Perlembagaan Syarikat Sendirian Berhad

kamal-alrahman

PENGERTIAN PERLEMBAGAAN SYARIKAT

Bagi usahawan yang memiliki syarikat sendirian berhad, sudah tentu mereka biasa dengan Memorandum dan Artikel Persatuan (M&A) atau Perlembagaan Syarikat Sendirian Berhad.

Justeru, apakah yang dimaksudkan dengan Perlembagaan syarikat? Menurut Seksyen 34(a) Akta, Perlembagaan syarikat berhad menurut syer ialah suatu dokumen yang diterima pakai sebagai Perlembagaannya di bawah seksyen 32.

Secara harfiahnya, Perlembagaan (sebelum tahun 2016 dikenali sebagai Artikel dan Memorandum Persatuan) ialah dokumen undang-undang yang menetapkan objek dan kuasa sesebuah syarikat, dan juga mengawal hal ehwal dalaman dan pengurusan syarikat.

Kepentingan Perlembagaan Syarikat

Perlembagaan juga bertindak sebagai kontrak yang mengikat syarikat, pemegang syernya dan juga pengarah, dan mungkin mengandungi perjanjian dan prosedur yang perlu mereka patuhi.

Dengan pengertian ini, Perlembagaan mempunyai kesan undang-undang yang lebih luas dan lebih mengikat daripada Perjanjian Pemegang Syer (yang mungkin tidak mengikat pengarah yang bukan pihak dalam perjanjian itu).

Kesan Terhadap Memorandum dan Artikel Persatuan

Apakah kesan terhadap Memorandum dan Artikel Persatuan (M&A lama) di bawah Akta Syarikat 1965 (AS 1965 selepas Akta Syarikat 2016 (AS 2016) dikuatkuasakan?

Peruntukan dalam Jadual A, AS 1965 jika diterima pakai keseluruhan atau sebahagiannya sebagai Artikel Syarikat, hendaklah berkuatkuasa seolah-olah ia dibuat dan diterima pakai di bawah AS 2016, melainkan ditetapkan sebaliknya oleh syarikat.[2]

Walau bagaimanpun, standard Memorandum dan Artikel Persatuan di bawah AS 1965 perlulah dibuat pindaan setakat mana ianya bercanggah atau tidak selari dengan sebarang peruntukan statut di bawah AS 2016 yang baharu. Misalnya, bilangan minimum pengarah, modal dibenarkan, nilai par syer mengikut nilai pasaran dan lain-lain hendaklah dipinda supaya tidak bercanggah dengan peruntukkan di bawah AS 2016.

Pada umumnya, Perlembagaan baharu diperkenalkan bagi menggantikan Memorandum dan Artikel Persatuan yang lama. Selepas AS 2016 berkuatkuasa, Memorandum dan Artikel Persatuan di bawah AS 1965 dikenali sebagai Perlembagaan syarikat.

Larangan Syarikat Tanpa Perlembagaan

Suatu syarikat boleh diperbadankan tanpa mengeluarkan Perlembagaan. Jika ditubuhkan tanpa Perlembagaan, maka prosiding lembaga pengarah dalam Jadual Ketiga Akta Syarikat 2016 menetapkan tata-cara mesyuarat lembaga pengarah.

Jika syarikat mempunyai Perlembagaan sendiri, ia boleh menambah peruntukan-peruntukan lain dalam prosiding mesyuarat lembaga pengarah[3], disamping peruntukan sedia ada dalam Jadual Ketiga.

Namun begitu, tanpa Perlembagaan, suatu syarikat itu dilarang daripada:

(a) Menerbitkan syer-syer dalam kelas yang berbeza;

(b) Menerbitkan syer-syer keutamaan;

(c) Membayar komisyen atas terbitan syer;

(d) Pengerusi dalam mesyuarat ahli-ahli tidak mempunyai kuasa undi pemutus;

(e) Semua terbitan syer-syer baharu yang mempunyai kedudukan sama dengan saham yang sedia ada mestilah ditawarkan kepada pemegang syer sedia ada terlebih dahulu.

(f) Pengarah syarikat persendirian (bukan subsidiari syarikat awam) boleh mengundi atas resolusi yang mana dia berminat.

TUJUAN PERLEMBAGAAN

Syarikat yang memiliki Perlembagaan sendiri dapat memenuhi beberapa keperluan khusus syarikat, antaranya ialah:

(a) Memenuhi keperluan khusus operasi syarikat itu sendiri;

(b) Menetapkan perlantikan dan pemecatan pengarah;

(c) Menetapkan prosedur pemindahan syer;

(d) Menentukan proses membuat keputusan;

(e) Memberi kuasa kepada syarikat melaksanakan tindakan tertentu yang mana tidak terdapat peruntukan dalam Akta.

(f) Menghadkan dan mengawal kuasa-kuasa pengarah dan pemegang syer.

Perlembagaan merupakan suatu set peraturan boleh ubah, dipinda atau ditukar ganti mengikut keperluan syarikat. Pengarah syarikat boleh meminda Perlembagaan supaya sentiasa selari dengan pematuhan undang-undang dan keperluan semasa syarikat.

Meminda atau Mengganti Perlembagaan

Syarikat yang ditubuhkan di bawah AS 1965 boleh meminda M & A atau mengganti terus dengan suatu Perlembagaan yang baharu.

Bagi Syarikat Yang Ditubuhkan Di Bawah AS 1965:

Syarikat boleh menerima pakai sesuatu Perlembagaan melalui kelulusan resolusi khas[5] dan menyerah-simpan Perlembagaan kepada SSM dalam tempoh 30 hari daripada tarikh menerima pakai Perlembagaan itu.[6] Hal in termasuklah menggantikan M & A lama di bawah AS 1965 kepada Perlembagaan baharu di bawah AS 2016.

Bagi syarikat yang ditubuhkan di bawah AS 1965, Lembaga pengarah hendaklah sama ada membuat pindaan terhadap M & A syarikat atau memansuhkan, dan menggantikannya dengan suatu Perlembagaan baharu.

Selepas AS 2016 berkuatkuasa, M & A yang wujud semenjak AS 1965 secara automatiknya bertukar menjadi Perlembagaan. M & A yang bertukar secara automatik kepada Perlembagaan ini hendaklah berkuatkuasa serta merta seolah-olah telah dibuat dan diterima di bawah AS 2016, melainkan diputuskan sebaliknya oleh syarikat.[7]

Bagi Syarikat Yang Ditubuhkan Di Bawah AS 2016:

Syarikat sendirian berhad yang ditubuhkan di bawah AS 2016, pengasas boleh memilih sama ada hendak memiliki Perlembagaan sendiri ataupun tidak. Kebanyakan pengasas syarikat sendirian berhad memilih untuk tidak memiliki Perlembagaan sendiri.

Walau bagaimanapun, Perlembagaan boleh keluarkan pada masa hadapan bagi memenuhi keperluan undang-undang pihak ketiga yang mewajibkannya. Misalnya, syarikat hendak menerbitkan syer-syer keutamaan dan syer-syer biasa dalam kelas yang berbeza, membeli tanah Rezab Melayu dan lain-lain.

KESIMPULAN

Syarikat hendaklah membuat beberapa pindaan di bawah M & A lama bagi menyesuaikannya dengan kehendak undang-undang di bawah AS 2016.

Syarikat boleh meminda Perlembagaannya pada bila-bila masa melalui suatu resolusi khas, melainkan Perlembagaan melarang untuk memindanya.[8]

Walau bagaimanapun, menggantikan keseluruhan M & A kepada Perlembagaan baharu adalah lebih mudah berbanding dengan memindanya. Apa-apa perubahan atau pindaan Perlembagaan yang dibuat akan mengikat syarikat, pengarah dan ahli-ahlinya.[9]

Syarikat hendaklah memaklumkannya kepada Pendaftar tentang pemindaan itu dan menyerah-simpan sesalinan Perlembagaan yang dipinda atau dimansuh dalam tempoh 30 hari daripada kelulusan resolusi khas.[10]

Nota Kaki:

[1] Seksyen 34 AS 2016

[2] Seksyen 32(1) AS 2016

[3] Seksyen 32(4) AS 2016

[4] Seksyen 619(3) AS 2016

[5] Seksyen 36(2) AS 2016

[6] Seksyen 36(1) AS 2019

[7] Seksyen 36(3) AS 2016

[8] Sesyen 2 AS 2016

[9] Seksyen 619(3) AS 2016

[10] Seksyen 212 AS 2016

Posted on 1 Comment

1 thought on “Perlembagaan Syarikat Sendirian Berhad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *