Syarikat Tidak Berhad

kamal-alrahman

PENGENALAN

Syarikat tidak berhad (STB) merupakan suatu syarikat yang memiliki liabiliti tidak terhad terhadap semua ahli-ahlinya.[1] Akibatnya, pemiutang mempunyai akses ke atas harta peribadi ahli-ahli tanpa had jika syarikat itu digulung dan tidak cukup dana bagi melangsaikan hutang piutang syarikat.

Sifat liabiliti tidak terhad ini menyebabkan liabiliti ahli-ahli STB setaraf dengan liabiliti perniagaan milik tunggal atau perkongsian konvensional sahaja.

Perbezaan Syarikat Berhad Oleh Syer Dengan STB

Syarikat tidak berhad boleh ditubuhkan sebagai sebuah syarikat persendirian atau awam. Tambahan pula, STB dikehendaki oleh Akta tidak mempunyai modal syer seperti syarikat persendirian dan awam. Ahli-ahli STB yang lepas hanya bertanggungan jika dia berhenti menjadi ahli dalam tempoh kurang daripada satu tahun sebelum STB itu digulung.

Dalam erti kata lain, jika orang itu berhenti daripada menjadi ahli lebih daripada satu tahun selepas STB itu digulung, dia tidak bertanggungan apa-apa. Bertanggungan jika terdapat kes-kes penggulungan STB sahaja.

Nama suatu syarikat persendirian tidak berhad hendaklah diakhiri dengan ‘Sendirian” atau “Sdn.”

Kelebihan STB Di Sisi Undang-undang

Disebabkan sifat liabiliti tidak terhad terpakai dalam syarikat tidak berhad, maka apakah kelebihan utamanya disisi undang-undang?

Pertama: Personaliti undang-undang yang berasingan

STB masih menikmati keistimewaan personaliti undang-undang yang berasingan, walaupun liabilitinya adalah terhad. STB juga bertaraf orang buatan undang-undang atau dikenali sebagai artificial person.

Kedua: Memiliki harta dan berkontrak

Boleh memiliki harta dan berkontrak atas namanya sendiri sama seperti syarikat sendirian berhad.

Ketiga: Menjaga kerahsiaan syarikat

Syarikat tidak berhad juga tidak perlu menyerah-simpan Penyata Kewangan di pejabat Pendaftar setiap tahun kalendar sebab tergolong dalam syarikat persendirian dikecualikan. Walau bagaimanapun, para pengarah dikehendaki menyediakan penyata kewangan STB setiap tahun.

Secara tidak langsung, syarikat jenis ini dapat merahsiakan maklumat kewangan perniagaan daripada diakses oleh pihak awam.

Keempat: Meningkatkan keyakinan pemiutang

Seandainya syarikat digulung, pengarah syarikat tidak berhad juga akan bertanggungan atas segala harta peribadinya. Oleh itu, syarikat akan lebih berhati-hati dalam membuat pinjaman supaya tidak melebihi keupayaan membayar syarikat.

Kelima: Hayat berkekalan

Sama seperti syarikat persendirian, hayat syarikat jenis ini berkekalan dan boleh diwarisi atau dijual kepada pihak lain.

STB boleh dikenali berdasarkan namanya yang perlu diakhiri dengan perkataan ‘Sendirian’ atau singkatannya ‘Sdn.’[2] Namun begitu, syarikat jenis ini tidak popular disebabkan sifat tanggungan tidak terhad tersebut, sama seperti milikan tunggal atau perkongsian konvensional.

KESIMPULAN

Syarikat tidak berhad tidak popular, dan hampir tiada orang yang inginkannya sebagai bentuk perniagaan mereka. Kelemahan utamanya ialah sifat liabiliti tidak terhad itu manakutkan sesiapa sahaja yang ingin menubuhkannya. Walau bagaimanapun, sifat-sifat lain syarikat masih sama dengan STB.


[1] Seksyen 10(4) AS 2016

[2] Seksyen 25(1)(c) AS 2016

Posted on 1 Comment

1 thought on “Syarikat Tidak Berhad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *