Penubuhan Yayasan – Syarikat Berhad Menurut Jaminan

APAKAH YAYASAN?

Ramai orang bertanya kepada saya tentang penubuhan yayasan. Hal ini disebabkan maklumat tentang yayasan adalah begitu familiar bagi seorang setiausaha syarikat.

Syarikat Berhad Menurut Jaminan (SBMJ), atau lebih dikenali dengan Yayasan merupakan sejenis perbadanan awam. Liabiliti ahli-ahli SBMJ terhad setakat jumlah amaun yang diaku-janji oleh ahli-ahlinya bagi menjamin syarikat itu jika digulung.[1]

SBMJ tidak mempunyai modal berbayar seperti syarikat berhad oleh syer. Namun begitu, ia menikmati sifat-sifat yang sama dengan syarikat berhad oleh syer seperti liabiliti terhad, personaliti undang-undang yang berasingan, boleh memiliki harta, boleh saman dan disaman dan jangka hayat yang berterusan.

SBMJ hendaklah ditubuhkan sebagai sebuah syarikat awam[2] dan tidak dibenarkan ditubuhkan sebagai sebuah syarikat jaminan dengan modal syer.[3] Misalnya, ahli-ahli meletakkan amaun jaminan RM1,000 atas SBMJ yang mereka tubuhkan. Jika SBMJ digulung, jaminan ahli-ahli terhadap syarikat itu terhad setakat RM1,000 sahaja.

OBJEKTIF SBMJ

Akta Syarikat 2016 mengkhususkan SBMJ ditubuhkan untuk menjalankan aktiviti kebajikan. Undang-undang tidak membenarkan penubuhan yayasan untuk tujuan komersial.

Objektif SBMJ ditubuhkan adalah untuk menjalankan aktiviti seperti berikut:[4]

  1. Menyediakan reakrasi dan hiburan;
  2. Mempromosikan perdagangan dan industri;
  3. Mempromosikan seni;
  4. Mempromosikan sains;
  5. Mempromosikan keagamaan;
  6. Mempromosikan kegiatan amal kebajikan;
  7. Mempromosikan skim pencen atau persaraan; atau
  8. Mempromosikan apa-apa objek yang berguna dan bermenfaat kepada komuniti dan negara.

Oleh itu, aktiviti SBMJ hendaklah selari menurut seksyen 45(1) AS di atas.

Penjenisan SBMJ

Terdapat dua jenis SBMJ yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016, iaitu:

  • SBMJ tanpa perkataan “Berhad” atau “Bhd” tertakluk kepada kelulusan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKP); dan
  • SBMJ dengan perkataan “Berhad” atau “Bhd”.

SBMJ yang berhasrat menggunakan perkataan “Yayasan” atau “Foundation” hendaklah menggugurkan perkataan “Berhad” atau “Bhd” daripada namanya dengan mengemukakan permohonan bertulis kepada Pendaftar.

SBMJ hendaklah melarang ahli-ahli atau pengarahnya menggunakan syarikat atau sumber kewangannya bagi menjalankan sebarang aktiviti politik atau menyalahi undang-undang.

SYARAT-SYARAT PENUBUHAN SBMJ

Penubuhan Yayasan hendaklah mematuhi syarat-syarat berikut:[5]

  1. Menggunakan keuntungannya atau lain-lain pendapatan dalam mencapai atau mempromosikan objektifnya;
  2. Melarang pembayaran apa-apa dividen kepada ahli-ahli; dan
  3. Menghendaki semua aset yang tersedia untuk ahli-ahli biasanya dipindahkan semasa penggulungan, sama ada: 
  4. kepada badan lain yang mempunyai objek yang sama dengan objeknya; atau kepada badan lain yang mana objeknya mempromosikan amal kebajikan atau apa-apa yang bersesuaian dengan objeknya.

Syarat-syarat lain

Penubuhan Yayasan tidaklah semudah menubuhkan syarikat berhad oleh syer. Syarat-syarat lain yang diperlu dipenuhi ialah:

  • SBMJ diwajibkan mempunyai perlembagaan.
  • Minimum dua orang pengarah yang menjamin kepada SBMJ.
  • Biodata lengkap setiap pengarah.
  • Aliran tunai syarikat-syarikat yang membuat sumbangan tetap kepada Yayasan.
  • Surat akujanji sumbangan bulanan kepada Yayasan.
  • Tunjuk bukti SBMJ mempunyai modal sekurang-kurangnya RM1 juta kepada SSM yang akan dimasukkan ke dalam akaun SBMJ.

Setiausaha syarikat akan bekerjasama dengan pengarah/pengasas yayasan bagi menyediakan syarat-syarat yang diperlukan oleh pihak SSM.

Lesen Memilki Tanah

SBMJ boleh memiliki tanah tetapi hendaklah mendapat lesen daripada menteri terlebih dahulu.[6] Apa-apa aktiviti SBMJ yang melibatkan tanah seperti memiliki, mencagar, memajak atau menjual tanah atau hartanah hendaklah mendapat kelulusan daripada menteri PDNKP.

Oleh itu, SBMJ hendaklah memohon lesen memiliki tanah sebelum membeli mana-mana tanah dengan kebenaran menteri.

Pengasas atau Pengarah SBMJ

Statut menetapkan syarat yang ketat terhadap potensi pengasas atau pengarah yang akan dilantik sebagai ahli lembaga. Pengasas atau pengarah SBMJ hendaklah seseorang yang sesuai dan betul, dan tidak batal kelayakan di bawah AS 2016.

Dalam menetapkan seseorang itu sama ada sesuai dan layak dilantik sebagai pengarah SBMJ, SSM akan menimbangkan perkara-perkara berikut:

  • Pengalaman, kelayakan, dan kebolehan pengasas atau pengarah yang dapat membantunya dalam menjalankan tugas-tugasnya sebgai pengarah SBMJ.
  • Reputasi, sifat-sifat dan integriti pengasas atau pengarah; dan
  • Pemeriksaan keselamatan terhadap potensi pengasas atau pengarah.

PERLEMBAGAAN SBMJ

SBMJ dikehendaki mempunyai Perlembagaan sendiri yang mengandungi perkara-perkara berikut:

  • Nama syarikat;
  • Objek syarikat;
  • Amaun yang mana ahli akan mengaku janji untuk menyumbang kepada asset-aset syarikat jika sekiranya syarikat itu digulung;
  • Nama penuh, alamat, dan pekerjaan pengasas; dan
  • Suatu pernyataan yang mana pengasas menyatakan hasrat untuk menubuhkan SBMJ menurut Perlembagaan.

SBMJ hendaklah menghantar Perlembagaannya yang sudah distemkan apabila permohonan untuk pemerbadanan dikemukakan ke SSM.

LARANGAN KHAS SBMJ

SBMJ dilarang mengubah atau meminda sesuka hati perkara-perkara yang berkaitan dengan hal-hal berikut;

  • Menukarkan perlembagaanya;
  • Melantik pengarah baharu;
  • Membayar apa-apa fi, gaji, elaun tetap atau apa-apa manfaat kepada pengarahnya;
  • Menggunakan keuntungan dan pendapatan lain bagi tujuan selain daripada objek-objek syarikat yang dinyatakan; dan
  • Meminta apa-apa sumbangan atau derma atau membuat pungutan wang daripada pihak awam.

melainkan kelulusan diperolehi terlebih dahulu daripada SSM.

KESIMPULAN

Sebelum penubuhan yayasan dilaksanakan:

  • Pastikan pengasas Yayasan itu mempunyai wang minimum RM1 juta dalam bentuk sijil deposit atau lain-lain yang setara untuk ditunjukkan kepada SSM. Setelah Yayasan itu berjaya ditubuhkan, wang deposit RM1 juta itu hendaklah didepositkan ke akaun bank Yayasan dalam tempoh enam bulan daripada tarikh penubuhan.
  • Pastikan pengasas mempunyai beberapa buah syarikat yang aktif sebagai penyumbang tetap kepada Yayasan. Hal ini disebabkan Yayasan tidak boleh berniaga melainkan melalui kegiatan menyewa tanah, bangunan, ladang, perundingan, pemilikan syer dan lain-lain. Yayasan dibenarkan memegang syer dalam mana-mana syarikat berhad oleh syer sehingga 49%.

———————————-

Nota Kaki:

[1] Seksyen 10(3) AS 2016

[2] Seksyen 11(2) AS 2016

[3] Seksyen 12 AS 2016

[4] Seksyen 45(1) AS 2016

[5] Seksyen 45(2) AS 2016

[6] Seksyen 45(4) AS 2016

Posted on 3 Comments

3 thoughts on “Penubuhan Yayasan – Syarikat Berhad Menurut Jaminan

  1. […] Penubuhan Yayasan – Syarikat Berhad Menurut Jaminan […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *