Pengertian Pengarah De Jure

DEFINISI PENGARAH

Pada umumnya, pengertian pengarah de jure dalam pengkelasan pengarah-pengarah syarikat tidak berapa difahami  ramai, hatta dalam kalangan pengamal undang-undang sekalipun.

Sebelum itu, jom kita fahami maksud pengarah terlebih dahulu. Perkataan ‘pengarah’ perlulah difahami daripada sudut definisi harfiah dan juga common law.

Perkataan pengarah berasal daripada Bahasa Latin, iaitu di-rec-to. Definisi undang-undang pengarah syarikat bermaksud:

  1. Seseorang yang mengendalikan urusan sesebuah syarikat;
  2. Seseorang yang dilantik atau dipilih untuk menduduki jawatan lembaga pengarah yang mengurus perjalanan sesebuah perbadanan atau syarikat secara melantik dan melaksanakan kawalan ke atas pegawai-pegawainya;[1] dan
  3. Seseorang ahli lembaga yang mengurus perjalanan sesebuah syarikat.[2]

Definisi Pengarah Menurut Statut

Seksyen 2 Akta Syarikat 2016 mendefinisikan pengarah seperti berikut:

‘pengarah termasuk mana-mana orang yang memegang jawatan pengarah sesuatu perbadanan tidak kira dengan apa jua nama panggil dan termasuklah seseorang yang mengikut arahan atau perintah majoriti para pengarah suatu perbadanan lazimnya bertindak dan seorang pengarah silih ganti atau pengarah ganti.’

Pengkelasan Pengarah Menurut Common Law

Berdasarkan definisi di atas, pengarah boleh diklasifikasikan kepada tiga komponen menurut common law; yakni,

A: Komponen Pengarah De Jure: rangkaikata “mana-mana orang yang memegang jawatan pengarah suatu perbadanan tidak kira dengan apa jua nama dipanggil”;

B: Komponen Pengarah De Fakto dan Pengarah Bayangan: rangkaikata “mana-mana orang yang mengikut arahan atau perintah majoriti pengarah suatu perbadanan lazimnya bertindak”;

Akta Syarikat 2016 telah meminda definisi pengarah dengan memasukkan rangkai kata ‘majoriti para pengarah’ yang membawa maksud bahawa hanya majoriti para pengarah bertindak menurut arahan atau perintah tersebut akan berkuatkuasa. Jika kurang daripada majoriti, arahan atau perintah itu tidak berkuatkuasa.

Elemen “mengikut arahan dan perintah” hendaklah dibaca bersama dengan seksyen 2(2) Akta untuk mendapatkan kefahaman yang lebih mantap:

“Seseorang tidaklah dikira sebagai seorang yang mengikut arahan atau perintah yang pengarah sesuatu syarikat lazimnya bertindak hanya oleh sebab pengarah itu bertindak atas nasihat yang diberikan olehnya atas sifat profesionalnya.”

Oleh itu, seorang penasihat profesional seperti akauntan dan peguamcara yang bertindak memberikan khidmat nasihat, mereka itu bukanlah dianggap sebagai pengarah bayangan.

Pengarah Silih Gilir atau Ganti

Pengarah silih gilir atau ganti pula tidak dinyatakan dalam statut, namun begitu ahli lembaga boleh melantik pengarah silih gilir atau ganti jika keadaan memerlukan.

Misalnya, pengarah silih gilir ini dilantik semula selepas dikehendaki oleh statut untuk melepaskan jawatannya dalam AGM. Kemudian, lembaga pengarah melantikknya semula sebagai pengarah syarikat dalam AGM tersebut. Dalam Akta Syarikat 2016, AGM syarikat sendirian berhad sudah dimasuhkan. Oleh itu, sudah tiada lagi pengarah silih gilir dipraktikkan dan tidak lagi relevan.

Pengarah ganti diperlukan jika mana-mana pengarah suatu syarikat tidak dapat menghadiri mesyuarat disebabkan beliau berada diseberang laut dalam jangka masa yang lama. Pengarah syarikat boleh di disqualify jika tidak dapat hadir mesyuarat lembaga pengarah tiga kali berturut-turut.

PENGARAH DE JURE

Dalam kamus undang-undang yang dirujuk, de jure bermaksud hak atau hak sah di sisi undang-undang,[3] menurut undang-undang[4] ataupun wujud secara hak atau menurut undang-undang.[5] Dalam kes Re Hydrodam (Corby) Ltd. Millet J. menyatakan bahawa pengarah de jure adalah mereka yang sah dilantik ke jawatan tersebut.

Untuk memahami pengertian pengarah de jure dengan lebih tuntas, Mayson, et. al. menjelaskan bahawa seseorang itu dikelaskan sebagai pengarah de jure sesebuah syarikat jika:[6]

  1. orang itu telah sah dilantik sebagai pengarah menurut undang-undang dan berkuatkuasa;
  2. orang itu bersetuju untuk dilantik sebagai pengarah syarikat;
  3. orang itu tidak batal kelayakannya daripada dilantik menduduki jawatan pengarah syarikat; dan
  4. orang itu tidak mengosongkan jawatannya sebagai pengarah syarikat.

Daripada penjelasan Millet J. dan Mayson, et. al. di atas, lazimnya, pengarah de jure adalah seseorang yang dilantik sama ada menurut Akta ataupun Perlembagaan.

Berdasarkan definisi pengarah, kategori pengarah de jure tergolong dalam komponen A; yakni, mana-mana orang yang memegang jawatan pengarah suatu perbadanan tidak kira dengan apa jua nama dipanggil.

Panggilan biasa pengarah de jure termasuklah Pengerusi Eksekutif, Pengarah Eksekutif, Pengarah non-Eksekutif, Pengarah Gantian, Pengarah Nomini, Pengarah Bebas dan sebagainya.

KESIMPULAN

Walau apapun gelaran yang diberikan kepada pengarah de jure, pelantikan mereka sebagai pengarah hendaklah sah menurut undang-undang dan jawatan pengarah itu masih berkuatkuasa.

Misalnya, En. Harun telah dilantik dengan sah sebagai pengarah tambahan dan pelantikan tersebut dilakukan mengikut kehendak Perlembagaan dan atau Akta. Oleh itu, menurut common law, En. Harun dikenali sebagai pengarah de jure syarikat, walaupun beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif.

———————————–

Nota Kaki:

[1] Bryan A. Garner (editor), Black’s Law Dictionary (1999), 7th edition, West Group, hlm 472.

[2] Malaysian Law Dictionary (2007), Gavel Publications, hlm. 260.

[3] L.B. Curzon, Law Dictionary 2003, hlm 124.

[4] Australian Legal Dictionary 1997, Butterworth, hlm 322.

[5] Black’s Law Dictionary, 18th Ed., Garner,  hlm 458.

[6] Mayson, et. al., Company Law, 2003, hlm 457.

Posted on 1 Comment

1 thought on “Pengertian Pengarah De Jure

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *