Berkawan Dengan Haters

bagaimana-mengenali-haters

SIAPAKAH HATERS?

Haters merupakan kawan atau orang disekeliling kita yang tidak suka atau membenci kita dalam diam. Hakikatnya, tidak mungkin orang yang tidak dikenali membenci atau sakit hati pada kita. Jika mereka benci sekalipun, mereka tidaklah bertindak sesuatu yang boleh menghancurkan kehidupan atau karier kita. Berkawan dengan haters dalam kehidupan merupakan suatu pengalaman penulis selama lebih 35 tahun dalam bidang perniagaan yang ingin dikongsikan bersama.

Disekeliling kita, terdapat lebih kurang 60% – 70% daripada orang yang dikenali terdiri daripada haters atau faked-friends. Hal ini bermaksud, daripada 10 orang kawan, 3 – 4 orang sahaja yang boleh dianggap sebenar-benarnya sahabat. Cuma hal ini kita tidak perhatikan secara serius sahaja.

KENAPA HATERS MEMBENCI KITA?

Haters wujud disebabkan rasa tidak puas hati mereka terhadap keberadaan atau kelebihan orang yang dikenalinya. Keberadaan yang boleh menerbitkan kebencian haters ialah mungkin pada; harta, pangkat dan kedudukan, tahap pendidikan, bakat dan kebolehan, paras rupa, status keluarga seseorang dan juga persaingan.

Kekurangan inilah yang tidak dimiliki oleh haters, lantas menimbulkan kebencian seperti petir membelah langit.

Pastinya, haters ini wujud dalam lingkungan kehidupan seharian kita, tetapi kita sendiripun tidak menyedarinya. Walaupun menyedarinya, tetapi tak ambil kisah sangat. Mungkin, kita sudah berkawan dengan haters agak lama, tiada apa-apa masalahpun.

SIFAT-SIFAT HATERS

Bagaimana berkawan dengan haters akan membentangkan beberapa sifat-sifat haters yang boleh kita cam. Sangat penting kita berhati-hati supaya dapat bertindak mengikut rentak haters dalam pergaulan dengan mereka.

1. Suka Menilai Secara Negatif

Rakan sejati akan sentiasa menyokong kita, tidak kira apapun pilihan yang kita buat.

Walau bagaimanapun, haters rahsia (secret haters) sangat cepat menilai seseorang yang dibencinya. Walaupun kita melakukan suatu perkara yang betul, bagi haters tetap juga tidak betul. Berkawan dengan haters perlu banyak kesabaran, dan kita tidak perlu bertindak balas atas perbuatannya.

Jadi mengapa rakan palsu ini (pseudo friends) sangat suka menilai kita? Terdapat enam sebab yang mungkin:

1- Menilai dan menghakimi orang lain lebih mudah dibuat berbanding dengan berfikir sesuatu.

2- Haters fikir kita bukan sebahagian daripada kumpulan dia.

3- Haters hanya mengikuti maklumat yang menguatkan lagi kepercayaannya.

4- Haters ingat dia lebih hebat daripada kita.

5- Haters menyuarakan perasaan dan fikirannya pada orang di sekeliling (termasuk kita).

6- Haters suka menceritakan perihal keburukan yang diciptanya kepada orang lain.

2. Suka Mengumpat Di Belakang

Depan kita haters menghamburkan kata-kata yang cantik belaka, tetapi haters bercakap sebaliknya dibelakang kita.  Atau, depan kita dia bercakap lain, tetapi dalam diam-diam dia buat lain.  Misalnya, saya pernah bertanya seorang kawan sama ada dia pergi attend suatu seminar minggu hadapan. Dia bagi tahu saya tak jadi, sebab kosnya mahal.

Saya terpengaruh juga dengan kata-katanya, tetapi memandangkan CPD saya belum  cukup, saya pergi juga. Kemudian, apabila saya pergi seminar itu pada minggu hadapan, nampak muka dia tertonggok dalam dewan seminar! Beginilah akibat berkawan dengan haters, mereka tidak rasa bersalahpun walaupun sudah mensabotaj kita.

3. Suka Memalukan dan Memburukkan Kita

Terdapat juga haters yang suka memalukan kita dengan mengutuk atau menyindir pakaian atau fesyen yang kita pakai. Misalnya, baju kau ni macam baju tidur lah! Jika jenis body shaming haters itu akan cakap, “badan engkau ni macam makan sekoq buaya”. Mungkin kita ni jenis suka gaya yang trendy dan fashionable, haters pula suka berpakaian old school. Timbullah rasa outdated.

Sikap suka memalukan kita ini daripada segala aspek yang haters itu nampak. Dia akan komplin, kritik dan kutuk kita secara halus, tetapi menikam kalbu.

4. Merendahkan Kebolehan Kita Cara Halus

Perhatikan, jika berkawan dengan haters dia sangat jeles jika kita dapat sesuatu dengan lebih baik daripadanya. Atau dia nampak kita selalu ada progress, tidak kiralah dalam bidang apa sekalipun. Misalnya, jika kita tunjukkan buku yang kita tulis, dan sudah diterbitkan, haters akan buat tidak tahu sahaja. Malah dia buat pula cadangan itu dan ini, walhal buku kita itu sudahpun diterbitkan. Nak belek buku kitapun dia tak nak!

Begitu juga, jika kita tunjukkan apa sahaja yang telah berjaya kita buat, dia akan buat nohen sahaja. Nampak sangat dia langsung tidak berminat dengan apa yang kita tunjukkan padanya. Tiba-tiba sahaja dia lari topik lain. Misalnya, kita berjaya membina laman web e-commerce sendiri, dan apabila diberitahu, haters enggan untuk melihatnya disebabkan dia sendiri tidak berkebolehan seperti kita.

5. Suka Bersaing Dengan Cara Menipu

Suka compete dengan kita menunjukkan sikap negatif haters yang boleh dilihat dengan jelas. Sebenarnya, dia tiada idea untuk membuat sesuatu bagi mengembangkan perniagaannya. Mungkin kita terlepas cakap suatu rancangan yang kita nak buat kepadanya. Tup-tup haters secara diam yang buat dahulu, sedangkan kita belum buat lagipun.

Haters juga selalu memberi jawapan dengan menipu kita. Dia sembunyikan dari pengetahuan kita supaya kita tidak menyainginya.

Haters akan curi idea kita dalam diam, dia cuba caras, akibatnya kita pula yang ketinggalan. Begitu jugalah keadaanya jika kita tukar kereta baharu, ubahsuai rumah, melancong dan lain-lain yang boleh menyebabkan dirinya tidak mahu kalah. Berkawan dengan haters kita rasa pelik, kenapa pulak kita yang jadi benchmark dia?

6. Bagai Enau Dalam Belukar

Berkawan dengan haters kita boleh kenali sifat mereka yang mementingkan diri. Kita selalu membantunya, tetapi dia enggan membantu kita. Kadang-kadang kita tercakap suatu peluang baik yang mana dia langsung tidak menujukkan minat. Sifatnya yang introvert kelihatan suci menyebabkan kita terperangkap, sebenarnya dia bukanlah sesuci orang yang kita gambarkan.

Haters ini bergerak laju memotong dan memintas kita dalam diam. Mereka akan memaksimumkan maklumat yang diperolehi daripada kita, kemudian bertindakbalas memblokir kita dalam setiap kesempatan yang ada. Ibarat enau dalam belukar, asalkan pucuknya dapat tumbuh tegak.

Suatu hal lagi, haters sukar untuk membantu kita, walaupun pada perkara yang kecil atau kita membantunya banyak kali. Suatu hari saya tanya seorang kawan di mana dia dapat SPSS versi 12. Dia jawab cari melalui Google dan download. Apa salahnya bagi tahu saya dia beli daripada Shopee.

Seterusnya, haters akan memberitahu kepada orang lain bahawa kita cuba berbuat tidak baik padanya. Akibatnya, orang lain itu pula yang memandang serong kepada kita. Hasilnya, wajah kita terconteng angkaranya.

7. Menunjuk-nunjuk Tahu dan Pandai

Tidak semua orang boleh melakukan semua perkara dalam suatu masa. Lazimnya, kita akan minta staf tolong buatkan, tetapi masih dalam lingkungan ilmu dan kemahiran kita. Perasan tak, kita boleh lihat haters atau sesiapa juga yang cuba menunjuk ajar suatu yang bukan dalam bidangnya, tetapi bidang kita. Bila kita bercakap, dia asyik memintas sahaja dan menyatakan apa yang cakap itu tidak betul.

Haters akan menunjuk pandai pada kita atas perkara-perkara yang dia kurang tahu. Dia cuba tunjukkan bahawa diapun tahu dan boleh buat apa yang kita tahu.

9. Cakap Besar dan Kurang Ajar

Orang yang suka bercakap besar ini mempamerkan kelemahan dirinya sendiri. Misalnya, dia sebenarnya tidak mampu, tetapi menyatakan diapun boleh buat cuma tak nak buat. Dan menjelaskan, “itu bukan level aku nak buat.” Secara tidak langsung, haters cuba underestimate kita.

Dengan orang lain, haters ini bersembang seperti biasa sahaja. Sebab, orang dikelilingnya itu tidak ada suatu perkarapun yang dia rasa iri hati. Berkawan dengan haters perlulah tenang, supaya kita sentiasa menang dikemudian hari.

10. Haters Tidak Suka Melihat Kita Bahagia

Apabila berkawan dengan haters, dia tidak senang dengan kebahagiaan hidup, karier dan kedudukan kita. Di mata haters, dia sakit hati melihat semuanya ini. Kegembiraan kita, kesengsaraan bagi haters.

Haters rasa gembira jika kita tidak dinaikkan pangkat, projek kita gagal, anak kita tidak lulus peperiksaan dan pelbagai kegagalan lain. Sahabat sejati akan meluahkan rasa empati atas kegagalan kita itu.  Haters akan menasihati kita supaya berhenti dan tidak perlu teruskan projek yang gagal itu.

Haters juga sering memberikan nasihat yang bersifat bertentangan. Misalnya, jika anak kita belajar diluar negara, haters akan kata “buat apa belajar diluar negara, universiti dalam negarapun semuanya bagus-bagus.”

11. Dia Tidak Akan Like Post Kita Di Media Sosial

Media sosial merupakan suatu medan yang dapat memberitahu kita warna sebenarnya seseorang kawan. Jangan ambil komennya sebagai suatu jenaka, tetapi ambillah sebagai suatu precaution. Walau bagaimanapun, tidak perlu terlampau serius atau overthinking. Relax!

Lihatlah reaksi haters apabila kita post suatu pencapaian tinggi anak-anak, melancong luar negara, atau berjaya melaksanakan suatu projek. Namun begitu, elakkan daripada sifat suka menunjuk-nunjuk, atau selalu membuat posting kemajuan kerja-kerja. Kebanyakan orang tidak suka melihat kemajuan orang lain, apatah lagi haters.

Posting perkara-perkara yang dianggap bodoh dan melucukan dimedia sosial lebih bagus, kerana kurang mendapat tindakbalas negatif. Dengan cara ini haters menganggap kita tiada masa depan.

12. Haters Sibuk Mengira Apa Yang Kita Ada

Haters suka bertanya tentang harga barang yang kita pakai. Misalnya, berapa harga jam tangan atau berapa harga iPhone yang engkau beli tu? Berapa harga itu, berapa harga ini dan sebagainya. Dia akan tanya sama ada kita tinggal di rumah semi-D, banglow ke atau teres.

Sebenarnya, berkawan dengan haters perlu fahami maksud pertaanyaan mereka ini. Haters hendak tahu taraf hidup kita melalui harta yang kita ada. Ironinya, haters cuba mengira harta yang kita miliki. Jawaplah dengan jawapan yang tidak menimbulkan kedengkian. Tidak perlu canang!

BAGAIMANA MENGATASI HATERS?

Seseorang itu tidak dapat mengelak atau lari daripada berkawan dengan haters. Setelah mengenali sifat-sifat haters, berikut merupakan langkah-langkah mengharmonikan kehidupan kita bersama dengan haters.

Jangan Ambil Perhatian Sangat

Beberapa sebab kawan-kawan membenci kita adalah berpunca daripada mereka sendiri – bukan kita. Tindakan mereka mungkin cara mereka menyembunyikan kemarahan, sakit hati, atau ketakutan mereka sendiri.

Oleh itu, secara personalnya, jangan ambil perhatian sangat. Terdapat juga golongan busy body, atau reporter tetapi mereka tidak membahayakan kita.

Mendiamkan Diri

Haters berasa jengkel dengan kejayaan kita, dan mereka cenderung untuk berseronok dengan kegagalan kita. Oleh itu, jika kita dapat kekalkan diri berada dalam keadaan senyap, maka tidak akan ada pemetik api untuk  mereka nyalakan.

Jika mereka tidak tahu apa-apa tentang kehidupan kita, tidak kira betapa baik atau buruknya, mereka tidak boleh membenci kita!

Berterus Terang Tetapi Tetap Menghormati

Berkonfrontasi dengan seseorang bukanlah mudah. Tetapi, jika kita memutuskan untuk berbuat demikian, pastikan berpegang pada nilai kita. Jangan bertindak seperti mana yang mereka lakukan atas kita, dan terlibat dalam perseteruan yang memalukan.

Bagaimana mengenali haters menghendaki kita tidak akan tunduk kepada haters, tetapi menggunakan mereka secara bijak bagi kepentingan kita.

Dengarkan Mereka

Jika kita mempunyai masa, duduk dan bersembanglah dengan mereka. Gunakan power of listening dengan baik. Kadang-kadang kita tidak berikan masa untuk mendengar kata-kata daripada lubuk hati mereka. Mungkin, kita memandang rendah pada mereka. Tanya mereka kenapa membenci kita. Siapa tahu? Persahabatan kita mungkin hanya memerlukan sedikit terapi bercakap mesra sahaja.

Jangan Takut Gunakan Rakan lain

Gunakan rakan sebenar membantu kita untuk bercakap dengan haters. Mana tahu, rakan kita itu boleh membantu cara-cara untuk menangani frenemy kita itu. Buah fikiran orang lain mungkin boleh menyelesaikannya.

Meminta Nasihat

Mungkin kita ada kawan-kawan yang pernah berurusan dengan haters. Apa yang mereka telah lakukan terhadap haters? Meminta nasihat dapat membantu kita merangka cara-cara untuk menangani rakan kita yang suka berpura-pura.

Jauhkan Diri Daripada Rakan Palsu

Di luar pandangan, di luar fikiran. Rakan palsu boleh merosakkan kesihatan emosi dan mental anda, jadi cara terbaik untuk pergi ialah menjauhi mereka.

Cari Kawan Baharu!

Terdapat ramai lagi orang yang layak mendapat persahabatan kita. Jangan sibuk dengan seseorang yang tidak menghargainya. Sebaliknya, sebarkan kasih sayang kepada orang yang memerlukan rakan yang prihatin seperti kita.

KESIMPULAN

Persahabatan itu sebenarnya mudah sahaja. Berkawanlah dengan sesiapa sahaja, tetapi ada batas-batas persahabatan yang perlu dijaga. Haters terbit daripada sikap kita  juga yang outspoken, menunjuk-nunjuk, dan mendedahkan keberadaan diri kepada khalayak. Mengenali sifat-sifat haters dapat meninjau diri kita supaya lebih berhati-hati dengan perbuatan kita supaya tidak menimbulkan kebencian pada orang lain.

Selayaknya kita merendahkan diri, tidak banyak membawang, tidak bergaul terlampau rapat dengan seseorang, dan jagalah mulut supaya tidak melepaskan kata-kata yang menyinggung perasaan orang lain.  Dengan cara ini, haters tidak berpeluang membenci kita disebabkan tiada poin dia nak benci kita, dan dia juga susah untuk bergaul rapat dengan kita. Lagi satu, hidup ini janganlah terlampau serius!

Posted on 2 Comments

2 thoughts on “Berkawan Dengan Haters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *