Memilih Entiti Perniagaan Yang Sesuai

YANG MANA SATU SESUAI?

Katakan dua orang doktor gigi mahu menubuhkan sebuah klinik pergigian bernama Klinik GiGi Cute. Kedua-dua doktor ini bercadang memilih suatu entiti perniagaan yang sesuai buat mereka.

Kedua-dua doktor tersebut sudah pasti berdaftar dengan Malaysian Dental Council (MDC) untuk mendapatkan sijil amalan tahunan sebagai doktor pergigian.  MDC mempunyai undang-undang bertulis sendiri untuk mendaftarkan doktor-doktor pergigian yang ingin membuka klinik persendirian masing-masing.

Terdapat tiga pilihan entiti perniagaan yang sesuai bagi doktor ini. Mereka boleh memilih entiti perniagaan sama ada perkongsian, PLT dan syarikat disebabkan bilangan mereka dua orang sahaja.

PERKONGSIAN KONVENSIONAL

Jika mereka memilih perkongsian konvensional, liabiliti setiap pekongsi adalah tidak terhad, dan tiada sifat entiti undang-undang yang berasingan.

Akibatnya, mati pekongsi matilah perniagaan (kecuali dinyatakan dalam perjanjian perkongsian), dan tidak boleh memiliki harta atas nama perniagaan.

Oleh itu, perjanjian perkongsian dapat menyelesaikan kemelut masalah yang timbul dikemudian hari. Jika ingin mewujudkan perjanjian perkongsian, dapatkan khidmat nasihat daripada peguam terlebih dahulu.

PERKONGSIAN LIABILITI TERHAD

Jika kedua-dua doktor ini memilih PLT, mereka dapat menikmati status liabiliti terhad, dan sifat entiti undang-undang yang berasingan. PLT tidak memerlukan perkhidmatan setiausaha syarikat dan juruaudit. Salah seorang pekongsi akan bertindak sebagai seorang pegawai pematuhan.

Pekongsi PLT profesional hendaklah terdiri daripada mereka yang mempunyai bidang profesional yang sama. Misalnya, pekongsi klinik pergigian hendaklah terdiri daripada doktor gigi juga. Tidak dibenarkan orang lain jadi pekongsi PLT klinik pergigian.

PLT boleh memiliki harta atas nama sendiri, dan jika mana-mana pekongsi meninggal dunia, PLT wujud berterusan.

Jika seorang pekongsi keluar daripada PLT, pekongsi yang tinggal hendaklah mencari seorang doktor gigi lain sebagai pengganti supaya bilangan pekongsi tidak kurang daripada dua orang.

Penyata Kewangan PLT tidak perlu diserah simpan ke pejabat SSM setiap tahun, namun begitu, Perakuan Tahunan PLT hendaklah difailkan bagi setiap tahun kalendar. Penyata Kewangan PLT hendaklah dihantar ke LHDN setiap tahun taksiran bagi tujuan cukai pendapatan.

SYARIKAT SENDIRIAN BERHAD

Jika kedua-dua doktor ini memilih syarikat sendirian berhad sebagai entiti perniagaan, mereka dapat menikmati status yang sama seperti PLT.

Tambahan pula, jika mana-mana doktor itu keluar daripada syarikat, syarikat boleh terus berjalan disebabkan bilangan minimum pengarah dan pemegang syer syarikat ialah seorang sahaja. Bilangan pengarah dalam syarikat lebih fleksibel berbanding dengan PLT.

Dalam syarikat, pengarah boleh terdiri daripada mereka yang bukan dalam profesyen yang sama. Misalnya, pengarah klinik pergigian itu terdiri daripada seorang doktor gigi dan isterinya, seorang akauntan.

Pemegang syer yang keluar daripada syarikat boleh menjual syernya kepada doktor yang tinggal dalam syarikat itu.

Penyata Kewangan dan Penyata Tahunan syarikat hendaklah diserah simpan apabila genap tempoh setiap tahun, kecuali bagi syarikat persendirian berkecuali.

KESAN CUKAI

Sebelum memilih entiti perniagaan, fikirkan juga faktor cukai. Kadar cukai PLT dan syarikat sendirian berhad adalah tinggi, yakni 17% setahun.

Firma perkongsian tidak dikenakan cukai pendapatan. Namun begitu, cukai pendapatan dikenakan atas setiap pekongsi mengikut kadar cukai pendapatan individu.

Kedua-dua doktor ini boleh memilih entiti perniagaan sama ada perkongsian konvensional, PLT atau syarikat. Syarikat didapati lebih fleksibel dalam aspek bilangan ahli.

KESIMPULAN

Kelebihan PLT ialah, tidak perlu serah simpan penyata kewangan di SSM, Penyata Kewangan tidak perlu diaudit, di samping kos-kos pematuhan lain adalah rendah.

Perkongsian konvensional pula lebih mudah diuruskan, di samping kos-kos pematuhan yang rendah dan cukai pendapatan dikenakan atas setiap pekongsi menurut kadar cukai individu.

Entiti perniagaan perkongsian konvesional boleh ditukarkan kepada PLT atau syarikat pada masa akan datang apabila didapati ia kurang sesuai lagi menurut kehendak semasa.

Kesimpulannya, memilih entiti perniagaan yang bersesuaian tidaklah sukar. Pertimbangan pemilihan dibuat menurut profesyen, jenis perniagaan, liabiliti pemilik, kos pematuhan, kadar cukai, dan fleksibiliti.

Apabila perniagaan sudah maju, kos-kos pematuhan yang tinggi sudah tidak lagi menjadi isu yang besar.

[rara_call_to_action title=”Penubuhan Syarikat Sendirian Berhad” button_text=”WhatsApp Me Now!” button_url=”https://api.whatsapp.com/send?phone=60132602878&text=penubuhan%20syarikat” target=”_blank” button_align=”center”]Sila Hubungi Kami

[/rara_call_to_action]

 

Posted on 2 Comments

2 thoughts on “Memilih Entiti Perniagaan Yang Sesuai

  1. constantly i used to read smaller content that as well clear their
    motive, and that is also happening with this piece of writing which I
    am reading at this time.

    1. thank you bro!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *