Memilih Rakan Kongsi Perniagaan Yang Betul

CORETAN NIAGA

Rakan kongsi yang dimaksud dalam artikel ini ialah sama ada rakan kongsi dalam firma perkongsian, PLT atau syarikat. Walaupun syarikat tidak dipanggil sebagai rakan kongsi, tetapi prinsipnya orang itu berkongsi untung dan rugi dengan kita dalam perniagaan.

Suatu perkongsian memerlukan sekurang-kurangnya dua orang pekongsi. Lazimnya, agak sukar hendak memilih rakan kongsi bisnes yang serasi dan bertanggungjawab. Di sini, penulis ingin memberikan beberapa tips bagaimana memilih rakan kongsi perniagaan yang sepatutnya.

Bukannya mudah hendak memilih rakan kongsi yang serasi, sama juga seperti memilih pasangan hidup. Keadaan menjadi bertambah sukar jika perniagaan sudah berjaya.

TIPS MEMILIH RAKAN KONGSI

Berdasarkan pengalaman penulis selama lebih 35 tahun sebagai setiausaha syarikat, berikut dikongsikan beberapa pertimbangan yang boleh digunapakai dalam memilih rakan kongsi perniagaan yang betul.

Pekongsi yang membawa idea atau projek

Pencarian rakan kongsi bermula apabila pemilik idea atau projek asal tidak cukup modal, dan mahu berkongsi risiko dengan orang lain. Lantas, pemilik projek beriltizam mencari seorang atau lebih rakan kongsi untuk menjalankan projek perniagaan itu.

Suatu projek perniagaan berskala besar memerlukaan beberapa orang rakan kongsi untuk menghasilkan saiz modal yang mencukupi. Misalnya, seorang doktor gigi mencari rakan kongsi perniagaan untuk berkongsi modal dan risiko dalam perniagaan klinik pergigian.

Pekongsi yang menyumbang modal

Tujuan utama perkongsian ialah untuk mengembelingkan modal. Modal mempunyai kaitan langsung dengan risiko. Besar modal, besarlah risikonya. Oleh itu, setiap pekongsi wajarlah menyumbangkan sejumlah modal sebagai membuktikan bahawa pekongsi itu juga sanggup berkongsi risiko.

Lazimnya, jumlah modal yang disumbangkan oleh rakan kongsi berkadar terus dengan kadar berkongsi untung. Dalam erti kata lain, penyumbang modal tertinggi akan memperolehi kadar perkongsian untung lebih tinggi.

Rakan kongsi yang menyumbangkan modal menepati maksud perkongsian; yakni, rakan kongsi itu sanggup menanggung risiko kerugian di peringkat awal perniagaan lagi.

Masalah akan timbul jika rakan kongsi yang tidak menyumbangkan modal diberikan peratusan perkongsian untung. Besar kemungkinan terdapat rakan kongsi akan meninggalkan firma ketika susah diperingkat awal perniagaan.

Oleh itu, jangan ambil orang yang tidak menyumbangkan modal dalam perkongsian sebagai rakan kongsi. Jelaslah, mereka tidak sanggup menanggung risiko. Walau bagaimanapun, mereka boleh diambil sebagai pekerja yang dibayar gaji sementara menunggu sumbangan modal cukup untuk menjadi rakan kongsi.

Pekongsi yang mempunyai kemahiran

Rakan kongsi yang mempunyai ilmu atau kemahiran teknikal, khususnya mereka yang mempunyai lesen kecekapan tertentu sangat diperlukan oleh firma. Kehadiran mereka sudah tentu dapat memberikan nilai tambah dan mengukuhkan lagi kedudukan firma.

Rakan kongsi yang berkemahiran tinggi sangat sukar dicari. Kehilangan mereka boleh mendatangkan kesan buruk kepada perniagaan pada masa akan datang. Oleh itu, memilih rakan kongsi perniagaan perlu dibuat dengan teliti.

Pekongsi yang tidak disenarai hitam atau muflis

Memilih rakan kongsi perniagaan yang betul termasuklah bebas daripada disenarai hitam oleh institusi kewangan atau pemiutang. Hal ini akan menyukarkan firma perkongsian untuk membuka akaun semasa dengan bank kelak.

Sudah menjadi peraturan Bank Negara tidak membenarkan mereka yang disenarai hitam atau muflis membuka akaun semasa dengan mana-mana institusi kewangan.

Pekongsi yang tidak menghadapi apa-apa prosiding mahkamah

Sebenarnya, rakan kongsi hendaklah bersih daripada mana-mana prosiding mahkamah supaya tidak menjejaskan reputasi perkongsian.

Semua rakan kongsi perniagaan perlulah tidak disabitkan dengan mana-mana kesalahan; misalnya, kesalahan jenayah, pecah amanah, rasuah dan sebagainya.

Memilih pekongsi bisnes baharu hendaklah  berasaskan kepada kelima-lima faktor di atas. Justeru, firma berada dalam landasan yang betul jika setiap pekongsi dapat memenuhi kelima-lima kriteria tersebut.

KESIMPULAN

Tips memilih rakan kongsi perniagaan yang betul dapat menentukan berjaya atau tidaknya “start-up” itu diperingkat awal.  Banyak perniagaan yang pancit diperingkat awal lagi disebabkan oleh rakan kongsi. Namun begitu, terdapat juga elemen-elemen lain yang perlu dipertimbangkan mengikut standard spefikasi masing-masing. Jika mampu lakukan sendiri, tidak perlulah berkongsi. Hal ini disebabkan, lambat laun lidah akan tergigit jua. Mengambil staf adalah lebih baik daripada mengambil rakan kongsi.


Ready to take your business to the next level?

Get in touch today and receive a complimentary consultation.

Posted on Leave a comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *