MAKAN GAJI ATAU BISNES?
Sebelum seseorang itu mengambil keputusan sama ada hendak berhenti kerja makan gaji atau bisnes, beliau perlu menghalusi Sepuluh Pertimbangan Kritikal yang dibincangkan di sini.
Idea penulisan ini terbit daripada ramai pegawai kerajaan (sebelum tahun 2000 dahulu) pada masa itu telah berhenti kerja untuk menjalankan perniagaan sendiri. Malangnya, mereka tidak mempunyai persediaan rapi untuk memikul tugas sebagai usahawan. Akibatnya, mereka gagal sepenuhnya diperingkat awal lagi, dan menyesal!
Maksud saya, mereka tidak tahupun nak berniaga apa, dan tiada skil yang boleh diperdagangkan. Ibarat mengambil pemain bola sepak, tetapi pemain itu tidak pandai menendang bola, apatah lagi passing bola.
Berikut saya kemukakan 10 tips perlu difikirkan sebelum seseorang itu mengambil keputusan berhenti kerja untuk menjalankan bisnes.
1. Minat dan Semangat Ingin Berubah
Minat dan semangat ingin berubah merupakan perkara pokok dalam memastikan bahawa cita-cita untuk berniaga tidak pernah surut. Semangat ingin mengubah kehidupan atau dalam bahasa pengurusannya dipanggil ‘anjakan paradigma’ tidak akan tercapai jika kita terus kekal di alam pekerjaan sekarang.
Seterusnya, tentukan bidang perniagaan yang paling diminati untuk diceburi. Sebagai contohnya; jika memiliki wajah yang cantik, suka bergaya dan trendy, kita boleh memulakan perniagaan berkaitan dengan fesyen dan kecantikan seperti busana wanita atau salon kecantikan.
Daripada minat inilah maka tercetusnya idea-idea perniagaan yang boleh dijadikan sumber pendapatan. Oleh itu, jangan pisahkan minat dengan jenis perniagaan yang hendak diceburi, ibarat irama dan lagu, jika dipisahkan maka pincanglah ia.
2. Ilmu dan Kemahiran
Ilmu dan kemahiran merupakan aspek yang perlu dikuasai oleh sesiapa yang ingin berjaya dalam bidang perniagaan. Ilmu dan kemahiran perlu dikuasai sehingga ke peringkat akar umbi. Renung sejenak, kita mungkin tidak dapat menggunakan kereta, kapal terbang, sistem jual-beli secara e-dagang dan lain-lain tanpa ilmu dan kemahiran insan yang menciptanya.
Persoalannya, adakah kita benar-benar mempunyai ilmu dan memiliki kemahiran teknikal yang mencukupi dalam bidang pernigaan yang dipilih tersebut? Elakkan daripada menjalankan sesuatu perniagaan “syok sendiri”, iaitu kita tidak mahir dengan aspek yang berkaitan dengan perniagaan yang hendak dijalankan.
Seseorang yang memiliki ilmu dan kemahiran seperti tukang emas, tukang plaster, tukang pasang jubin, tukang masak, pereka grafik, tukang hiasan dalaman, mak andam dan sebagainya mempunyai kemahiran tinggi sehinggakan mampu menjadikan ilmu dan kemahiran tersebut sebagai punca pendapatan. Walau bagaimanapun, sesuatu kemahiran itu boleh dipelajari dan dikembangkan.
Jika anda meminati sesuatu bidang, tetapi tidak mahir dalam bidang tersebut, dapatkan latihan teknikal dengan menghadiri kursus-kursus yang berkaitan terlebih dahulu. Terdapat banyak tempat yang meyediakan kursus-kursus kemahiran dan perniagaan yang diperakui seperti MARA, MARDI, PUNB, CIDB, PERNAS, Kolej Komuniti dan lain-lain badan kerajaan atau swasta. Ilmu dan kemahiran merupakan syarat utama yang perlu dimiliki oleh sesiapa yang ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Modal insan di negara-negara maju mempunyai ilmu dan kemahiran yang tinggi sehingga mereka mampu mengekspot produk-produk yang berasaskan ilmu dan kemahiran ke serata pelosok dunia. |
3. Jangkaan Pendapatan
Makan gaji atau bisnes masing-masing mempunyai kenaikan pendapatan horizontal dan exsponential. Orang makan gaji kenaikan pendapatan yang agak horizontal, manakala orang berbisnes mempunyai kadar kenaikan pendapatan yang tidak menentu.
Jika kita pilih untuk berhenti kerja untuk menjalankan perniagaan, pastikan perniagaan baharu tersebut mampu memberikan pendapatan yang lebih. Sekurang-kurangnya 2-3 kali ganda atau lebih daripada pendapatan bekerja makan gaji.
Janganlah kita tergesa-gesa untuk berhenti kerja hanya semata-mata seronok tengok orang lain berjaya dan menjangkakan kita juga boleh berjaya seperti mereka. Manusia mempunyai fikrah yang berbeza daripada sudut kekuatan mental, daya usaha, keberanian, ketajaman fikiran, emosi, kehendak kebebasan, daya kepimpinan dan lain-lain.
Mereka yang berjaya dalam perniagaan mempunyai kehendak kebebasan yang kuat (tidak suka dikongkong), rajin berusaha, berani, risk taker, mempunyai daya kepimpinan, kawalan emosi yang yang baik, sanggup bertindak untuk mengubah kehidupan dan yakin dengan diri sendiri.
4. Mempunyai Matlamat Yang Jelas
Matlamat yang jelas ibarat, ‘anda sudah tahu bagaimana hendak sampai ke sana?’ Jika seseorang pekerja itu benar-benar serius ingin berhenti kerja, maka matlamat perniagaan yang ingin dicapai mestilah benar-benar jelas dari A ke Z. Strategi pencapaian matlamat ditulis dengan rapi atas kertas, dan pelajarilah cara untuk membina pelan matlamat tersebut.
Misalnya, kaedah membina pelan pencapaian matlamat berasaskan model SMART NLP sangat membantu. Rumah yang sudah siap dibina daripada rangka dahulu. Rangka rumah ibarat pelan matlamat; tanpa rangka, rumah tidak dapat dibina.
Matlamat yang jelas merangkumi visi dan misi perniagaan dan matlamat umum syarikat. Matlamat yang jelas bermaksud perjalanan yang perlu dilalui sehinggalah sasaran matlamat itu dicapai, step-by-step.
Kemudian, pelan pencapaian matlamat ini hendaklah disemak semula dan diubah suai di mana perlu secara berkala. Lazimnya, pelan pencapaian matlamat hendaklah selari dengan Business Model.
5. Pasaran
Pasaran bermaksud barang atau perkhidmatan yang kita keluarkan mempunyai permintaan yang baik. Dalam erti kata lain, barang atau perkhidmatan tersebut sangat dikehendaki oleh pembeli, dan laris jika dijual.
Seterusnya, adakah kita betul-betul tahu tentang saiz pasaran, dan siapakah pembelinya? Oleh itu, pastikan kita mempunyai sejumlah besar pelanggan bagi menghasilkan pulangan yang dikehendaki. Jualan pula bergantung kepada jumlah pelanggan yang datang membeli.
Ironinya, ramai usahawan menghabiskan masa melakukan aktiviti bukan mendapatkan pelanggan. Tetapi, mereka lebih menumpukan masa kepada operasi lain yang tidak menghasilkan jualan. Sebenarnya, perniagaan tidak boleh bergerak tanpa jumlah sasaran jualan melepasi aras titik pulang modal yang cukup untuk meneruskan operasi.
Oleh itu, berikan seratus peratus komitmen untuk aktiviti menambahkan lagi bilangan pelanggan, terutamanya pada peringkat awal perniagaan. Penembusan pasaran sangat kritikal pada peringkat ini, jangan diremehkan.
Usahawan hendaklah menganggap perbelanjaan promosi dan pemasaran sebagai suatu ‘pelaburan’ dan bukannya ‘perbelanjaan’ disebabkan ianya mampu meningkatkan jualan. Sementara itu, usahawan pasif menganggap perbelanjaan promosi tersebut sebagai membuang wang sahaja.
6. Sumber Kewangan
Pertimbangan makan gaji atau bisnes, terdapat pelbagai perniagaan yang tidak memerlukan pelaburan modal yang besar. Misalnya, perunding insuran, dealer jualan langsung, perkhidmatan tuisyen di rumah, menjahit pakaian dan lain-lain. Sebenarnya, modal bukanlah suatu masalah besar.
Walau bagaimanapun, bagi mereka yang ingin menceburkan diri sepenuh masa dalam perniagaan, perlu mempunyai modal permulaan yang boleh menggerakkan perniagaan itu. Maksudnya, mempunyai wang untuk menampung kehidupan sekurang-kurangnya dalam tempoh enam hingga dua belas bulan akan datang. Namun begitu, jualan tunai seharian boleh dijadikan modal pusingan, dan perniagaan tidak stress dalam keadaan begini.
Untuk menampung keperluan modal kerja, mereka yang ingin berniaga kecil-kecilan tidak perlu mendapatkan pinjaman daripada mana-mana pihak. Oleh itu, usahawan perlu bersedia dengan sejumlah pelaburan modal permulaan sendiri di peringkat awal terlebih dahulu.
Di samping itu, kerugian peringkat awal perniagaan dalam jangka masa tertentu (paling kurang 1-6 bulan pertama) perlu kita tanggung sendiri (jika ada). Justeru, sebaik-baiknya pilihlah perniagaan yang tidak memerlukan modal yang besar, tidak membuat pinjaman, tetapi mendatangkan pulangan yang cantik.
Namun begitu, jika perniagaan sudah mula berkembang pada tahun-tahun sebelumnya, dan kedudukan kewangan sudah mantap, maka pinjaman untuk kembangkan lagi perniagaan tidak menjadi suatu masalah. Dalam keadaan seperti ini, baharulah digalakkan meminjam, dengan syarat sudah mempunyai Penyata Kewangan dan fail cukai pendapatan.
7. Pembantu Teknikal
Bantuan dan sokongan teknikal daripada kakitangan sangat penting untuk memastikan perniagaan kita berkembang maju. Oleh itu, perlu ada beberapa orang pembantu yang berkemampuan untuk mengendalikan perniagaan semasa kita tiada.
Makan gaji atau bisnes mempunyai jenis pembantu yang berbeza. Dalam bisnes, jika tiada pembantu, akan wujud satu situasi di mana bukan kita yang memiliki perniagaan tersebut, tetapi perniagaan tersebutlah yang memiliki kita. Dalam dunia makan gaji, sesiapapun boleh membantu.
Suatu ketika dahulu, saya selalu menghantar pakaian di sebuah loundry di Lucky Garden, Bangsar. Saya bertanya pekerja loundry berbangsa Filipina di situ, “mana boss awak”. Pekerja tersebut menyatakan bahawa bosnya warga negara Singapura dan dia datang menjenguk kedai itu hanya sebulan sekali sahaja. Bayangkan! Taukeh di Singapore, tetapi mampu menjalankan perniagaan di Bangsar dengan hanya datang sebulan sekali sahaja.
Dalam satu situasi yang lain pula, seorang usahawan telah melanjutkan pelajaran selama dua tahun di New Zealand bersama dengan isteri dan anak-anaknya. Sepanjang dua tahun pengajian di New Zealand, beliau telah melantik pengurusnya sebagai pengarah gantian kepada dirinya untuk menjalankan segala urusan berkaitan perniagaan tersebut.
Dalam kedua-dua senario di atas, walaupun pemilik perniagaan tidak menjaga syarikat mereka, namun perniagaan tersebut tetap berjalan lancar tanpa menghadapi banyak masalah. Hal ini disebabkan mereka dapat menyerah tugas kepada pekerja-pekerja sebagai pembantu yang mampu menjalankan perniagaan seperti yang diharapkan.
Pastikan, kita tidaklah sampai ke tahap dikudakan oleh perniagaan sendiri. Seorang kenalan saya menjalankan perniagaan membekalkan gas ke restoran dan kilang-kilang kecil. Sedih juga melihat dia mengangkat dan menurunkan tong-tong gas yang berat itu ke dalam lorinya. Menurutnya, pada malam hari seluruh badannya sakit-sakit sehinggakan beliau tidur pengsan oleh sebab terlalu letih.
Sebenarnya, dalam perniagaan, kita perlu memiliki gaya hidup yang menggembirakan, mempunyai masa untuk hobi, keluarga, hiburan dan bermasyarakat. Hakikatnya, beginilah corak pengurusan peniaga-peniaga kecil dan sederhana yang saya lihat. Mereka tidak berupaya untuk menyerahkan tugas-tugas menjalankan perniagaan tersebut kepada pekerja lain.
8. Sokongan Keluarga
Dorongan dan galakan daripada kaum keluarga terdekat seperti isteri atau suami dan ibu-bapa serta mertua amat diperlukan. Beritahu isteri atau suami, anak-anak, ibu bapa dan mertua akan hasrat kita ingin berhenti kerja dan menjalankan perniagaan sendiri, supaya mendapat restu mereka.
Bagi kaum keluarga yang lain seperti ipar-duai, sepupu dan lain-lain juga jangan diabaikan, mereka juga boleh dan dapat memberikan sesuatu pandangan yang baik.
Bagi pihak ibu-bapa dan mertua pula, doakanlah kejayaan anak menantu mereka yang berhenti kerja kerana berniaga, serta elakkan daripada memperkecil usaha mereka. Tambahan pula, anak menantu tersebut ingin mengubah corak kehidupan mereka kepada sesuatu yang lebih baik lagi pada masa hadapan.
Sokongan keluarga sangat positif dalam perniagaan yang bercorak keluarga, kerana mereka dilahirkan dalam sebuah keluarga berdinasti perniagaan.
Orang lain hanya boleh memberikan pendapat sahaja. Namun begitu, keputusan terakhir untuk menjalankan perniagaan adalah terletak di tangan kita sendiri.
Pendapat orang lain hanya sesuai bagi orang itu, tetapi mungkin tidak sesuai untuk kita. Bila orang bagi pendapat, kita angguk kepala sahaja.
9. Kesanggupan Bertindak
Kesanggupan bertindak bermaksud, sejauh mana kita sanggup bertindak untuk merealisasikan matlamat tersebut. Masalah akan timbul bagi mereka yang bertindak berhenti kerja dan isteri pula merupakan seorang suri rumah sepenuh masa yang mana beliau bergantung sepenuhnya pada kita.
Oleh itu, kesanggupan berhenti kerja untuk menjalankan perniagaan bukanlah suatu keputusan yang kecil impaknya. Fikirkan juga apakah perkara yang terburuk boleh berlaku sekiranya anda mengalami kehilangan pendapatan dalam suatu jangkamasa yang lama.
Untuk merealisasikan matlamat, kita perlu bertindak untuk memulakan dan melakukan sesuatu perkara, walau sekecil mana sekali pun. Sesungguhnya, tindakan itu lebih baik daripada banyak berkata-kata.
10. Pelan Kecemasan
Pelan kecemasan ibarat bagaimana seorang pilot kapal terbang pejuang menginjak keluar menyelamatkan diri sebelum kapal terbangnya jatuh terhempas. Elemen yang paling penting di sini ialah bagaimana ‘menyelamatkan diri’. Risikonya ialah ‘jatuh terhempas’. Namun begitu, risiko perniagaan tidaklah sampai ke tahap usahawan itu mati, kecuali beliau membunuh diri.
Acap kali usahawan akan menghadapi pelbagai risiko dan ketidakpastian disepanjang usaha mereka. Risiko-risiko perniagaan seperti persaingan, harga dan kedapatan bahan mentah, buruh, pasaran dan lain-lain perlu dikenalpasti, kemudian barulah mencari jalan penyelesaiannya.
Adalah penting bagi usahawan merangka rancangan alternatif untuk keluar daripada perniagaan tersebut apabila mendapatinya dalam keadaan ‘tekanan’ walaupun pelbagai upaya telah diambil untuk menyelamatkan keadaan.
Jika kos operasi melebihi jualan, tren jualan yang menurun, jangan tunggu lama. Signal tutup kedai sudah kelihatan.
Antara rancangan alternatif untuk menyelamatkan perniagaan ialah:
(a) Tukar model bisnes: Misalnya daripada kedai buku dan alatulis kepada pasar mini (70%) dan alatulis (30%);
(b) Berpindah ke lokasi lain: Apabila pesaing yang lebih kukuh membuka perniagaannya di sebelah kedai anda;
(c) Menukar status perniagaan daripada peruncit kepada pemborong atau pengilang;
(d) Perikatan strategik: Membekal kepada hypermarket, rangkaian mini market; atau
(e) Menjual secara dropship, atau menjadi pengeluar OEM.
Namun begitu, usahawan perlulah fleksibel dalam menukar strategi perniagaan mereka jika mendapati pasaran tersebut sudah tidak lagi menyebelahinya. Biar rugi sedikit, jangan sampai rugi banyak!
KESIMPULAN
Sebenarnya, bekerja makan gaji atau bisnes boleh dilakukan serentak bagi orang yang inginkan second stream of income. Tetapi, bagaimana? Jika berhenti kerja, bahaya. Berikut saya syorkan bagaimana kita boleh ceburkan diri dalam perniagaan tanpa perlu berhenti kerja terlebih dahulu.
a. Usahawan Sebelah Kaki
Sekarang ini zaman IT, zaman media sosial dan zaman laman web. Boleh saja libatkan diri dalam bidang insurans, jualan langsung, ejen dropship, perancang kewangan dan lain-lain. Bidang ini hanya perlukan sedikit ilmu media sosial dan boleh dipelajari melalui YouTube atau kursus-kursus melalui Zoom. Murah dan berkesan.
Saya ada beberapa orang kenalan; jutawan Amway, jutawan AseaRedox, jutawan insurans AIA dan jutawan emas. Pasangan suami isteri yang saya kenali pada mulanya bekerja sebagai guru sekolah. Diperingkat permulaan, mereka melibatkan diri sebagai deler Amway secara separuh masa sahaja. Setelah pendapatan meningkat berkali ganda, pasangan suami isteri ini mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menjadi deler Amway sepenuh masa.
Terdapat juga sahabat yang saya kenali berniaga di pasar-pasar malam. Waktu siang dia bekerja makan gaji, dan aktif berniaga di pasar malam.
Ramai juga anak-anak muda yang bekerja separuh masa sebagai social media marketer menggunakan platform seperti FaceBook, TikTok, Instagram dan Google Ads. Terdapat juga mereka mengambil upah membina laman web untuk peniaga-peniaga yang belum ada laman web.
b. Usahawan De Fakto
Usahawan de fakto ini menggunakan orang lain untuk menjalankan perniagaannya. Di Bandar Baru Bangi terdapat sebuah restoran yang sangat maju, dimiliki oleh seorang pegawai kerajaan (sekarang dah pencen). Beliau menggunakan isterinya untuk mengurus dan menjalankan restoran itu.
Sesiapa sahaja boleh menjadi usahawan de fakto jika mereka ada seseorang yang boleh dipercayai untuk menjalankan perniagaan mereka. Sebenarnya, inilah corak perniagaan moden. Misalnya, 7-Eleven dijalankan oleh pekerja sahaja, sedangkan pemiliknya menjalankan tugas pemantauan sahaja.
c. Usahawan Sepenuh Masa
Terpulanglah kepada seseorang sama ada mahu memilih usahawan sebelah kaki atau usahawan de fakto. Walau bagaimanapun, usahawan sebelah kaki dan usahawan de fakto boleh bertukar kepada usahawan sepenuh masa setelah mereka yakin pendapatan daripada perniagaan lebih berkali ganda banyaknya berbanding dengan pendapatan makan gaji.
Usahawan yang bersikap risk taker menganggap perniagaan tidak boleh dijalankan secara separuh masa. Mereka memilih berniaga sebagai suatu karier sepenuh masa diperingkat awal lagi.
[…] Makan Gaji atau Bisnes: 10 Pertimbangan Kritikal […]