Mengenali Jenis-jenis Syarikat

1.0 PENGENALAN

Mengenali jenis-jenis syarikat menumpukan perbincangan terahadap penjenisan syarikat di bawah Akta Syarikat, 2016. Seperti yang diketahui, syarikat persendirian paling banyak ditubuhkan, dan sangat popular dalam kalangan usahawan SME.

1.1 Objektif Pembelajaran

Usahawan dan newbies mampu membezakan jenis-jenis syarikat di bawah Akta Syarikat 2016.

1.2 Skop Perbincangan

(a) penjenisan syarikat

(b) syarikat berhad oleh syer

(c) syarikat dalam kumpulan

(d) syarikat awam

(e) syarikat berhad menurut jaminan; dan

(f) syarikat tidak berhad.

2.0 PENJENISAN SYARIKAT

Memahami dan mengenali jenis-jenis syarikat dibahagikan menurut kategori berikut:[1]

2.1 Syarikat berhad oleh syer

Liabiliti ahli-ahli terhad atas amaun syer yang masih belum dibayar jika syarikat itu digulung.

2.1.1 Syarikat Persendirian vs Syarikat Awam

Seksyen 11(1) Akta telah menyatakan perbezaan yang jelas antara syarikat persendirian dan syarikat awam seperti berikut:

(a) Syarikat berhad oleh syer – merupakan syarikat persendirian dan syarikat awam;

(b) Syarikat berhad oleh jaminan – hendaklah merupakan suatu syarikat awam; dan

(c) Syarikat tidak berhad – hendaklah merupakan sama ada suatu syarikat persendirian atau suatu syarikat awam.

2.2 Syarikat berhad menurut jaminan

Liabiliti ahli-ahli terhad atas amaun yang diakujanji oleh ahli-ahli untuk menyumbang kepada syarikat sekiranya syarikat itu digulung. Untuk memahami dengan lebih lanjut, sila rujuk artikel Penubuhan Yayasan – Syarikat Berhad Menurut Jaminan.

2.3 Syarikat tidak berhad

Tiada had liabiliti yang ditanggung oleh ahli-ahlinya, sama seperti liabiliti milikan tunggal.

2.4 Syarikat Asing

Menurut statut, syarikat asing bermaksud:[2]

(a) sebuah syarikat, perbadanan, persatuan, pertubuhan atau lain-lain badan yang diperbadankan di luar Malaysia; atau

(b) persatuan, pertubuhan atau badan lain yang tidak diperbadankan di bawah undang-undang tempat asalnya ditubuhkan yang mana ia boleh:

(c) membawa atau dibawa guaman ke atasnya

(d) boleh memegang harta

(e) tidak mempunyai ibu pejabat atau tempat utama perniagaannya di Malaysia.

jenis-syarikat

Jenis-jenis Syarikat Di Malaysia

3.0 SYARIKAT BERHAD MENURUT SYER

(a) Syarikat berhad menurut syer merupakan suatu syarikat yang diperbadankan atas konsep tanggungan ahli-ahlinya terhad setakat amaun, jika ada, belum dibayar atas syer yang dipegang oleh ahli itu.[3] Syarikat berhad menurut syer boleh ditubuhkan sama ada sebagai sebuah syarikat persendirian atau syarikat awam.[4]

(b) Seterusnya, tanggungan “berhad menurut syer” bermaksud seandainya sesuatu syarikat itu digulung oleh mahkamah, maka tanggungan ahli-ahli hanya terhad setakat jumlah syer yang belum berbayar sahaja (jika ada).

(c) Misalnya, En. Farhan merupakan seorang pemegang syer biasa syarikat Kanda & Dinda Sdn. Bhd. En. Farhan masih belum membayar baki syernya sebanyak RM50,000 walaupun beberapa notis peringatan panggilan syer telah diberikan. Jika syarikat Kanda & Dinda Sdn. Bhd. digulung, En. Farhan hanya bertanggungan setakat jumlah syer biasa yang belum dibayar, yakni RM50,000 sahaja.

(d) Bagi ahli-ahli lain yang telah membayar penuh syer-syer biasa, mereka tiada apa-apa tanggungan atas syarikat jika berlaku penggulungan.

4.0 SYARIKAT SENDIRIAN BERHAD

Syarat utama menubuhkan syarikat sendirian berhad adalah seperti berikut:

(a) seorang pengarah atau lebih;

(b) seorang ahli atau lebih, yang mempunyai liabiliti terhad atau tidak terhad;

(c) satu syer atau lebih; dan

(d) pengarah – hendaklah orang biasa, berumur sekurang-kurangnya 18 tahun.[5]

Maksud syarikat persendirian adalah seperti berikut:[6]

(a) syarikat yang sebelum berkuatkuasa Akta ini (Akta Syarikat 2016) adalah sebuah syarikat persendirian di bawah mana-mana undang-undang bertulis (Akta Syarikat 1965);

(b) syarikat yang diperbadankan sebagai syarikat persendirian di bawah Akta ini (Akta Syarikat 2016); atau

(c) apa-apa syarikat yang ditukarkan kepada syarikat persendirian di bawah seksyen 41,

syarikat yang terhenti menjadi sebuah syarikat persendirian di bawah seksyen 42(4) (yakni syarikat awam).

Syarikat persendirian boleh dikenali melalui nama syarikat tersebut yang diakhiri dengan perkataan Sendirian Berhad atau ringkasnya Sdn. Bhd.[7]

4.1 Sifat-sifat Syarikat Persendirian

Syarikat yang diperbadankan sebagai syarikat persendirian mempunyai sifat-sifat berikut:

(a) ahli-ahli syarikat persendirian hendaklah tidak melebihi lima puluh orang;[8]

(b) syarikat persendirian hendaklah menyekat pemindahan syer-syernya, iaitu terhad dalam kalangan ahli sahaja;[9]

(c) melarang syarikat persendirian mempelawa apa-apa syer-syer, debentur atau mempelawa orang awam mendepositkan wang;[10] dan

(d) tidak dibenarkan menawarkan syer-syer syarikat kepada orang awam[11],

tawaran yang dibuat kepada orang awam dalam apa-apa bentuk  sekalipun, kecuali tawaran yang dibuat menurut seksyen 44(2).

4.2 Syarikat Persendirian Berkecuali

Syarikat persendirian berkecuali merupakan suatu syarikat persendirian yang mempunyai sifat-sifat berikut:

(a) merupakan suatu syarikat persendirian terhad oleh syer.

(b) syernya tidak dipegang secara langsung atau tidak langsung oleh mana-mana perbadanan; dan

(c) mempunyai tidak lebih daripada dua puluh orang ahli yang kesemuanya orang biasa, yang tiada satupun

Namun begitu, statut mengkelaskan syarikat persendirian berkecuali ini mempunyai ciri-ciri tambahan seperti berikut:[12]

(a) syarikat tidak perlu menyerah-simpan Penyata Kewangan yang diaudit kepada Pendaftar, tetapi perlu memenuhi syarat-syarat seperti berikut:

(b) menyiapkan sijil Syarikat Persendirian Dikecualikan (Exempt Private Company) bagi menggantikan Penyata Kewangan;

(c) sijil Syarikat Persendirian Dikecualikan hendaklah ditandatangani oleh seorang pengarah, juruaudit dan setiausaha syarikat:[13]

i. bagi mengesahkan syarikat tersebut adalah sebuah Syarikat Persendirian Dikecualikan;

ii. Penyata Kewangan yang diaudit telah diedarkan kepada semua ahli;

iii. pada tarikh Penyata Kewangan itu dibuat, syarikat hendaklah mampu memenuhi keperluan liabilitinya apabila genap masa kena bayar.

Lazimnya, majoriti syarikat bersaiz kecil dan sederhana cenderung kepada kategori syarikat persendirian berkecuali. Keistimewaan syarikat persendirian berkecuali ialah tidak perlu  serah simpan Penyata Kewangan kepada Pendaftar. Kelebihan ini dapat merahsiakan kedudukan kewangan syarikat daripada diketahui oleh pesaing.

5.0 KESIMPULAN

Mengenali jenis-jenis syarikat dapat menambah pengetahuan newbies dan usahawan khususnya konsep syarikat berhad menurut syer. Sudah tentunya mereka juga dapat membezakannya antara syarikat berhad menurut syer dan syarikat berhad menurut jaminan. Kemudian, mungkin usahawan yang memiliki syarikat persendirian berminat untuk meletakkan syarikat sebagai suatu syarikat persendirian berkecuali.


Nota Kaki:

[1] Seksyen 10(1) AS 2016

[2] Seksyen 2 AS 2016

[3] Seksyen 10(2) AS 2016

[4] Seksyen 11(1) AS 2016

[5] Seksyen 196(2) AS 2016

[6] Seksyen 2 AS 2016

[7] Seksyen 25(1)(b) AS 2016

[8] Seksyen 42(1) AS 2016

[9] Seksyen 42(2) AS 2016

[10] Seksyen 43 AS 2016

[11] Seksyen 44(1) AS 2016

[12] Seksyen 2 AS 2016

[13] Seksyen 260(2) AS 2016

 

Posted on 3 Comments

3 thoughts on “Mengenali Jenis-jenis Syarikat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *