Bagaimana Berkawan dan Mempengaruhi Orang Lain

kamal-alrahman

PENGENALAN

Tajuk artikel “Bagaimana Berkawan dan Mempengaruhi Orang” adalah berasal daripada karya tersohor Dale Carnegie berjudul “How to Win Friends and Influence People,” yang ditulis dalam tahun 1936.

Sehingga kini, buku ini telah dicetak sebanyak lebih 30 juta naskah di seluruh dunia. Untuk berjaya dalam bisnes, buku self-help  ini sangat menarik untuk dibaca

Terdapat 17 kaedah atau prinsip yang dikemukakan oleh Dale Carnegie bagi memenangi kawan dan mempengaruhi orang lain. Namun begitu, saya telah ubahsuai semula mengikut konteks, enviromen dan budaya tempatan. Jom kita korek, selami dan memahaminya.

TEKNIK BERKAWAN DAN MEMPENGARUHI ORANG LAIN

Pentingkah kemahiran bagaimana berkawan dan mempengaruhi orang lain ini dipelajari? Terdapat karekter tertentu pada seseorang boleh menarik kita suka berkawan dengannya. Oleh itu, mari kita selongkar sifat-sifat yang terpuji ini bagi meningkatkan lagi kualiti persahabatan, supaya pantas disenangi oleh sesiapa sahaja.

1. Lemparkan Senyuman

    • Iya, komunikasi pertama kita dengan orang lain di mulai dengan pandangan mata, dan senyuman. Walau bagaimanapun, orang asing tidak mudah memberikan senyuman sebab mereka akan merespon pada orang yang mereka kenali sahaja.
    • Senyuman yang diikuti dengan greeting seperti salam atau good morning sangat bermakna dalam kehidupan seseorang. Perbuatan simpel ini merupakan pintu masuk bagaimana berkawan dan membina persahabatan.

2. Mulakan Persahabatan Dengan Penuh Kemesraan

    • Bermula dengan senyum, kita akan mulakan komunikasi yang mesra dengan memberi greeting menurut culture masing-masing. Bagaimana berkawan mempamerkan kemesraan dengan kata-kata salutasi, appresiasi, gesture, dan semangat positif yang dizahirkan secara nyata.
    • Komunikasi mesra lagi ringkas ini bertujuan mendapatan persefahaman antara kita dengan orang lain. Jika tidak, komunikasi berlegar setakat itu sahaja, tidak berkembang.
    • Ada orang yang akan menjawab greeting tersebut secara proaktif dengan berjabat tangan. Ada juga yang menjawab salam tanpa eye contact, terus berjalan menonong kehadapan.

3. Jaga Air Muka Orang Lain

    • Tanpa disedari, tutur kata dan perbuatan kita boleh mengaibkan orang lain. Please, tolong jaga air muka orang lain dihadapan khalayak, walaupun kita tidak suka pada seseorang itu. Atau, mungkin bergurau dengannya, tetapi sedikit kasar. Dikhuatiri, akan menyalakan api kemarahan orang itu.
    • Oleh itu, teknik bagaimana berkawan sangat mengambil berat hati dan perasaan orang lain.
    • Pepatah Melayu ada mengatakan “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.”

4. Jangan Kritik, Kondem, Komplin dan Kutuk

    • Apabila bersama dengan orang lain semasa bersembang, elakkan daripada mengkritik, kondem, komplin dan kutuk orang lain dihadapannya. Misalnya, “waa, merah sangat baju kau ni, silau mata aku”. Atau, “perut engkau ini macam orang ngandung 9 bulan je.”
    • Penyakit 4K (kritik, kondem, komplin dan kutuk) ini tidak pernah melihat sesuatu itu dengan cara yang lebih baik. Apapun orang buat, dia asyik kritik, kondem, komplin dan kutuk. Jumpa orang saja dah mula kutuk itu, kutuk ini.
    • Apabila harga barang-barang naik dia asyik kritik, kondem dan komplin kerajaan, padahal pengeluar baranglah yang manaikkan harga.
    • Apa lagi jika kritik, kondem, komplin dan kutuk figura politik mana-mana parti.  Jangan rosakkan persahabatan disebabkan politik, hormatilah sahabat-sahabat kita walaupun berbeza ideologi.

5. Berikan Penghargaan Yang Jujur dan Ikhlas

    • Kadang-kadang, apabila kita dalam kesusahan atau kecemasan kita perlukan bantuan. Mungkin staf, kawan, jiran, atau strangers datang membantu. Mereka datang membantu bukan bertujuan untuk mendapatkan upah, tetapi mencari pahala.
    • Hargailah orang yang membantu kita dengan jujur dan ikhlas, ketika kita susah. Bagaimana? Ucapkan terima kasih, dan ambil nombor telefonnya untuk silaturahim. Jika terserampak dia sedang makan direstoran, pergilah ke kaunter dan bayarkan kos makanan dia.
    • Jemputlah dia jika kita mengadakan kenduri kahwin anak-anak pada masa akan datang. Sebutkan namanya pada kawan-kawan kita atas bantuan dan kebaikannya.

6. Biarkan Orang Lain Bercakap Banyak

    • Elakkan berlumba-lumba nak bercakap apabila bersembang dengan sesiapa sahaja. Cukuplah kita jadi pendengar yang baik. Banyak bertanya lebih baik daripada banyak bercakap. Prinsipnya, biarkanlah mereka bercakap, memadai kita berdiam sahaja, sambil mendengar mereka berkata-kata.
    • Jangan suka potong orang lain sedang bercakap. Atau, belum lagi dia habis bercakap kita dah buat kesimpulan. Tapi, kesimpulan yang tak betul.
    • Kita dapat tahu karekter seseorang yang banyak bercakap itu dengan lebih mudah. Boasting (cakap ke langit)? Narcissist (angkat bakul)? Empathy (memahami perasaan atau emosi)? Recalcitrant (kepala batu)? Daun Semalu (sulking), Pious (alim)? Two-faced (talam dua muka)? Burung kakak tua (menunjuk pandai)? dan macam-macam karekter lagi.
    • Pokoknya, lagi banyak orang itu bercakap, semakin banyaklah kelemahan dirinya yang terdedah tanpa dia disedari. Jika kita belajar “Language and Behaviour Profiling“, kita dah boleh buat profile lengkap orang yang banyak bercakap itu.

7. Elakkan Bertengkar Yang Menyebabkan Perbalahan

    • Sebab jadinya pertengkaran satu saja, apa yang kita cakap ditentang oleh orang lain. Kemudian, kita lawan balik. Jadilah pertengkaran. Jika salah seorang tidak beralah, pertengkaran menjadi buruk dan boleh bertumbuk.
    • Begini iya. Apabila seseorang itu bercakap melalui pengalaman yang dia lalui; jangan bantah, jangan nafi, jangan kata apa-apa. Cuma cakap “oooo.” Dengar sahaja, sebab itu pengalaman dia, atau ilmu dia. Jangan sanggah! Biarkanlah orang itu bercakap walaupun temberang.
    • Apabila kita sanggah, hujah balik, hal ini bermaksud suatu pencerobohan, suatu penghujatan wilayahnya. Menceroboh wilayah orang lain boleh mengakibatkan perang!
    • Prinsipnya, jangan ceroboh wilayah orang lain! Jagalah adab dan akhlak dalam berkomunikasi.

8. Tanya Soalan Berbanding Dengan Memberi Arahan

    • Dalam suatu majlis gotong royong, ramai orang yang memberi arahan daripada yang membuat kerja. Sepatutnya,  buat sahaja kerja-kerja, dan jika tidak pasti tanyalah ketua. Ironinya, lebih ramai yang memberi arahan daripada melakukan kerja.
    • Memberi arahan, tidak berapa disukai orang. Maksudnya, suka mengarah, bukannya buat kerja.

9. Hormati Orang Lain Yang Memberi Pendapat

    • Lagi banyak pendapat, lagi baik. More head is better than one. Kita hendaklah hormat pendapat yang dilontarkan oleh orang lain. Kita tidak tahu orang yang memberikan pendapat itu adalah pakar dalam bidangnya.
    • Masalah akan timbul jika kita merasakan pendapat kita sahaja yang betul, yang hebat. Akibatnya, kita tidak boleh menerima pendapat orang lain, walaupun pendapat kita itu ke Laut Kalzum. Sebenarnya, ramai orang lain yang lebih hebat daripada kita. Terimalah hakikat itu.

10. Ingat Nama dan Memanggil Orang Menggunakan Namanya

    • Manusia cukup suka jika dipanggil menggunakan namanya. Oleh itu, dapat ingat dan pangil kawan-kawan dengan namanya memang cukup baik. Jika lupa nama seseorang, tanyakan pada orang lain yang kenal dia. Jika orang itu kawan baik kita, takkan kita boleh lupa namanya! Elakkan panggil orang dengan nama gelaran yang jelek.
    • Jika terserempak dan ingin panggil namanya tetapi lupa, panggil sahaja Tuan Haji atau Tuan. Kalau dia seorang Dato’, panggil sahaja Dato’.

11.  Tunjukkan Minat Terhadap Orang Itu

    • Bila bersembang atau discuss dengan seseorang, fokuslah padanya. Janganlah kita asyik membaca WhatsApp, atau call sana, call sini dihadapan orang itu. Perbuatan ini jelas menggambarkan kita tidak menunjukkan minat yang baik dan tidak menghormati orang itu. Jika ada call masuk, bagi tahu sahaja kita ada discussion dan akan call balik.
    • Tunjukkan minat termasuklah tidak punctual masa temu janji. Maksudnya, kita sampai lewat. Sikap negatif ini secara terang-terangan menunjukkan orang itu kurang penting dalam memenuhi urusan kita. Sudah menjadi sifat manusia, orang berstatus kayangan diletakkan ditempat yang tinggi dan diutamakan.

12. Bersembanglah Mengikut Minat Orang Lain

    • Acap kali saya perhatikan, apabila bersembang terdapat beberapa orang akan menguasai perbualan itu. Sesi sembang itu telah di kawal oleh bebarapa orang yang tidak memberi peluang orang lain bercakap, dia sahaja yang bercakap.
    • Kita boleh layan sembang itu dengan menjurus kepada minat orang itu atau tentang apa yang diperkatakan. Ikutlah rentak orang yang menguasai sembang itu. Jangan bantah, jangan sanggah! Kalau dia minat golf, dia akan sembang pasal golf. Dengar sahajalah, walaupun sebenarnya kita menyampah!

13. Bila Buat Kesilapan, Mengaku Saja Segera

    • Amat sukar bagi seseorang untuk mengakui kesilapannya. Orang yang mengakui kesilapannya memang mempunyai perkerti terpuji. Namun begitu, dia akan menerima tindak balas negatif sebagai hasilnya. Oleh itu, dia hendaklah bersedia menerima tempias ini, walaupun pahit.
    • Tindak balas negatif ini mungkin berbentuk diturunkan pangkat, dipulaukan oleh kumpulan sosialnya dan macam-macam lagi.
    • Bagi orang yang berjiwa kental, mengaku kesilapan adalah sifat terpuji dan tidak kisahlah menerima apa jua akibatnya.

14. Bangkitkan Keinginan Tak Sabar-sabar Dalam Diri Orang Lain

    • Orang lain rasa teruja nak jumpa seorang personaliti tersohor, dan tak sabar-sabar menunggu kedatangannya. Macam bintang filem lah. Begitulah kuatnya personaliti seseorang idola, ibarat magnet yang boleh menarik logam melekat padanya.
    • Seseorang itu dihormati dan disegani kerana banyak sebab. Mungkin atas sebab kejayaan dia menjadi seorang jutawan direct selling, jutawan hartanah, jutawan emas, pendaki Gunung Everest, Mo Salah dan lain-lain. Orang ramai tak sabar-sabar nak dengar kisah kejayaan mereka.
    • Personaliti yang dinantikan itu mempunyai daya tarikan bagi orang lain. Magnet pesonaliti merupakan  kebolehan atau skill luar biasa yang dimiliki oleh seseorang. Ringkasnya, personaliti seseorang yang berjaya mampu membuat orang lain terangsang dan bertindak untuk mengubah dirinya ke arah kejayaan.

15. Jadilah Pendengar Yang Baik. Biarlah Orang Lain Bercakap

    • Pendengar yang baik adalah seorang yang sangat empati. Dia tidak menyerang, tetapi fokus mendengar,  memahaminya, dan menyelesaikannya. Apabila kita rasa tidak jelas, bertanyalah mohon pencerahan daripada orang itu.
    • Menjadi pendengar yang baik boleh menghasilkan keharmonian industri, persahabatan, keluarga dan rumah tangga yang cemerlang. Amalkan sifat dengar dan bertanya, hasilnya menakjubkan!
    • Misalnya, jika anak balik lewat kita tanyalah dahulu kenapa dia balik lewat. Dengarlah apa yang dia katakan. Jangan terus serang dan marah. Tanya dan dengar dahulu dengan baik.
    • Begitu juga, jika staf selalu datang lewat ke pejabat, tanyalah dia dahulu dan dengar apakah masalahnya. Dan bantulah dia mengatasi masalah supaya dia boleh datang mengikut waktu bekerja yang ditetapkan. Bagaimana berkawan mengambil berat keharmonian persekitaran,  bukan ketegangan.

16. Pujilah Secara Terbuka Terhadap Pencapaian Orang Lain

    • Manusia sukakan pujian yang ikhlas dan kena pada tempatnya. Jika sahabat kita berjaya naik pangkat, ucapkan tahniah. Tambahan pula, jika orang itu berjaya menaikkan jualan syarikat, pujilah kegigihan orang itu secara terbuka.
    • Terdapat pelbagai pencapaian sahabat dan kakitangan, pencapaian mereka perlu diberi pujian disamping pengiktirafan dalam bentuk estatik.

17. Lihat Sesuatu Daripada Sudut Pandangan Orang Lain

    • Ibarat melihat suatu objek pelbagai dimensi, kita tidak boleh tengok di sisi hadapan sahaja. Kena tengok juga objek itu di sisi  belakang, bawah, atas, kiri, dan kanan. Begitulah, sudut pandangan orang lain yang kita tidak nampak. Oleh itu, ambil kira pandangan orang lain juga disebabkan beberapa sudut pandangan yang berbeza.
    • Sudut pandangan orang lain dapat mencantikkan lagi hasil suatu keputusan. Kita juga dilihat sebagai menghargai dan menerima pandangan orang lain.

KESIMPULAN

Bagaimana Berkawan Dan Mempengaruhi Orang Lain merupakan sifat-sifat yang perlu kita amalkan dalam kehidupan. Apatah lagi jika seseorang itu ingin dikenali dan dihormati oleh orang lain. Visibiliti personaliti mereka seperti magnet dalam masyarakat. Ibarat gula dalam masyarakat semut.

Jika kita seorang ahli politik, ketua jabatan, majikan, pendidik, usahawan, sudah semestinya kita perlu menanam sifat dan sikap yang boleh menjadi magnet dalam environmen kehidupan kita.

Posted on 1 Comment

1 thought on “Bagaimana Berkawan dan Mempengaruhi Orang Lain

  1. […] Bagaimana Berkawan dan Mempengaruhi Orang Lain […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *