kehidupan bermaksud apa-apa perkara atau peristiwa lalu yang kekal terbenam dalam minda separuh sedar seseorang. Akibatnya, hal ini boleh mendatangkan trauma yang buruk dalam kehidupan mereka.

c. Isu ini sangat serius untuk ditangani, lantaran ia boleh menjadi batu penghalang seseorang untuk bergerak menuju matlamat.

2.0 PUNCA-PUNCA  BELENGGU KEHIDUPAN

a. Semua peristiwa yang mendatangkan trauma dalam hidup akan tinggal kekal bertindan-lapis dalam minda separuh sedar kita. Lantas, semua hal ini akan membelenggu kehidupan sesesiapa sahaja. Seorang itu perlulah  membuangnya supaya tidak dibelenggu masalah, dan dapat hidup bebas daripada lingkaran belenggu kehidupan yang tidak berkesudahan.

b. Misalnya, jika seseorang itu gagal 2-3 kali dalam perniagaan, hilang wang dikencing oleh kawan,  eksiden dan patah kaki, kekasih diambil orang, kena sihir, motorsikal kena curi, anak meninggal dunia, dibuang kerja, tiada pendapatan dan lain-lain – semua episod malang ini akan tingggal kekal dalam minda separuh sedar mereka.

c. Akibatnya, jadilah kita manusia yang dungu, monyok, hilang semangat dan tidak mampu nak move-on lantaran dibelenggu masalah ngeri masa lampau.  Apa-apa perkara yang kita lakukan semuanya tidak berjaya, walaupun sudah berusaha.

d. Ironinya, kita melihat sesuatu belenggu itu daripada perspektif negatif sahaja, sehingga belenggu itu berjaya merantai kehidupan kita. Terfikirkah kita untuk membuang semua belenggu kehidupan ini supaya kita dapat bebas daripadanya?

3.0 JENIS-JENIS BELENGGU KEHIDUPAN

a. Terdapat tujuh faktor yang boleh membelenggu seseorang sehingga menyebabkan suara hati (conscience) menjadi tertutup mati. Bayangkan, hidup kita dibelenggu masalah tersimpul mati. Berikut dibincangkan penyebab yang boleh mencetuskan belenggu kehidupan dalam kehidupan seseorang.

3.1   Prasangka negatif terhadap diri sendiri

a. Prasangka negatif merupakan elemen jahat terbina dalam yang mensabotaj diri sendiri untuk sukses dalam hidup. Kita sering melihat atau menganggap sesuatu itu mustahil, atau mengarut tanpa terlebih dahulu mencubanya.

b. Sebenarnya, kita sendiri yang memblokir minda bagi mencapai sukses dalam apa-apa lapangan kehidupan. Perbuatan ini merupakan suatu sabotaj, dan menzalimi diri sendiri. Kita melihat dan bertindak daripada perspektif yang lemah, tidak mampu berjaya seperti orang lain dan sentiasa memilih berundur kebelakang.

c. Fahami dan bayangkan sitauasi ini:

1. Usaint Bolt mengambil masa lebih empat tahun berlatih untuk menjadi pelari pecut 100 meter dunia di bawah 10 saat. Pada tahun ketiga berlatih, beliau masih gagal bergelar raja pecut 100 meter dunia. Menurut minda orang biasa, Usaint Bolt sepatutnya berhenti sahaja. Namun begitu, mindanya tidak dibelenggu dengan kegagalan masa lampau. Lantas beliau meneruskan latihan dan larian pada tahun keempat tanpa putus asa. Hasilnya, Usaint Bolt berjaya menjadi manusia terpantas dunia dengan larian 9. 72 saat di kejuaraan 100 meter Olimpik pada tahun 2008.

2. Abraham Lincoln berjaya menjadi Presiden ke 16 USA dalam tahun 1861, setelah tiga kali bertanding dalam pilihanraya. Jika beliau berperasangka negatif, faktor ini sudah tentu membelenggu dirinya sendiri, dan beliau tidak akan berpeluang untuk menjadi Presiden Amerika. Namun begitu, Abraham Lincoln meneruskan misinya tanpa erti kegagalan dalam mindanya.

3. Amalina Che Bakri berjaya mencapai keputusan 17 A1 dalam peperiksaan SPM 2004, dan menjadi rekod Malaysia. Kejayaan beliau dalam peperiksaan SPM berasaskan kepada inisiatif beliau yang suka berjumpa guru untuk berbincang mengenai pelajaran serta mempunyai keyakinan yang kuat untuk berjaya. Beliau hanyalah seorang murid sekolah biasa sahaja, iaitu SMK Ulu Tiram, Johor Bahru. Bagaimana Amalina mempunyai keyakinan yang kuat untuk berjaya, walaupun beliau bukan daripada aliran sekolah berasrama penuh?

3.2   Prinsip hidup

a. Ramai daripada kita mempunyai prinsip hidup yang akhirnya dibelenggu masalah yang menyukarkan kehidupan. Misalnya prinsip hidup yang berasaskan kepercayaan kolot, amalan ritual, atau suatu budaya yang menjadi pegangan. Kita tahu rezeki itu telah ditetapkan Allah, lantas kita mengambil jalan tidak mahu belajar dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan. Sedangkan, jika rezeki sudah dihadapan mata, kita perlu menyuapnya kedalam mulut, dan mengunyahnya.

b. Mungkin seseorang itu mempunyai matlamat peribadi untuk menjadi jutawan dalam bidang MLM sebelum umur 40 tahun. Malangnya, dia mempunyai prinsip hidup “mustahil” aku boleh. Dengan tersendirinya dia  menafikan kebolehan, dan mensabotaj dirinya sendiri. Bukannya orang lain!

c. Keluar daripada kampung dan merantau merupakan suatu cara menukar prinsip hidup yang mandiri untuk mencari kehidupan yang lebih selesa. Prinsip hidup mandiri di kampung dibelenggu masalah kehidupan susah, lantas lekat kekal dalam minda separuh sedar. Belenggu kehidupan susah ini tinggal dalam minda disebabkan kesan visual melihat keberadaan orang-orang disekelilingnya. Pada hal, hidup di kampunglah lebih mudah untuk berjaya, jika seseorang itu berikhtiar dan rajin berusaha.

d. Buat adik-adik yang bercita-cita untuk belajar ke seberang laut, mereka mestilah memasang prinsip hidup yang betul seperti membujur lalu melintang patah, masa itu emas, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya, sikit-sikit lama-lama jadi bukit dan sebagainya. Bukannya dengan membelenggu diri sendiri dengan mengenang nasib malang siang dan malam.

3.3   Pengalaman lampau

a. Trauma pengalaman masa lampau mampu menjadi penghalang utama kejayaan. Pengalaman buruk ini  boleh menyukarkan seseorang untuk move-on sesuatu dengan berjaya. Misalnya, pengalaman masa lampau pernah didera dan dipukul oleh suami boleh menyebabkan seorang wanita itu takut untuk berkahwin lagi. Akibatnya, wanita itu lebih yakin untuk hidup sendiri bersama dengan anak-anaknya.

b. Terdapat juga kaum wanita yang trauma untuk memandu kereta disebabkan pernah mengalami kemalangan jalanraya sehingga dimasukkan di wad kecemasan.

c. Umumnya, ramai orang dibelenggu masalah masa lampau yang bersarang dalam minda separuh sedar mereka. Misalnya, saya pernah mendengar kisah kejayaan seorang jutawan MLM. Menurutnya, beliau sudah tutup terus mindanya untuk melibatkan diri dalam industri jualan langsung disebabkan syarikat MLM yang disertainya dahulu ditutup tiba-tiba dan gagal membayar komisyennya.

d. Selang beberapa tahun kemudian, seorang kawannya telah mengajaknya join satu syarikat MLM baharu. Beliau menolaknya mentah-mentah. Disebabkan beliau mengalami sakit tonsil, beliaupun mencuba produk MLM baharu itu. Hasilnya sangat menakjubkan, sembuh! Sungguh pantas beliau merebut peluang, dan kini beliau berjaya menjadi jutawan produk MLM tersebut.

3.4   Kepentingan Peribadi

a. Orang yang prinsipnya adalah politik, akan memikirkan sesuatu yang dapat memberikan keuntungan kepada kepentingan politiknya. Mereka yang memegang prinsip penghargaan peribadi, akan mengutamakan keputusan yang dapat menonjolkan peribadinya. Mereka yang berprinsip kepada persahabatan, akan mengutamakan sesuatu yang dapat mengukuhkan lagi persahabatan. Orang yang berprinsip kepada persaingan antara rakan, akan mengutamakan sesuatu yang menjatuhkan lawannya dan mengangkat namanya. Orang yang berprinsip kepada kemenangan berpasukan, akan mementingkan dan mendahulukan kemenangan pasukan meskipun perlu mengorbankan diri.

b. Prinsip yang dipegang atau diyakini oleh seseorang, akan menentukan kepentingan peribadinya. Seterusnya, prinsip yang dipegang ini akan melahirkan kepentingan, dan kepentingan ini akan menentukan prioriti sesuatu keputusan atau tindakan. Misalnya, untuk naik ke atas dalam politik, prinsip yang dipegang mestilah mencantas atas menjatuhkan rivalnya.

c. Setiap manusia yang suka bersaing, sering menerbitkan persaingan yang tidak sihat dengan lawannya. Suatu ketika dahulu (30 tahun yang lepas) saya suka makan mee rebus di suatu gerai tepi jalan di Kg. Kerinchi. Mee rebusnya sedap dan laris jualannya. Tiba-tiba sahaja Pak Cik mee rebus itu tidak mahu lagi menjual mee rebusnya. Saya bertanya kepadanya kenapa tidak jual mee rebus lagi. Rupanya Pak Cik itu bengang dengan gerai disebelahnya yang turut menjual mee rebus selepas melihat jualan mee rebusnya meletop. Wujudnya kepentingan menyebabkan gerai disebelah Pak Cik menjual produk yang sama dan saling bersaing.

d. Kepentingan politik sangat besar kesan dan pengaruhnya dalam suatu negara. Untuk menjaga kepentingan sendiri, ahli-ahli politik dengan menggunakan wang dan pemberian projek sebagai alat untuk mengekalkan kuasa. Kuasa digunakan semaksimum mungkin bagi menjatuhkan lawan mereka sehingga tidak boleh bangun lagi.

3.5   Sudut Pandangan

a. Sudut pandangan manusia berbeza-beza. Namun begitu, sudut pandangan daripada pelbagai segi boleh mendatangkan hasil yang lebih baik. Misalnya, kita memajakkan tanah kepada fakir miskin untuk berkebun sayur dan menternak ayam.

b. Hasilnya, fakir miskin itu boleh jual sayur-sayuran sebagai sumber rezeki keluarganya. Di samping itu, tuan tanah juga dapat makan sayur-sayuran percuma berbanding dengan jika tanah itu terbiar begitu sahaja.

c. Fakir miskin itu tidak mempunyai kenderaan untuk menjual sayur-sayurannya di bandar. Tuan tanah melantik Pak Abu seorang pekedai runcit di kampung itu untuk menjualnya kepada pemborong sayur-sayuran di bandar.

d. Hakikatnya, semua sudut pandangan orang lain hendaklah diambil kira, yakni cara berfikir menyeluruh dan lengkap merupakan cara yang bijaksana. Namun begitu, sudut pandangan yang sempit boleh membuatkan seseorang itu dibelenggu masalah kehidupan yang berpanjangan.

3.6   Perbandingan

a. Manusia sering kecewa disebabkan membuat perbandingan berdasarkan penilaian fikiran masa lalu, tetapi bukannya realiti masa kini. Kita tidak boleh tunduk kepada fikiran masa lalu bahawa lahir daripada ibu-bapa miskin menyebabkan kita juga akan hidup miskin seperti mereka.

b. Membandingkan diri tanpa memperbaiki diri boleh menjadi belenggu kehidupan yang menyekat kita daripada mencapai kemajuan.

c. Tony Robbins merupakan seorang anak miskin daripada California, tetapi beliau melihat orang-orang yang berjaya dengan cara cuba mengikuti jejak langkah mereka. Beliau ingin mengubah kehidupannya, tetapi tiada wang untuk menghadiri suatu kursus motivasi. Walaupun beliau dibelenggu kemiskinan, beliau berikhtiar bersungguh-sungguh dan tidak menyalahkan sesiapa atas kemiskinan yang dihadapinya. Tidak hairanlah Tony Robbins kini menjadi pakar motivasi berjaya di USA. Dibelenggu masalah kehidupan seperti kemiskinan mampu dihadapinya dengan menyerap nilai, sikap dan tindakan orang-orang yang berjaya disekelilingnya.

3.7   Fanatik

a. Sikap fanatik terhadap sesuatu boleh menjadi suatu belenggu yang menghalang kemajuan. Lawannya ialah bersikap fleksibel. Sikap fanatik yang sangat rigid sehingga seseorang itu tidak boleh menerima sesuatu, walaupun untuk kebaikan dirinya.

b. Apa yang dia lihat hanyalah dia tidak berminat, taksub kepada sesuatu. Misalnya, tidak mahu masuk universiti disebabkan tidak berminat dengan kursus yang ditawarkan. Sedangkan, minat boleh dipupuk sikit demi sedikit. Sifat fanatik akan sesuatu tidak membantu seseorang, anggaplah fanatik itu sebagai rantai yang mengikat kaki untuk menuju kejayaan.

4.0 KESIMPULAN

Belenggu kehidupan perlu dibuang dalam minda separuh sedar seseorang dan hendaklah dibingkai semula (reframing). Terdapat beberapa teknik untuk membuang belenggu kehidupan ini supaya ia tidak menghalang potensi kehidupan seseorang untuk berjaya. Dapatkan khidmat perundinganan daripada Certified NLP Coach bagi membantu anda mengatasi masalah ini.

 

 

Ready to take your business to the next level?

Get in touch today and receive a complimentary consultation.

Posted on Leave a comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *