Kelayakan Pengarah Syarikat

kamal-alrahman

PENGENALAN

Apakah kelayakan minimum untuk menjadi pengarah syarikat sendirian berhad? Sebenarnya, statut tidak menetapkan kelayakan akademik pengarah syarikat persendirian. Walau bagaimanapun, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia menetapkan kelulusan akademik minimum bagi pengarah-pengarah syarikat tersenarai awam.

KELAYAKAN PENGARAH MENURUT STATUT

Kelayakan pengarah syarikat yang dilantik menurut Akta adalah seperti  berikut:

(a) orang biasa, sekurang-kurangnya berumur 18 tahun;[1]

(b) hendaklah lazimnya tinggal di Malaysia dengan mempunyai tempat tinggal utama di Malaysia;[2]

(c) bukan pengarah gilir atau gantian;[3

(d) tidak hilang kelayakan di bawah Akta,[4] dan

(e) berfikiran waras (tidak gila).

Seorang pengarah syarikat tidak dibenarkan mengundurkan diri atau mengosongkan jawatannya jika dengan pengundurannya daripada jawatan tersebut, bilangan pengarah syarikat berada di bawah bilangan minimum yang ditetapkan.[5]

Jika Perlembagaan menetapkan had bilangan minimum pengarah ialah 2 orang, oleh itu, mana-mana pengarah tidak dibenarkan meletakkan jawatan. Dengan peletakkan jawatan tersebut, bilangan pengarah yang tinggal hanya seorang. Hal ini bertentangan dengan Perlembagaan yang memerlukan bilangan minimum dua orang pengarah.

Orang Yang Mempunyai Hubungan Dengan Pengarah 

Dalam syarikat, terdapat seksyen khusus yang menyatakan orang-orang yang mempunyai hubungan dengan pengarah. Hal ini bagi memudahkan undang-undang untuk mengaitkan pengarah dalam kes-kes atau transaksi conflict of interest, penyelewengan dan pecah amanah.

Seseorang itu hendaklah disifatkan sebagai mempunyai pertalian atau hubungan dengan pengarah jika orang tersebut merupakan:[7]

(a) seorang anggota keluarga pengarah itu;

(b) pertubuhan perbadanan yang bersekutu dengan pengarah itu;

(c) pemegang amanah, selain pemegang amanah bagi skim syer pekerja atau skim pencen, yang di bawahnya pengarah itu atau anggota keluarganya merupakan benefisiari; atau

(d) pekongsi pengarah itu atau pekongsi orang yang berkaitan dengan pengarah itu. 

Anggota keluarga yang mempunyai hubungan dengan seorang pengarah termasuklah:

(a) suami atau isteri;

(b) ibu atau bapa;

(c) anak;

(d) anak angkat dan anak tiri;

(e) adik beradik;

(f) suami isteri kepada anak; atau

(g) adik beradik pengarah itu.

Dalam  kes-kes konflik kepentingan, misalnya keuntungan rahsia, pengarah lazimnya menggunakan orang-orang yang mempunyai hubungan persaudaraan atau kekeluargaan sebagai proksi bagi  melaksanakan niatnya. Kelayakan pengarah syarikat diambil kira daripada sudut keperluan statut sahaja. Namun begitu, statut menetapkan tugas dan kewajipan  fidusiari pengarah bertindak bagi kepentingan syarikat.

Hubungan Antara Perbadanan Bersekutu Dengan Pengarah

Terdapat juga pihak-pihak luar seperti perbadanan bersekutu dengan pengarah bagi tujuan yang berkonflik dengan kepentingan syarikat. Suatu perbadanan itu dianggap bersekutu dengan pengarah dalam keadaan seperti berikut:

(a) Majoriti pengarah perbadanan tersebut lazimnya bertindak mengikut arahan, petunjuk atau kemahuan pengarah itu;

(b) Pengarah yang dimaksudkan mempunyai kepentingan mengawal pertubuhan perbadanan tersebut;

(c) Pengarah yang dimaksudkan berhak melaksanakan atau mengawal pelaksanaan tidak kurang daripada dua puluh peratus undi (20%) yang terikat dengan syer mengundi dalam pertubuhan perbadanan tersebut.

HAD BILANGAN PENGARAH

Setiap syarikat hendaklah mempunyai bilangan minimum pengarah seperti berikut:[6]

(a) syarikat persendirian – seorang pengarah; atau

(b) syarikat awam – dua orang pengarah.

Mana-mana pengarah syarikat awam yang meletakkan jawatan, pastikan terdapat seorang lain dilantik bagi menggantikannya supaya memenuhi syarat bilangan minimum pengarah. Hal ini disebabkan bilangan had minimum pengarah bagi syarikat awam ialah dua orang. Sebaliknya, bagi syarikat persendirian pula had minimum bilangan pengarah adalah seorang sahaja.

Statut tidak menetapkan had bilangan maksimum pengarah. Walau bagaimanapun, lembaga pengarah boleh menetapkan had bilangan maksimum pengarah syarikat dalam Perlembagaan.

KESIMPULAN

Kelayakan pengarah syarikat dan orang yang mempunyai hubungan dengan pengarah adalah dua aspek yang berbeza. Kelayakan pengarah menetapkan orang yang layak untuk dilantik  sebagai pengarah syarikat. Orang yang mempunyai hubungan dengan pengarah bertujuan bagi mengaitkan seseorang pengarah itu mempunyai konflik kepentingan, untung rahsia dan sebagainya dengan pihak ketiga.

——————————————–

Nota kaki:

[1] Seksyen 196(2) AS 2016

[2] Seksyen 196(4)(a) AS 2016

[3] Seksyen 196(4)(b) AS 2016

[4] Seksyen 198 AS 2016

[5] Seksyen 196 AS 2016

[6] Sekyen 196 (1) AS 2016

[7] Seksyen 197 AS 2016

HUBUNGI KAMI

Kursus Perniagaan dan Keusahawanan Untuk Newbies dan Usahawan.
Posted on 1 Comment

1 thought on “Kelayakan Pengarah Syarikat

  1. […] Kelayakan Pengarah Syarikat […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *