KEPENTINGAN MEMBUAT KEPUTUSAN
Setiap hari kita membuat keputusan. Sama ada dalam dunia pekerjaan, perniagaan, mahupun dalam urusan kehidupan. Suatu keputusan yang diambil mungkin terbit daripada konsensus organisasi, dipengaruhi oleh kehendak pihak ketiga yang berautoriti, atau pertimbangan positive thinking kita sendiri.
Objektif artikel ini ialah mendedahkan teknik membuat keputusan holistik, yang sangat sesuai diamalkan dalam kehidupan serba moden, materialistik dan penuh penipuan. Ia menggunakan kaedah gerak hati atau kalbu yang bersifat suci lagi tidak tercemar. Pastinya, kita hendaklah mempelajari teknik membuat keputusan holistik ini bagi mendapatkan hasil yang terbaik.
Orang ramai terjebak dengan pelbagai online scam, melibatkan kerugian sehingga berbiliun ringgit. Penipuan online ini menjadi tidak terkawal selepas wabak Covid 19 melanda, yang mana ramai orang ingin mencari pendapatan tambahan melalui wang simpanan mereka dengan cara melabur. Orang ramai perlu dididik melalui kaedah membuat keputusan menggunakan qalbu supaya dapat mengelak lesapnya wang mereka dalam sekelip mata ke tangan scammer.
Keputusan yang tidak betul boleh mendatangkan kerugia, dan hal ini boleh membawa trauma berpanjangan dalam hidup seseorang. Bayangkan, kita hanya ada beberapa detik sahaja untuk membuat keputusan penting dalam kehidupan seharian. Dan dalam beberapa detik itulah wang kita akan hangus akibat silap pertimbangan.
Keputusan Berdasarkan Otak dan Pengalaman Lepas
Majoriti daripada kita lebih cenderung membuat keputusan berdasarkan positive thinking, dan “what you see, what you get atau result pengalaman lepas. Terdapat pelbagai penentu lain yang tidak boleh dikawal kerap mempengaruhi seseorang dalam membuat keputusan yang betul dan tepat.
Maksudnya, kaedah membuat keputusan biasa atau moden dengan bukti tersedia tidak mampu menghasilkan pulangan yang diinginkan. Malah, boleh mendatangkan rugi seumur hidup!
Pada suatu awal pagi, lebih kurang 15 tahun lalu, saya berhenti di sebuah kedai runcit sambil membelek beberapa news paper harian di situ. Kemudian, saya terdengar suara seorang wanita menjerit-jerit daripada sebuah MPV dengan pintu terbuka tidak berapa jauh daripada saya. Saya tidak mengendahkan jeritan itu, dan menyangka tidak ada apa-apa perkara yang serius berlaku.
Kemudian saya toleh ke belakang, terlihat beberapa orang membantu wanita yang dalam keadaan panik. Rupanya, hand beg dia diragut oleh dua orang lelaki bermotorsikal. Jika kita bergantung kepada pemikiran positif semata-mata, otak tidak upaya memproses maklumat seperti itu.
Penggunaan Sensor Hati atau Qalbu
Kaedah membuat keputusan alternatif perlu dipelajari dan diamalkan. Membuat keputusan menggunakan qalbu merupakan suatu kaedah yang lebih selamat, disebabkan ia bersifat bersih daripada pengaruh nafsu dan bisikan jahat.
Sensor istimewa hati atau qalbu terbina dalam dan tidak wujud secara fizikal dalam jasad manusia. Namun begitu, fungsinya sangat penting dan menakjubkan. Hati atau kalbu bukanlah deria keenam, disebabkan ia wujud dalam tubuh badan setiap orang tanpa boleh dilihat oleh mata kasar.
SUDAH BERAPA KALI ANDA KENA KENCING!Dalam perjalanan kehidupan seseorang, mesti seseorang itu pernah kena kencing. Berapa kali kena kencing dan berapa banyak duit dia yang hangus adalah rahsia, dan menjadi kenangan buruk dalam hidupnya. Sebenarnya, naluri manusia akan berkata-kata dan memberitahu tuannya bahawa orang itu conman dan tidak boleh dipercayai. Qalbu merupakan sensor terakhir manusia yang berfungsi bagi mengesan elemen yang boleh mendatangkan tsunami kepada tuannya. Dalam erti kata lain, kita gagal bertindak menggunakan qalbu dalam membuat keputusan lantaran dicaras oleh nafsu dan bisikan jahat. Misalnya, seseorang itu tidak berani untuk menyeluk tangannya dalam lubang. Sudah tentu hatinya berkata-kata “entah-entah ada binatang bisa dalam lubang itu.” Qalbu sudah mengingatkan tuannya lebih awal! |
KENAPA KITA KENA TIPU?
Bagaimana seseorang itu boleh kena tipu atau tertipu? Sebenarnya, seseorang itu gagal menggunakan sensor terakhir mereka; yakni qalbu. Hakikatnya, qalbu sudah memberitahu tuannya beberapa kali tentang penipuan itu. Tetapi, tidak diendahkan disebabkan sudah dikuasai oleh nafsu dan bisikan jahat.
Membuat keputusan holistik akan tenggelam jika kita dikuasai oleh nafsu, syaitan dan fikiran jahat.
Sudah terbayang pulangan lumayan sedang menunggu, walaupun sudah tahu belum pasti. Malahan, duit yang dilaburkan dalam bitcoin lesap!
Pendekatan sains moden “pemikiran positif (positive thinking)” hanya sesuai digunakan untuk tujuan kemahiran kognitif sahaja. Kebolehan dan kemahiran kognitif manusia adalah berbeza antara satu sama yang lain mengikut profesyen masing-masing. Kemahiran kognitif boleh dipelajari bagi mengembangkan lagi pretasi dan kemahiran seseorang.
Kebolehan Kognitif
Kebolehan kognitif ialah kemahiran yang digunakan oleh otak manusia untuk menyelesaikan tugas harian yang penting seperti berfikir, belajar, membaca, mengingat, bercakap, mendengar dan memberi perhatian. Kebolehan kognitif berlaku secara semula jadi dalam otak, tetapi manusia boleh kembangkan dan menguatkan otak mereka mengikut keperluan diri.
Kebolehan Intuitif
Namun begitu, psikologi moden mengutarakan membuat keputusan secara intuitif; yakni:
Intuitive decision-making is the way people make decisions naturally, without the use of formal tools and procedures.
“Make decisison naturally” termasuklah menggunakan pengalaman yang lepas dalam membuat keputusan intuitif. Jelasnya, tidak diperincikan penggunaan hati atau qalbu dalam membuat keputusan intuitif ini.
Membuat keputusan intuitif itu berlaku tanpa menggunakan pemikiran (otak) sama sekali. Misalnya, “mempercayai keberanian kita” atau “menggunakan kuasa” dalam deria keenam tanpa disedari.
MEMBUAT KEPUTUSAN HOLISTIK
Apakah kaitan kemahiran kognitif dengan membuat keputusan holistik? Kemahiran kognitif dan juga pemikiran positif tidak dapat mengesan elemen-elemen tersembunyi yang terdapat pada orang lain. Misalnya, pemikiran positif seseorang mengatakan orang yang berpakaian suite bertali leher dan membawa briefcase merupakan seorang CEO syarikat atau orang yang hebat-hebat.
Kemahiran kognitif dan pemikiran positif gagal mengesan bahawa sebenarnya lelaki itu seorang perompak yang dikehendaki oleh polis.
Pengaruh Nafsu dan Bisikan Jahat
Seorang laki-laki daripada syarikat pelaburan bertemu dengan seorang Pak Cik pencen, dan dia mempromosi skim pelaburan kripto. Lelaki itu menunjukkan kepada Pak Cik trek rekod keuntungan dan data-data yang telah dipeolehi oleh pelabur yang menyertai skim mereka. Pada mulanya, Pak Cik itu terpengaruh juga dengan penerangan yang meyakinkan daripada lelaki itu. Kemudian, qalbu Pak Cik itu berkata, “jangan, awak tak tahu menahupun pelaburan kripto ini”.
Dalam membuat sesuatu keputusan, sesiapapun tidak tahu sama ada keputusan itu membuahkan hasil yang baik atau tidak. Cuma, atas kertas sahaja mungkin menampakkan untung berjuta. Sebab itulah lelaki itu menggunakan bukti-bukti visual untuk memancing Pak Cik itu supaya yakin dan percaya dengan pelaburan kripto tersebut.
Kemudian, nafsu dan bisikan jahat cuba sailang Pakcik “Wow, banyaknya dapat untung tu, boleh lah join, dapat income tambahan.” Hati atau qalbu Pak Cik mencelah “Hangus duit nanti. Orang ni tidak boleh dipercayai.”
Begitulah hati atau qalbu akan berkata-kata kepada tuannya. Jika nafsu dapat duit lumayan dan ditambah dengan bisikan jahat mengatasi, maka boleh jahanam Pak Cik itu.
Dalam perniagaan, walaupun business plan atau business model kita hebat, dahsyat, belum tentu boleh berjaya. Atas kertas semua nampak cantik, ibarat seorang gadis dipakaikan mekap.
Penggunaan Gerak Hati atau Qalbu
Oleh itu, membuat keputusan holistik melangkaui kebolehan kognitif dan intuitif seseorang. Mari kita tinjau bagimana Rasullullah memberi panduan membuat keputusan holistik melalui hati atau qalbu.
Daripada Abu Muhammad, Al Hasan bin ‘Ali bin Abu Thalib, cucu Rasulullah s.a.w, aku telah menghafal (sabda) dari Rasulullah s.a.w.:
“Tinggalkanlah apa-apa yang meragukan kamu, bergantilah kepada apa yang tidak meragukan kamu ” ~ (Arbain Imam Nawawi).
Seimbangkan keputusan yang dibuat melalui fikiran positif dengan kaedah penggunaan gerak hati atau kalbu. Ikutilah petikan hadis berikut tentang gerak hati.
Wabisah bin Ma’bad r.a menceritakan, ‘Pada suatu hari saya berkunjung ke rumah Rasullulah s.a.w. Belum sempat saya mengemukakan pertanyaan yang saya pendam, baginda mendahului dan melontarkan pertanyaan kepada saya, ‘Apakah kamu datang ke sini untuk menanyakan tentang al-birru?
Saya menjawab, ‘benar, wahai Rasullullah.’ Kemudian baginda bersabda:
‘Mintalah pertimbangan kepada hatimu. Al-birru adalah segala sesuatu yang jiwa dan hati merasa tenang (apabila melakukannya). Adapun al-ithmu adalah segala sesuatu yang bergelora pada nafsumu namun hatimu ragu (untuk melakukannya) meskipun banyak orang yang memberi dorongan kepadamu (membolehkan kamu melakukannya).’
Dalam hadis ini Rasullulah s.a.w menegaskan bahawa al-birru adalah segala sesuatu yang apabila dilakukan maka jiwa dan hati berasa tenang (Indahnya Akhlak Rasullullah, Abdul Mun’im Al-Hashim, Inteam Publishing).
KESIMPULAN
Jelasnya Rasullullah s.a.w telah menunjukkan kepada kita suatu kaedah dalam membuat keputusan iaitu, meminta pertimbangan kepada kalbu kerana ianya mampu membuatkan jiwa dan hati merasa tenang.
Di sinilah terletaknya doktrin dalam membuat keputusan holistik, sama ada jiwa manusia merasa tenang pada hatinya atau mendatangkan sesuatu yang bergelora atau keraguan pada hatinya, iaitu bertentangan dengan fitrah manusia.
Hal ini disebabkan terdapatnya elemen-elemen tersembunyi yang tidak dapat diketahui oleh manusia. Acap kali, walaupun sesuatu keputusan yang diambil mendatangkan keuntungan lumayan, namun dikhuatiri bahaya besar sedang menunggu!
Kesimpulannya, qalbu mampu membuatkan kita rasa tenang dan tenteram. Elakkan daripada melakukan perkara-perkara yang mendatangkan rasa gelora dan tidak tenteram dijiwa kita.
[…] Membuat Keputusan Holistik […]