MIND SETTING
Apakah persediaan awal yang diperlukan seseorang sebelum dia menjadi usahawan? Perbahasan ini sangat penting disebabkan kaitannya dengan darjah berjaya atau gagalnya seseorang diperingkat pra-usahawan. Persediaan “minda usahawan berjaya” mengupas isu kualiti dalaman paling minimum yang diperlukan sebelum sesesorang itu melibatkan diri dalam dunia perniagaan.
Hakikatnya, pada peringkat pra-usahawan, seseorang itu tidak tahu sejauh mana dia boleh bertahan menghadapi tribulasi, depressi dan perasaan kompleks inferioriti. Lupakan sahaja kehandalan, kemahiran dan kepandaian diri; kalau cepat koyak, hati tisu dan melayang ditiup angin, jiwa dan minda anda perlu di “overhaul” terlebih dahulu.
Usahawan dan newbies hendaklah sentiasa berada dalam landasan spiritual dan emosional yang kukuh. Tahap kesusahan dunia bekerja sendiri jauh bezanya dengan dunia makan gaji. Ibarat langit dengan bumi. Tidak ada istilah anak bapak, ada payung, ada ah long. Yang ada hanya “ada sales ada duit masuk”.
Usahawan perlu berada diposisi yang betul dan strategik di peringkat awal; yakni, perlu buat installasi sensor yang dapat mendeteksi hala tuju yang tersasar daripada laluan.
Wawasan minda usahawan berjaya lebih kurang begini, “seseorang itu hendaklah “setting” dalaman dirinya dengan betul diperingkat awal lagi.” Sebab, dipenghujung nanti sudah dapat lihat bunga-bunga kejayaan.
Walaupun terpesong, kita boleh betulkan semula disebabkan “setting” peringkat awal bertindak sebagai sensor pengesan.
Bersama ini saya kongsikan suatu set kualiti minda usahawan berjaya sebelum anda semua memasuki gerbang keusahawanan.
① Niat
Niat itu adalah tujuan kita. Betulkan niat dahulu sebelum memulakan sesuatu. Niat asal minda usahawan berjaya ialah untuk membantu orang susah, golongan asnaf dan membuat amal kebajikan lain yang dituntut.
Lupakan niat untuk hidup senang lenang dan kaya-raya melalui jalan berniaga. Namun begitu, tidak salah kalau niat nak kaya sebab nak tolong orang susah. Lagipun, kaya itu adalah rezeki dan anugerah Allah belaka.
Tidak semua usahawan hidup kaya-raya. Ramai juga yang lingkup, bankrap pun perkara biasa. Mengejar harta kekayaan itu ibarat mengejar kaki langit, makin dikejar semakin jauh. Oleh itu, perbetulkan niat kita diperingkat awal lagi supaya sentiasa berada dalam landasan yang lurus.
② Hubungan Dengan Ibu-Bapa
Jagalah hubungan baik dengan kedua ibu-bapa. Doa mereka terhadap anak-anak sangat mustajab dimakbulkan Allah. Kemudian, sebelum mula berniaga, mohon ampun dan restu daripada kedua ibu-bapa terlebih dahulu. Sesungguhnya, tiada ibu-bapa yang ingin melihat anak-anak mereka susah, gagal dan kecewa.
Minda usahawan berjaya selalu mohon pada ibu-bapa agar mereka mendoakan mereka berjaya. Penuhilah keperluan hidup mereka, bahagiakan mereka selalu, walaupun tidak diminta.
③ Doa
Doa merupakan senjata utama untuk orang yang berjaya. Apabila kita berdoa bersungguh-sungguh, seluruh anggota tubuh badan turut berdoa sama pada Allah.
Firman Allah (Ghafir: 60):
“Dan Tuhan kamu berfirman‘Berdoalah kamu kepadaKu, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina.” |
Allah telah berjanji memperkenankan doa kita. Yakinlah, doa dan permohonan kita itu akan dimakbulkan olehNya. Berdoalah setiap hari dengan bersungguh-sungguh.
④ Usaha dan Tawakkal
Tawakkal tanpa usaha ibarat kita hendakkan sesuatu secara percuma sahaja. Setelah berusaha bersungguh-sungguh, kita berdoa dengan penuh yakin, mohonlah Allah permudahkan segala urusan dan dikurniakan hasil yang terbaik.
Serahkan bulat-bulat urusan kita pada Allah dalam memberikan hasil atau pulangannya. Ingatlah, rezeki itu milikNya, kita hanyalah hamba yang mengharapkan segala setiap sesuatu dariNya.
Firman Allah (Surah Al-Talaq : 2-3)
Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. |
⑤ Kecerdasan Spiritual
Tingkat spiritual yang terbaik perlu wujud, malahan perlu dituntut, dan diamalkan sepanjang hayat. Kercerdasan spiritual sangat penting buat minda usahawan berjaya. Mereka hendaklah tahu, sedar dan akur bahawa rezeki mereka bergantung pada Yang Maha Esa. Ringkasnya, usahawan perlu berada pada tahap sentiasa menyintai Allah dan Rasullullah s.a.w. dengan cara membuktikan dan mengamalkannya dalam kehidupan.
Menyintai Allah yang memberi kita nyawa, rezeki, kehidupan, isteri, anak-anak, kesihatan, dan pelbagai nikmat lain yang tidak terhitung. Sebagai usahawan, kita hendaklah sentiasa mentaati perintah Allah, mensyukuri nikmatNya, berzikir padaNya dan memohon apa sahaja kepadaNya. Bebaskan jiwa dan minda kita daripada bergantung kepada orang lain, kecuali kepadaNya sahaja.
Kasih sayang kita pada Rasullullah s.a.w. yang diciptakan buat rahmat sekelian alam hendaklah dizahirkan melalui solawat dan mengikuti sunnah yang baginda tinggalkan. Tugas dan kewajipan usahawan hendaklah meletakkan kecintaan kepada Allah dan Rasullullah s.a.w. lebih utama dalam menjalankan tugas harian sebagai insan yang bekerja sebagai seorang usahawan.
⑥ Kecerdasan Emosi
Pakar-pakar psikologi menyatakan minda usahawan berjaya mempunyai kecerdersan emosi lebih tinggi berbanding dengan kecerdasan IQ. Bagimana emosi kita, jika gagal, jika kena marah, jika barang kena reject, jika kena saman, jika anak sakit berpanjangan, jika ibu meninggal dunia, jika kita kemalangan atau ditimpa bencana?
Darjah kecedasan emosi yang tinggi ada kaitan dengan kecerdasan spiritual. Spiritual yang cerdas dapat menyerap segala bentuk gangguan emosi, walau bagaimana teruk sekalipun. Emosi dan spiritual yang cerdas dapat menerima sesuatu melalui prinsip redho. Insan yang redho menerima sesuatu ujian dan keputusan itu dengan penuh keimanan dan ketaqwaan.
⑦ Hubungan Dengan Allah dan Manusia
Hubungan dengan Allah berkait rapat dengan kecerdasan spiritual, No. 5. Hubungan dengan manusia pula lebih kepada berbuat baik kepada sesiapa sahaja, dan tidak sekali-kali menzalimi dan menginiayai orang lain.
Walau sekecil manapun kebaikan itu kita lakukan, Allah akan membalasnya dengan kebaikan, cuma kita sahaja yang tidak nampak. Minda usahawan berjaya sentiasa menjaga dan memelihara hubungan yang baik dengan manusia dan Penciptanya.
KESIMPULAN
Tujuh prinsip minda usahawan berjaya di atas perlu tersemat dalam hati usahawan dan newbies jika mereka hendak berjaya. Ringkasnya, rezeki masuk bukanlah kerana produk kita bagus, kita pandai berniaga atau marketing kita power. Siapakah yang menggerakkan pelanggan datang membeli? Bukan kita iya!