13 Rukun Kejayaan Bisnes

“By experience, we find out a short way by a long wandering” Roger Ascham

PENGENALAN

13 Rukun Kejayaan Bisnes merupakan sudut ilmu pengetahuan yang dikumpul melalui pengalaman saya selama lebih 30 tahun dalam bidang keusahawanan bersama-sama dengan lebih 1,500 syarikat PKS dan 300 usahawan milikan tunggal dan perkongsian.

Sesungguhnya, apa-apa ilmu boleh dipelajari daripada pengalaman seseorang yang pernah mengalaminya. Kita boleh “leverage” bagaimana seseorang itu berjaya membina empayar perniagaan melalui perkongsian pengalaman dengannya.

Kemudian, kita buat penambahbaikan supaya pengalaman itu tadi diubahsuaikan dengan persekitaran, falsafah dan citarasa kita supaya relevan, dan boleh digunapakai. Sekurang-kurangnya, boleh menjadi jalan pintas mencapai kejayaan atau menekan brek dilampu kuning supaya tidak berlaku kemalangan.

13-pillars-of-business-success

13 RUKUN PELESTARIAN BISNES

Menjalankan bisnes tidaklah seberapa sukar seperti yang dijangkakan. Sebaliknya, perkara yang paling sukar sekali ialah melestarikan bisnes itu supaya berkembang maju, dan dapat bertahan lama. Hakikatnya, bisnes yang besar dan berjaya sekalipun boleh jatuh tersungkur pada bila-bila masa, apatah lagi bisnes yang kecil.

Syarikat-syarikat besar dalam dunia seperti Enron, Nokia, Barings Bank, Swiss Air, Ericsson pun boleh jatuh tersungkur dan bankrap. Di Malaysia syarikat besar seperti Caltex, Landmark, The Loaf, Rayani Air, Kodak dan banyak lagi pun tinggal pusara sahaja.

Senario bisnes:

  • 1. Sebenarnya, tiada jaminan atau tongkat sakti yang mampu melestarikan suatu bisnes. Macam hayat manusia juga; ada yang mati sewaktu bayi, mati muda, mati pertengahan umur atau mati pada masa usia tua.
  • 2. Dalam menangani kejatuhan bisnes, lebih baik kita mengambil pendekatan ‘mencegah lebih baik daripada mengubati.’ Kemudian, jika berlaku juga kejatuhan tersebut, sekurang-kurangnya usahawan dapat meminimumkan kerugian. Misalnya, lebih baik rugi RM100 daripada rugi RM1,000.
  • 3. Usahawan sepatutnya sudah dapat menjangkakan kejatuhan dalam bisnes mereka (jika berlaku) diperingkat awal lagi. Oleh itu, mereka perlu bersedia dengan sumber-sumber last resort untuk meneruskan hayat bisnes. Atau,  menutup bisnes yang sedang tenat dan membuka bisnes baharu yang lebih mapan dan berdaya maju.
  • 4. Usahawan perlu dalam keadaan yang sentiasa bersedia. Bak kata pepatah “sediakan payung sebelum hujan” disebabkan “langit tidak selalunya cerah.”

Langkah-langkah berikut boleh dilaksanakan oleh usahawan demi memastikan kelestarian hayat bisnes yang berpanjangan. Melalui pengalaman saya selama lebih 30 tahun bersama dengan lebih 300 orang usahawan PKS, saya sintesiskan 13 Rukun Kejayaan Bisnes untuk dikongsi bersama.

❶  Nisbah Jumlah Aset-Liabiliti

Jualan hutang sangat tidak digalakkan bagi peniaga-peniaga kecil. Namun begitu, pengurusan kredit (jika wujud) perlulah diawasi dengan berhati-hati supaya nisbah liabiliti tidak melebihi aset. Dalam pengurusan kewangan, istilah ini dipanggil sebagai nisbah kecairan, iaitu jumlah aset hendaklah sentiasa lebih tinggi daripada jumlah liabiliti.

Sebagai seorang usahawan berjaya, pastikan bahawa bagi setiap RM1.00 aset semasa, kadar tanggungan semasa (hutang) bisnes cuma berada pada tahap 20-30 sen sahaja. Jika syarikat berada dalam kecairan yang tinggi, sebarang tuntutan pemiutang dapat dipenuhi tanpa sebarang masalah. Bisnes tanpa hutang membolehkan pemiliknya tidur lena dan hidup bahagia tanpa gangguan daripada pemiutang.

❷  Simpan-Labur Keuntungan

Keuntungan yang terbit daripada bisnes haruslah disimpan atau dilabur dengan penuh disiplin. Prinsip menabung mudah sahaja, iaitu perbelanjaan hendaklah tidak melebihi pendapatan. Kemudian, simpanlah dalam bentuk harta mudah cair, saham amanah, emas, ekuiti atau pun pelaburan lain yang mendatangkan pulangan yang tinggi.

Simpanan atau pelaburan ini akan bertindak sebagai dana “last resort” yang boleh ditebus untuk membayar hutang tertunggak, dan dapat meneruskan bisnes seperti biasa.

    • a. Tingkatkan jumlah simpanan sejajar dengan peningkatan pendapatan, elakkan daripada meningkatkan jumlah hutang. Sasaran simpanan hendaklah sekurang-kurangnya 30-40% daripada pendapatan bersih bulanan.
    • b. Simpanan yang cukup dapat bertindak sebagai kusyen sekiranya berlakunya kemelesetan ekonomi. Sikap menabung secara konsisten amat penting, dan dapatkan perkhidmatan daripada perancang kewangan profesional.
    • c. Ketika susah, wang tunailah menjadi penyelamat terakhir yang dapat membantu kita, bukannya saudara mara, kawan-kawan atau ahlong.
    • d. Robert Kiyosaki  mengesyorkan peraturan “Pay Yourself First” sebelum membayar tanggungan dan perbelanjaan lain dengan penuh disiplin. Maksudnya, wang itu hendaklah dilaburkan bagi mendapatkan pulangan yang tinggi.

❸  Modal Kecil Wawasan Besar

Pada peringkat awal, seseorang itu hendaklah menjalankan suatu bisnes yang bermodal kecil dahulu. Dalam bisnes kecil-kecilan, saiz bisnes tidak penting, tetapi margin keuntungan dan bilangan pelangganlah yang menentukan jumlah pulangan.

Misalnya, penjual nasi lemak di tepi-tepi jalan mendapat margin keuntungan lebih daripada 100%. Sekiranya jualan pada pagi tersebut mencecah RM400, keuntungan yang diperolehinya berjumlah lebih daripada RM200.

Peribahasa menyatakan bahawa “besar periuk besarlah keraknya.” Dalam bisnes, jumlah pelaburan mempunyai hubungan secara langsung dengan risiko. Bermula dengan modal yang kecil, risiko juga berada pada tahap kecil dan mudah ditangani.

Langkah seterusnya, suatu wawasan supaya kita dapat bergerak menembusi dan menguasai pasaran yang lebih besar. Keuntungan akan meningkat jika saiz pasaran menjadi lebih besar. Lazimnya, bisnes yang bermula daripada skala kecil mudah diurus, dan terus kukuh dengan jenama sendiri jika dapat bertahan lama.

❹  Fleksibel

Setiap perancangan bisnes atas kertas dilihat begitu cantik sekali. Realitinya, tidak begitu. Terdapat seorang usahawan telah memulakan bisnes barangan logam. Selang setahun kemudian, sebuah kedai barangan logam lain telah dibuka bersaiz dua lot selang sepintu dengan kedainya. Sepuluh bulan kemudian, usahawan tersebut gulung tikar sebab tidak mampu menyaingi harga murah yang ditawarkan oleh pesaingnya.

    • a. Fleksibel di sini bermaksud, menukar strategi atau plan bisnes kita apabila perniagaan terancam. Jangan tunggu sampai modal pusingan sudah habis baharu hendak buat perubahan. Para usahawan perlulah fleksibel dalam perancangan bisnes mereka, iaitu bertindak pantas dengan menukar model bisnes sebelum terus jatuh tertiarap.
    • b. Seorang peniaga alatulis di seksyen 15 Bandar Baru Bangi tidak menghadapi masalah jualan dalam tempoh lima tahun pertama perniagaannya. Selepas itu, jualannya merosot teruk, dan pemiliknya rasa cemas. Kemudian, beliau dapat idea di kawasan itu tidak ada kedai runcit. Dengan pantas, pemiliknya menukar model bisnesnya dengan dengan 25% alatulis dan 75% barang-barang runcit.  Hasilnya, superb!
    • c. Pada tahun 90-an dahulu, seorang usahawan menjalankan bisnes stesyen minyak di Damansara Utama, Petaling Jaya. Beliau menyatakan kepada saya untuk menutup bisnesnya dan menyerahkan semula stesyen minyak itu kepada syarikat anchor. Saya bertanya kepada beliau kenapa? Beliau memberitahu saya, “lebih baik rugi sedikit daripada rugi banyak.” Beliau memberitahu saya sudah membuka suatu perniagaan lain di Johor, malangnya saya terputus hubungan dengannya hingga kini.

❺  Margin Keuntungan yang Tinggi

Walaupun mula berniaga dengan modal yang kecil, pastikan produk yang dijual mempunyai margin keuntungan yang tinggi. Maksudnya, mampu menyerap kos tetap, kos berubah, dan kos-kos lain yang terlepas pandang.

Margin keuntungan seunit produk yang tinggi dapat menyerap kos tetap dan kos berubah yang sentiasa meningkat.

Contoh: Nasi Lemak

Kos sebungkus nasi lemak – RM0.75

Jika jual sebungkus – M2.25

Margin – 66.67%

Markup – 200%

Profit – RM1.50

Jika 100 bungkus nasi lemak, Untung = 100 x RM1.50 = RM150.00

Keuntungan kasar 100 bungkus nasi lemak = 100 x RM1.50 = RM150 Untuk memastikan harga yang selesa, produk hendaklah dimarkup dengan kadar lebih daripada 100%. Misalnya, nasi lemak di atas telah dimarkup dengan kadar 200%. Namun begitu, peniaga hendaklah memasukkan upah dirinya, rosak rosot aset tetap, dan kos-kos kecil yang lain untuk mendapatkan per unit kos yang lebih tepat.

Artikel ini tidak membincangkan secara lebih mendalam bagaimana letak harga barang dibuat. Tindakan kita seterusnya ialah:

  • a. Kaji harga pesaing dahulu sebelum kita letak harga. Sama ada harga yang dijual itu di bawah harga pasaran atau sebaliknya. Jika di bawah harga pasaran, tiada masalah. Jika di atas harga pasaran, kaji semula harga kita daripada aspek kualiti, keunikan dan lain-lain. Keunikan produk boleh mengatasi pesaing.
  • b. Markup yang melebihi 100% sangat penting bagi tujuan menyerap kos-kos lain. Markup yang kurang daripada 100% menyebabkan margin keuntungan yang sangat rendah. Mungkin  bisnes terpaksa menyerap kos-kos lain hingga mengakibatkan jumlah keuntungan yang tidak berbaloi.
  • c. Allahyarham Master Chef Shokri dalam laman sosial facebook menulis supaya usahawan meletakkan harga jualan makanan sekurang-kurangnya tiga kali ganda daripada kos membuat makanan. Margin keuntungan yang tinggi sangat penting supaya dapat menyerap semua kos, disamping menikmati keuntungan bersih.

❻  Strategi Pemasaran – Go Digital

Strategi pemasaran merupakan suatu aktiviti tersusun bagaimana produk atau perkhidmatan itu sampai ke tangan (dibeli) pengguna. Usahakan, supaya kewujudan produk kita sampai kepengetahuan pengguna dalam jangka masa yang singkat.

Tiga peringkat yang sangat penting berlaku di sini, iaitu:

    • a) memperkenalkan produk dalam pasaran;
    • b) kaedah dan teknologi pemasaran yang digunakan; dan
    • c) menembusi pasaran – kaedah bagaimana produk boleh sampai ke tangan pengguna.

Rakan Strategik

Merupakan jaringan kerjasama strategik dengan pasaraya hyper, rangkaian kedai runcit seperti 7-Eleven, Speedmart, Pasar Mini 4K dan di stesyen-stesyen petrol – perlu ditembusi laluannya.

Dropship

Dropship melibatkan penjualan suatu produk atau perkhidmatan yang mana pengedar hanya perlu membayar kepada pembekal berdasarkan produk atau servis yang diniagakan. Pembekal akan terus menghantar produk kepada pelanggan tanpa perlu melalui pengedar. Manfaatnya, pengedar dropship tidak perlu memiliki barang dan premis bisnes sendiri. Go Digital!

Pemasaran Media Sosial

Menguasai teknologi pemasaran sosial sangat penting, dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Misalnya, penggunaan FB Ads, Google Ads dan Tik Tok sangat perlu dikuasai oleh usahawan jika dia betul-betul serius dalam bisnes.

Usahawan boleh mengikuti mana-mana kursus seperti membina Website, Fb ads, Google ads, Tik Tok dll. yang ditawarkan secara online. Mudah, jimat kos dan masa! Jangan lupa untuk join mana-mana komuniti “online business.” Kena rajin belajar kemahiran berikut:

    • a) rekabentuk grafik (Canva, PhotoShop dll. ),
    • b) suntingan video dan muzik ( Filmora, Camtasia, Movavi, Doodly, KineMaster dll.)
    • c) menjalankan kursus, presentation, preview, seminar secara online ( Zoom, Google Meet dll.)
    • d) bina laman web sendiri (WordPress, Weebly, Shopify, Wix dll.)
    • e) bina pautan payment gateway dengan tapak sosial media. (https://www.exabytes.my/blog/top-8-malaysia-online-payment-solutions/)

Laman Web

Penggunaan laman web dengan teknologi e-dagang dan payment gateway mampu untuk bertindak sebagai seorang jurujual bisnes 24 jam. Walau bagaimanapun, kos-kos pengiklanan digital bukanlah suatu yang murah, tetapi sangat berkesan. Usahawan boleh jalankan digital marketing secara cuba-cuba dahulu, kemudian lihat impaknya dalam tempoh tertentu.

Walau bagaimanapun, untuk menjimatkan kos, lebih baik usahawan membina sendiri laman web. Hal ini  disebabkan mudah mengemaskini kandungan web pada setiap hari.

Freelance Outsourcing

Seseorang itu boleh juga upah pakar-pakar pemasaran digital jika bisnesnya mampu membayar perkhidmatan mereka. Sukar bagi kita untuk mencapai kejayaan, jika semuanya kita lakukan bersendirian.

Mengedar produk secara mengadakan perikatan strategik dengan syarikat-syarikat lain yang sudah kukuh dipasaran dapat mempercepatkan lagi penembusan barang-barang ke seluruh negara.

Training, Coaching & Personal Development

Perubahan sukar untuk dicapai jika yang empunya diri tidak bermotivasi, hilang arah dan tenggelam punca. Masuklah kursus-kursus yang berwibawa seperti NLP, ESQ dan lain-lain supaya dapat menganjak diri sendiri lebih bersemangat, lebih fokus dan mempunyai matlamat yang jelas.

❼ Mengubah Model Bisnes

Bagi menghadapi persaingan yang kuat, usahawan hendaklah menyusun strategi yang lebih berkesan untuk mengatasi pesaing. Antaranya ialah dengan mengubah atau membuat penambahbaikan ke atas model bisnes seperti berikut:

Bila perlu ubah atau baiki model perniagaan?

Apabila wujud keadaan perbelanjaan melebihi pendapatan dalam jangka masa, mungkin 6-9 bulan atau lebih, maka pemilik perlu berbuat sesuatu dengan segera. Melalui pengalaman saya, pemilik perniagaan terpaksa top-up wang simpanan supaya bisnesnya dapat diteruskan.

a. Mengubah bisnes alatulis semata-mata kepada 75% kedai runcit dan 25% lagi alatulis.

b. Mengubah daripada berniaga jual kueh semata-mata kepada pelbagai makanan seperti nasi lemak, nasi campur, roti canai dan dll.

c. Mengubah daripada menjual kedai barangan logam kepada kedai runcit 75%, dan barangan logam 30%.

d. Menggunakan perikatan strategik dengan syarikat e-dagang, seperti Lazada, Shopee, Ali Baba dan lain-lain untuk menembusi pasaran tanpa sempadan.

e. Menggunakan teknik pemasaran sosial, iaitu web 2.0.

f. Memaksimumkan teknologi media sosial seperti Fb ads, Google ads, TkTok  dan lain-lain.

g. Mengubah haluan kepada bidang bisnes lain yang lebih menguntungkan.

h. Menaiktaraf bisnes peruncitan kepada pemborongan, libatkan diri dengan pasaran import dan eksport.

i. Technological change – meniru, mengubahsuai dan menambah nilai teknologi lain ke atas produk sendiri supaya lebih terkini daripada semua aspek.

j. Perkongsian strategik dengan syarikat-syarikat yang sudah berdiri kukuh dengan menawarkan pemilikan syer kepada mereka.

Mengubah model bisnes boleh dilakukan apabila terdapat banyak saingan, wujud keadaan jumlah kos = jumlah pendapatan, atau bisnes itu sudah tiada pelanggan yang datang. Pada tahap keuntungan daripada perniagaan tidak dapat menampung kos operasi pernigaan, jelaslah bahawa bisnes itu sedang sakit dan perlu dirawat segera.

Mengubah model bisnes boleh juga dilakukan jika seseorang itu ingin meningkatkan lagi prestasi bisnesnya supaya dapat menguasai kadar penembusan pasaran yang tinggi. Untuk impak yang maksimum, mengubah model bisnes boleh digabungkan serentak dengan penjenaman semula bisnes (rebranding).

❽  Penjenamaan Semula

Penjenamaan semula merupakan suatu proses mengubah imej syarikat secara keseluruhan dan juga produknya. Tujuannya ialah,  untuk mempengaruhi persepsi pelanggan mengenai produk atau perkhidmatan atau syarikat secara keseluruhan. Dengan imej baharu, dapat menarik lebih ramai pelanggan datang untuk membeli.

Tindakan ini merangkumi mengubah imej dalaman syarikat seperti visi dan misi, mengubah logo, nama bisnes, tag line, slogan dan lain-lain. Ia ibarat menyolek seorang wanita supaya kelihatan lebih anggun, muda dan bergaya. Sudah pastinya wanita itu seorang yang mudah senyum, ramah dan sangat membantu. Ringkasnya, pastikan penjenamaan semula dapat memenuhi kehendak pelanggan, bukan kehendak kita!

Penjenamaan semula sangat wajar jika kita ingin memberitahu pelanggan sesuatu yang baharu, yang sangat mereka sukai. Kalau boleh, menghilangkan persepsi atau “gap” tidak baik tentang syarikat. Walau bagaimanapun, penjenamaan semula harus dibuat dengan berhati-hati, dikhuatiri perubahan ini boleh menyebabkan syarikat kehilangan pelanggan-pelanggan.

Kita tidak mahu pelanggan menganggap mungkin syarikat asal mengalami kerugian, dan sudah diambil alih oleh orang lain. Oleh itu, maklumkan kepada pelanggan bahawa syarikat sedang menjalani proses penjenamaan semula tersebut.

❾  Bertindak Pantas

Peluang bisnes yang terhidang di hadapan mata haruslah disambar dengan pantas. Adalah dikhuatiri tindakan yang lambat membolehkan pihak lain dapat mengesan daya maju bisnes yang kita jalankan dan mereka tanpa teragak-agak akan memintasnya.

Misalnya, terdapat peniaga minyak atar (minyak wangi) sudah bertahun-tahun lamanya menjual minyak atar di merata tempat. Kemudian, seorang peniaga lain mendapati perniagaan minyak atar ini sangat berpotensi jika beliau dapat menguasai pasaran. Dengan pantas, beliau merisik pembekal minyak atar seberang laut dan mengimport secara pukal. Pengimport ini membotolkan semula minyak atar dengan jenama sendiri dan mengedarkannya kepada penjual minyak atar di pasaran.

Lupakan sahaja kisah dongeng kura-kura dengan arnab, kerana manakan wujud orang yang sedang berlumba tertidur! Janganlah sampai kita tertidur dalam perlumbaan bisnes untuk menguasai pasaran.

❿  Rekayasa Semula Syarikat

Rekayasa semula perniagaan merupakan tindakan penting yang dilakukan oleh syarikat bagi mengubah suai dan membentuk semula operasi perniagaan dengan tujuan:

(a) mengurangkan hutang;

(b) meningkatkan kecekapan; dan

(c) menambah baik perniagaan pada masa hadapan.

Oleh itu, rekayasa semula perniagaan biasanya dilakukan terhadap syarikat yang menghadapi masalah kewangan.

Syarikat yang banyak hutang akan menghadapi masalah bayaran ansuran yang tepat pada masanya. Biasanya, syarikat memilih untuk menstruktur semula hutang-hutangnya bagi membayar balik hutang dengan mapan, dan mampu membayar hutang terakru.

Sebab-sebab lain rekayasa semula perniagaan ialah:

(a) Mengurangkan bebanan/menyatukan hutang;

(b) Bergabung dengan perniagaan lain (merger);

(c) Mengurangkan kos syarikat;

(d) Syarikat dalam kerugian;

(e) Tiada inovasi, hilang arah tujuan; dan

(f) Susun semula peranan pengarah/pasukan pengurusan dalam syarikat.

Secara lengkapnya, rekayasa semula meliputi memikirkan semula aktiviti bisnes, gaya kepimpinan, pemasaran berkesan, aliran kerja organisasi, penjenamaan semula, pembinaan semula pelan perniagaan, sistem pengurusan dan lain-lain.

Penstrukturan semula syarikat juga berlaku jika terdapat pertukaran hakmilik dalam syarikat, atau untuk penambahbaikan prestasi bisnes yang suam-suam kuku. Pemilik baharu sudah tentu akan membuat rombakan utama terhadap struktur organisasi syarikat.

Namun begitu, terdapat juga rekayasa semula bisnes ini mengupah konsultan luar bagi meletakkan semula syarikat pada landasan yang betul dan berdaya maju pada masa hadapan.

⓫ Penglibatan Dalam Komuniti

Penglibatan komuniti bermaksud, memperkenalkan bisnes atau syarikat melalui penglibatan diri kita dalam masyarakat setempat. Ibarat kita adalah duta syarikat atau produk yang dijual.

Penglibatan komuniti dengan masyarakat sekeliling seperti kariah masjid, persatuan penduduk, PIBG, persatuan-persatuan sukan setempat dan badan-badan amal yang lain sangat berkesan.

Penglibatan proaktif dalam komuniti seolah-olah memperkenalkan jenama produk, pemilik dan syarikat kepada umum secara terus tanpa memerlukan kos. Secara tidak langsung, penglibatan komuniti mampu memperkenalkan produk atau syarikat dalam kalangan publik.

⓬ Perikatan Strategik

Perkongsian atau pakatan strategik antara dua buah syarikat komersial atau lebih yang biasanya diformalkan oleh suatu atau lebih kontrak perniagaan. Perkongsian strategik biasanya tidak melibatkan hubungan entiti, agensi atau syarikat yang sah.

Seseorang itu membekalkan terus produknya di mana sahaja yang vendor mahukan. Teknik ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada pelanggan-pelanggan tertentu sahaja.

⓭ Pengurusan Risiko

Terdapat dua jenis risiko yang dihadapi oleh manusia, iaitu hidup terlampau singkat, atau hidup terlampau lama. Begitu juga dengan bisnes, terdapat tujuh jenis risiko yang perlu diberi perhatian oleh usahawan bersaiz kecil-sederhana. Risiko-risiko tersebut ialah:

(a) Risiko strategik – risiko strategik berkaitan dengan kendalian bagi sesuatu industri tertentu, misalnya pemerosesan bahan-bahan seperti racun dan bahan kimia adalah sangat merbahaya.

(b) Risiko pematuhan – risiko yang berkaitan dengan pematuhan sesuatu peraturan dan undang-undang.

(c) Risiko kewangan – risiko yang berkaitan dengan struktur kewangan bisnes, transaksi perniagaan, dan sistem pengurusan kewangan yang dimiliki.

Risiko operasi – risiko yang berkaitan dengan operasi perniagaan; misalnya, risiko penggalian oil and gas ditengah laut.

    1. Risiko pasaran – risiko luaran yang sukar dikawal oleh syarikat seperti bencana alam, Covid-19, krisis ekonomi dan kewangan, peperangan dan perubahan polisi kerajaan.

Dalam bisnes PKS, risiko perlu diuruskan oleh usahawan dengan cekap, tanpa mengambil masa yang lebih lama untuk memutuskan sesuatu perkara kritikal. Usahawan juga hendaklah mampu mencongak bakal risiko bisnes yang bakal dihadapi. Misalnya, kenaikan harga barang mentah, Covid-19, inflasi dan lain-lain.

Tindak balas yang lewat bagi mengatasi risiko-risiko boleh menyebabkan bisnes mengalami kerugian besar, dan seterusnya menemui kegagalan.

KESIMPULAN

13 Rukun Pelestarian Bisnes merupakan perkakas yang boleh diapplikasi oleh usahawan dalam memastikan bisnes mereka terus mapan, relevan dan berdaya maju. Namun begitu, nokhtah terakhir seorang usahawan ialah tahap mencapai financial freedom dalam bisnes masing-masing ketika usia muda.

Buat apa hidup susah-susah lagi jika kita sudah mencapai tahap financial freedom yang diinginkan.  Pada tahap ini, sudah ada pengganti bagi meneruskan sebuah legasi. Untuk merealisaikannya, dapatkan perkhidmatan daripada ahli profesional seperti  financial advisor/consultant bertauliah supaya kita insya Allah mampu mencapai matlamat diusia muda.


 

Rephrase with Ginger (Ctrl+Alt+E)
Posted on Leave a comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *