Prinsip Entiti Berasingan Syarikat

kamal-alrahman

ENTITI UNDANG-UNDANG YANG BERASINGAN

Prinsip entiti berasingan syarikat sangat istimewa, dan direka sebegitu rupa oleh undang-undang untuk mengasingkan syarikat dengan orang-orang melibatkan diri dengannya. Sifat entiti yang berasingan boleh difahami sebagai terpisahnya syarikat daripada pengarah, pegawai dan ahli-ahlinya.

Statut menetapkan syarikat yang ditubuhkan di bawah AS 2016 merupakan sebuah perbadanan dan mempunyai sifat-sifat berikut:[1]

(a) Personaliti undang-undang yang berasingan daripada ahli-ahli, pengarah dan pegawai syarikat; dan

(b) Wujud berterusan sehinggalah ianya dikeluarkan daripada senarai daftar melalui penggulungan atau “strike-off.”

Rasional Sifat Entiti Undang-undang Yang Berasingan

Sifat personaliti undang-undang yang berasingan ini dapat melindungi pelabur daripada sebarang tindakan undang-undang ke atas syarikat. Misalnya, jika pihak pendakwaraya mendakwa syarikat di mahkamah atas sebab pengubahan wang haram, maka pihak pelabur (pemegang syer) tidak terlibat.

Hal ini disebabkan tujuan pelabur hanyalah untuk mendapatkan pulangan melalui dividen, dan mereka tidak bertanggungan atas tindakan undang-undang yang dikenakan terhadap syarikat.

KESAN PEMERBADANAN SYARIKAT

Sejurus selepas suatu syarikat itu diperbadankan, syarikat akan menikmati sifat “orang buatan undang-undang” yang istimewa, yakni memiliki prinsip entiti berasingan syarikat seperti berikut:

(1) Personaliti undang-undang yang berasingan.[2]

Syarikat yang ditubuhkan di bawah AS 2016 merupakan sebuah badan korporat dan hendaklah:

(a) memiliki prinsip entiti berasingan syarikat, yakni syarikat berasingan daripada ahli-ahlinya;

(b) mempunyai jangka hayat yang berterusan sehinggalah ia dibatalkan daripada daftar;

(2) Syarikat mempunyai keupayaan tidak terhad[3]

Syarikat mempunyai keupayaan melaksanakan segala fungsi sebagai perbadanan korporat dan mempunyai keupayaan penuh bagi menjalankan apa-apa aktiviti perniagaan, termasuklah:

(a) untuk menyaman dan disaman atas nama sendiri;

(b) memperolehi (membeli), memiliki, memegang, membangunkan atau melupuskan (menjual) apa-apa harta; dan

(c) melaksanakan apa-apa tindakan yang perlu dibuat atau memasuki apa-apa urusniaga.

(3) Kontrak pra-pemerbadanan

Suatu kontrak atau urusniaga yang dibuat oleh atau bagi pihak syarikat semasa syarikat belum ditubuhkan mempunyai kesan sebagai suatu kontrak atau urusniaga dengan orang yang dikatakan bertindak untuk syarikat atau sebagai seorang ejen.[4]

Peruntukan undang-undang memberikan syarikat sepenuh hak, kuasa dan keistimewaan bagi tujuan-tujuan melaksanakan apa-apa keupayaan yang dinyatakan di atas.[5]  Seksyen 21 ini memberikan syarikat suatu kuasa keupayaan tidak terhad (unlimited capacity) dalam menjalankan fungsinya sebagai sebuah syarikat.

Jelasnya, syarikat boleh menjalankan apa-apa bidang perniagaan yang dibenarkan oleh undang-undang tanpa perlu meminda perlembagaannya.

SELEPAS SYARIKAT DIPERBADANKAN

Selepas suatu syarikat itu diperbadankan, prinsip entiti berasingan syarikat berkuatkuasa ke atas pengarah, ahli-ahli dan juga setiausaha syarikat:[6]

(a) Wujudnya suatu syarikat dengan nama dan nombor pendaftaran seperti yang dinyatakan dalam daftar utama;

(b) Orang yang namanya dinyatakan sebagai ahli semasa pemerbadanan syarikat hendaklah dimasukkan sebagai ahli dalam daftar ahli;

(c) Bagi syarikat yang mempunyai modal syer, setiap orang yang namanya dinyatakan dalam permohonan untuk pemerbadanan akan menjadi pemegang syer sebagaimana yang dinyatakan dalam permohonan;

(d) Butir-butir pejabat berdaftar syarikat dinyatakan dalam atau permohonan untuk pendaftaran;

(e) Orang yang dinamakan dalam penyata sebagai seorang pengarah atau setiausaha, jika ada, hendaklah disifatkan sebagai telah dilantik memegang jawatan itu.

———————————————

[1] Seksyen 20 AS 2016

[2] Seksyen 30 AS 2016

[3] Seksyen 21 AS 2016

[4] Seksyen 65(1) AS 2016

[5] Seksyen 21(2) AS 2016

[6] Seksyen 18 AS 2016

Posted on Leave a comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *