Peluang dan Idea Bisnes

CAKNA BISNES

Dalam mitos Singapura dilanggar todak, Hang Nadim, sosok budak pintar telah menyelamatkan penduduk kampung daripada mati dilanggar ikan todak yang menyerang.  Hang Nadim telah mencadangkan kepada raja supaya memacakkan batang pisang di sepanjang pantai. Maka, matilah ikan todak melekat pada batang pisang tersebut. Begitulah juga dengan peluang dan idea bisnes, dengan sedikit kepintaran mengambil peluang, mampu  menerbitkan idea bernilai jutaan ringgit.

Dengan menggunakan sedikit kepintaran sahaja, Hang Nadim telah  menyelamatkan penduduk Singapura daripada mati dilanggar ikan todak.

Begitulah juga dalam dunia bisnes, perlu wujud aspek kepintaran pada seseorang usahawan supaya dapat bertindak tepat pada masanya, dan menghasilkan impak yang menakjubkan.

NARASI PELUANG DAN IDEA BISNES

Sebelum menjalankan perniagaan, seseorang itu akan nampak suatu peluang atau beberapa peluang terlebih dahulu.  Selepas itu, barulah idea untuk menjalankan perniagaan tumbuh secara spontan ataupun dirancang.

Terdapat juga peluang-peluang perniagaan ditawarkan oleh pihak tertentu bersama-sama dengan idea perniagaan sekaligus. Peluang dan idea bisnes merupakan dua elemen yang saling berkaitan, dan akan dibincangkan dalam bahagian seterusnya.

Apakah Peluang?

Bagi orang biasa, ketiadaan pasar mini atau pusat servis kereta di bandar mereka mendatangkan masalah besar disebabkan terpaksa pergi ke bandar lain untuk mendapatkannya. Sebaliknya, bagi seorang usahawan, masalah tersebut merupakan suatu peluang perniagaan yang berpotensi untuk dijalankan.

    1. Menurut kamus BusinessDictionary.com, peluang merupakan suatu set keadaan yang boleh diusahakan dengan hasil yang belum pasti, memerlukan sumber-sumber komitmen, dan melibatkan terdedah kepada risiko. Sebenarnya, peluang-peluang perniagaan berada disekeliling kita, dan ia sedang menunggu sesiapa sahaja untuk mengusahakannya.
    2. Sesetengah peluang perniagaan datang daripada analisis yang teliti tentang tren pasaran dan kehendak pengguna, mungkin juga melalui sesuatu penemuan yang datang secara tiba-tiba. Misalnya, tren pakaian remaja Muslim yang sukakan gaya ringkas memilih tudung berwarna terang dan seluar yang agak ketat.
    3. Penemuan tidak sengaja viagra, yang telah dihasilkan oleh sekumpulan saintis British untuk merawat penyakit hipertensi dan angina pectoris. Namun begitu, ujian klinikal membuktikan bahawa viagra mempunyai kesan yang sedikit sahaja untuk merawat penyakit tersebut. Keputusan yang tidak diduga mendapati viagra sangat berkesan dalam merawat masalah ereksi lelaki.
    4. Pada 1996, viagra dipatenkan di USA dan dipasarkan secara besar-besaran oleh syarikat Pfizer pada 1998. Syarikat Pfizer mengambil peluang daripada penemuan viagra yang mampu mengatasi masalah ereksi kaum lelaki dengan memasarkan viagra secara besar-besaran ke seluruh dunia.

Mungkin juga seseorang itu sangat berminat untuk memulakan perniagaan, tetapi tidak tahu barang atau perkhidmatan untuk diniagakan. Dia boleh mengikuti sebarang perkembangan mengenai minat dan kemahiran perniagaan melalui pelbagai media elektronik yang boleh diakses dengan mudah.

Maklumat-maklumat produk atau perkhidmatan dan kursus-kursus teknikal pembuatan atau perkhidmatan boleh  diperolehi daripada pelbagai institusi-institusi penyelidikan seperti MARDI, RISDA, FAMA, PERNAS, FELDA, MARA, PUNB, SIRIM, saintis atau pakar-pakar dalam bidangnya.

Apakah Idea?

Bermula daripada peluanglah, maka tercetusnya idea-idea perniagaan untuk menukarkannya dalam bentuk realiti sebenar. Idea ialah pemikiran ataupun suatu kumpulan pemikiran yang dihasilkan oleh minda. Idea akan bergabung dengan ilmu dan kemahiran sesorang usahawan untuk membentuk suatu perniagaan yang boleh dilaksanakan.

  1. Usahawan hendaklah memiliki daya kreativiti yang tinggi untuk mencipta, mengolah, meniru, mengubahsuai dan memproses idea itu ke dalam suatu bentuk produk ataupun perkhidmatan.
  2. Idea juga mempunyai hubung kait dengan harta intelek yang bernilai jika mendaftarkannya dalam bentuk paten, hakcipta, desain industri, cap dagang, indikasi geografi dan desain tata atur.
  3. Kemudian, daripada idea perniagaan baharulah ujian penilaian projek untuk mengetahui daya majunya dijalankan.

KEPINTARAN MENCARI PELUANG DAN IDEA

Usahawan hendaklah memikirkan sesuatu peluang perniagaan secara serius. Mereka juga tidak akan menunggu sesuatu peluang itu datang terhidang di hadapan mereka. Wajib bertindak pantas, mengkaji persekitaran peluang itu terlebih dahulu sebelum mengekploitasinya.

Sepatutnya, setelah seseorang usahawan berdepan dengan peluang, dia harus bertindak balas segera, membuat penilaian daya maju ke atas peluang itu. Kemudian, baharulah membuat keputusan sama ada perlu mengambilnya ataupun tidak.

Berikut merupakan bagaimana usahawan tersohor negara berjaya mengambil peluang dan idea bisnes membentuk empayar perniagaan terbesar di Malaysia.

Habib Jewel

Dalam dunia perniagaan, Tuan Haji Habib Mohamed telah memulakan aktiviti membeli barang kemas di kedai-kedai pajak gadai. Kemudian, beliau menyelenggara semula barang-barang kemas tersebut supaya kelihatan cantik semula sebelum menjualkannya kepada pihak lain.

Tuan Haji Habib Mohamed mengambil langkah memulakan perniagaan barang kemas di Lebuh Pit Pulau Pinang dalam tahun 1958 secara kecil-kecilan. Dan kini, perniagaan beliau telah berkembang pesat dengan mempunyai lebih 20 cawangan di seluruh Malaysia.

Ramly Burgher

Dalam tahun 1970 an, Ramli Mokni bekerja sebagai seorang pemotong daging di sebuah pasar raya. Daripada situ, timbul dalam fikirannya untuk membekalkan daging sejuk-beku halal kepada umat Islam.

Menyedari peluang ini, beliau telah memulakan usaha membekal daging burger dan sosej halal pertama di Malaysia pada tahun 1979. Pada tahun 1984 Ramly Food Processing Sdn. Bhd. telah ditubuhkan untuk membekalkan produk-produk berasaskan daging dan sos yang bersih, halal dan berkualiti kepada pengguna.

Air Asia

Tony Fernandez, pemilik dan pengasas syarikat penerbangan Air Asia telah memulakan perniagaan pengangkutan tambang murah bersama-sama dengan rakannya pada tahun 2001. Beliau mengambil alih syarikat tersebut daripada DRB Hicom Berhad.

Semasa mengambil alih Air Asia, Tony dan rakan-rakannya terpaksa membayar hutang tertunggak RM20 juta kepada beberapa pihak pemiutang. Mereka bernasib baik disebabkan terdapat baki kontrak dua tahun lagi dengan Tabung Haji untuk mengangkut jemaah Tabung Haji ke Tanah Suci Mekah, dan selepas itu berjaya melangsaikan hutang mereka.

Dalam tempuh enam tahun beroperasi, Air Asia berjaya menambah kaki tangan mereka daripada 200 orang kepada 5,000 orang, dan daripada 2 buah pesawat kepada 65 buah pesawat.

Tony Fernandez melihat peluang perniagaan penerbangan tambang murah semasa beliau menuntut di England dahulu, dan beliau dapat merealisasikan idea ini dengan tertubuhnya Air Asia.

Sani Express

Sani Express merupakan sebuah syarikat pengangkutan bas ekpres ditubuhkan pada 2003 yang paling berjaya di Malaysia. Pemiliknya, Wan Muhammad Sani yang merupakan bekas seorang model dan pelakon mampu bersaing dengan beberapa syarikat gergasi bas ekspres lain.

Pada peringkat awal, perniagaannya hampir ditutup disebabkan rakan kongsinya telah menarik diri. Selang tiga tahun beroperasi, bas Sani Express mula muncul dijalan raya dan kakitangannya telah meningkat daripada seorang kepada 150 orang.

Berbekalkan pengalamannya sebagai seorang pengguna bas ekspres ke pantai timur, perkhidmatan bas beliau mampu memenuhi kehendak pengguna. Kini perniagaan Sani telah berkembang pesat, mempunyai empayar perniagaan dalam bidang pengangkutan darat, laut dan juga perhotelan.

Mee Kolok

Seorang anak saudara mempelawa saya makan mi kolok di sebuah gerai di Hutan Rimba Bandar yang terletak di Johor Baharu. Menurut beliau, mi kolok di situ sedap dan ramai orang datang makan di situ.

Saya memberitahu anak saudara bahawa saya pernah makan mi kolok, tetapi di Sarawak. Beliau maklumkan kepada saya bahawa taukeh mi kolok tersebut berasal dari Sarawak, dia berkahwin dan menetap di Johor Baharu. Kemudian, beliau membuka perniagaan mi kolok di situ.

Daripada kisah-kisah Habib Jewel, Ramly Burger, Air Asia, Sani Express dan mee kolok di atas, dapat disimpulkan bahawa mereka bermula setelah berjaya melihat ‘peluang’ perniagaan yang terbuka luas dahulu. Selepas itu, baharulah idea datang untuk menjalankannya, dan seterusnya menukar idea-idea tersebut kepada  suatu perniagaan yang bernilai jutaan ringgit.

KESIMPULAN

Daripada kisah ringkas usahawan di atas, terdapat beberapa aspek kepintaran asas untuk berjaya yang perlu dikuasai oleh mereka sebelum menceburkan diri dalam dunia perniagaan.

  • Jika di amati betul-betul, kepintaran dalam mencari peluang seterusnya membenihkan idea adalah berkaitan dengan ilmu dan kemahiran yang dimiliki oleh usahawan itu sendiri.
  • Kemudian, minat akan datang dengan sendirinya, disebabkan oleh penjelmaan idea perniagaan dalam minda yang didasari oleh ilmu dan kemahiran yang dimiliki oleh usahawan.
  • Peluang dan idea hendaklah digambarkan di atas kertas, ditulis, diperincikan, dipecahkan mengikut item-item dan dikira kos-kos yang terlibat. Kemudian, buatlah suatu analisis daya maju projek perniagaan tersebut; sama ada projek itu berdaya maju atau tidak.

Jika seseorang itu sudah mahir mencium peluang, dia dapat lihat banyak peluang disekelilingnya, sebanyak daun-daun di atas pokok.


tax-accounting-services

[rara_call_to_action title=”ACCOUNTING & TAX SERVICES” button_text=”Call Us Now!” button_url=”https://api.whatsapp.com/send?phone=60132602878&text=accounting%20and%20tax%20services” target=”_blank” button_align=”center”]Let’s Focus On Your Business

[/rara_call_to_action]

 

Posted on 1 Comment

1 thought on “Peluang dan Idea Bisnes

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *