Personaliti Undang-undang Yang Berasingan

1.0 PENGENALAN

1.1 Doktrin personaliti undang-undang yang berasingan menganggap syarikat dan anggotanya merupakan dua individu yang terpisah dan berasingan.

1.2 Misalnya, jika A dan B dua orang pengarah dan ahli syarikat kepada AB Engineering Consultants Sdn. Bhd., maka kedudukan mereka berdua daripada sudut undang-undang syarikat adalah terpisah dan berasingan dengan syarikat.

1.3 Dengan wujudnya doktrin ini, segala tangungan syarikat tidak melibatkan pengarah dan ahli-ahlinya, jika syarikat itu dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak pemiutang.

1.4 Syarikat yang ditubuhkan di bawah AS 2016 merupakan sebuah pertubuhan perbadanan dan mempunyai sifat-sifat berikut:[1]

(a) Personaliti undang-undang yang berasingan daripada ahli-ahli, pengarah dan pegawai syarikat; dan

(b) Wujud berterusan sehinggalah ianya dikeluarkan daripada senarai daftar melalui penggulungan atau “strike-off.”

1.1 Rasional Sifat Personaliti Undang-undang Yang Berasingan

1.1.1 Dengan adanya sifat personaliti undang-undang yang berasingan, para pelabur (pemegang syer) dilindungi daripada sebarang tindakan undang-undang jika yarikat disaman atau dikenakan tindakan undang-undang.

1.1.2 Tujuan pelabur hanyalah untuk mendapatkan pulangan melalui dividen, dan mereka tidak seharusnya bertanggungan atas tindakan undang-undang yang dikenakan terhadap syarikat. Doktrin personaliti undang-undang yang berasingan terdapat dalam kes undang-undang Salomon v A Salomon and Co Ltd [1897] AC 22. 

personaliti-undang-undang-yang-berasingan

2.0 KESAN PEMERBADANAN

2.1 Selepas suatu syarikat itu diperbadankan, syarikat akan menikmati sifat “orang buatan undang-undang” yang istimewa.

2.2 Orang buatan undang-undang bermaksud syarikat itu dianggap orang yang dicipta undang-undang seperti manusia biasa. Namun begitu, otak dan anggota syarikat terdiri daripada pengarah, pegawai syarikat serta ahli-ahli yang bertindak bagi pihaknya.

2.1 Personaliti Syarikat

2.1.1 Personaliti undang-undang yang berasingan.[2]

Syarikat yang ditubuhkan di bawah AS 2016 merupakan sebuah badan korporat dan hendaklah:

(a) memiliki personaliti undang-undang yang berasingan daripada ahli-ahlinya;

(b) mempunyai jangka hayat yang berterusan sehinggalah ia dibatalkan daripada daftar;

2.1.2 Syarikat mempunyai keupayaan tidak terhad[3]

Syarikat mempunyai keupayaan melaksanakan segala fungsi sebagai perbadanan korporat dan mempunyai keupayaan penuh bagi menjalankan apa-apa aktiviti perniagaan, termasuklah:

(a) untuk menyaman dan disaman atas nama sendiri;

(b) memperolehi, memiliki, memegang, membangunkan atau melupuskan (menjual) apa-apa harta; dan

(c) melaksanakan apa-apa tindakan yang perlu dibuat atau memasuki apa-apa urusniaga.

2.1.3 Kontrak pra-pemerbadanan

Suatu kontrak atau urusniaga yang dibuat oleh atau bagi pihak syarikat semasa syarikat belum ditubuhkan mempunyai kesan sebagai suatu kontrak atau urusniaga dengan orang yang dikatakan bertindak untuk syarikat atau sebagai seorang ejen.[4]

Peruntukan undang-undang memberikan syarikat sepenuh hak, kuasa dan keistimewaan bagi tujuan-tujuan melaksanakan apa-apa keupayaan yang dinyatakan di atas.[5]  Seksyen 21 ini memberikan syarikat suatu kuasa keupayaan tidak terhad (unlimited capacity) dalam menjalankan fungsinya sebagai sebuah syarikat.

Jelasnya, syarikat boleh menjalankan apa-apa bidang perniagaan yang dibenarkan oleh undang-undang tanpa perlu meminda perlembagaannya.

2.1.4 Selepas suatu syarikat itu diperbadankan, perihal berikut berkuatkuasa ke atas pengarah, ahli-ahli dan juga setiausaha syarikat:[6]

(a) Wujudnya suatu syarikat dengan nama dan nombor pendaftaran seperti yang dinyatakan dalam daftar utama;

(b) Orang yang namanya dinyatakan sebagai ahli semasa pemerbadanan syarikat hendaklah dimasukkan sebagai ahli dalam daftar ahli;

(c) Bagi syarikat yang mempunyai modal syer, setiap orang yang namanya dinyatakan dalam permohonan untuk pemerbadanan akan menjadi pemegang syer sebagaimana yang dinyatakan dalam permohonan;

(d) Butir-butir pejabat berdaftar syarikat dinyatakan dalam atau permohonan untuk pendaftaran;

(e) Orang yang dinamakan dalam penyata sebagai seorang pengarah atau setiausaha, jika ada, hendaklah disifatkan sebagai telah dilantik memegang jawatan itu.

personaliti-undang-undang-yang-berasingan

2.2 Menyingkap Tabir Pemerbadanan

2.2.1 Walaupun syarikat dianggap kebal disebabkan memiliki personaliti istimewa ini, namun begitu, dalam kes-kes tertentu Mahkamah mengenepikan doktrin tersebut. Hal ini bermaksud, Mahkamah menganggap syarikat dan anggota-anggota di dalamnya sebagai suatu entiti dan tidak berasingan.

2.2.2 Doktrin personaliti undang-undang yang berasingan memberi keistimewaan kepada pengarah dan ahli-ahli. Keistimewaan doktrin ini boleh disalahgunakan oleh pengarah-pengarah untuk tujuan yang bertentangan dengan kepentingan syarikat.

2.2.3 Oleh itu, Mahkamah akan menyingkap tabir pemerbadanan untuk menyelesaikan kes-kes yang melibatkan agensi, frod, amanah, tort, cukai, perundangan syarikat dan perundangan-perundangan bertulis yang lain. Mahkamah menggunakan budi bicara mereka dengan menyingkap tabir pemerbadanan atas mana-mana syarikat yang dikaitkan bagi mencari pesalahnya.

2.2.4 Dalam erti kata lain, Mahkamah boleh mendakwa mana-mana anggota syarikat dan mengenakan hukuman atas kesalahan-kesalahan yang mereka dilakukan.

3.0 KESIMPULAN

Tujuan doktrin personaliti undang-undang yang berasingan ialah untuk melindungi anggota syarikat seperti pengarah, pegawai syarikat dan ahli-ahlinya daripada pihak pemiutang.

Misalnya, tujuan ahli-ahli atau pelabur hanyalah untuk mendapatkan dividen sahaja. Adalah tidak adil jika mereka juga bertanggungan atas hutang-piutang syarikat.


Nota Kaki:

[1] Seksyen 20 AS 2016

[2] Seksyen 30 AS 2016

[3] Seksyen 21 AS 2016

[4] Seksyen 65(1) AS 2016

[5] Seksyen 21(2) AS 2016

[6] Seksyen 18 AS 2016

Posted on 1 Comment

1 thought on “Personaliti Undang-undang Yang Berasingan

  1. […] Personaliti Undang-undang Yang Berasingan […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *