Pinjaman Kepada Pengarah Syarikat

kamal-alrahman

PENGENALAN

Bolehkah syarikat persendirian memberi pinjaman wang kepada pengarah, dan bolehkah syarikat itu meluluskannya? Sebagai pengarah syarikat, seseorang perlu tahu sama ada dia boleh meminjam wang daripada syarikat atau tidak. Jika dibenarkan, apakah syarat-syarat yang perlu dipatuhi?

Peruntukkan statut menetapkan bahawa sesuatu syarikat itu dilarang:[1]

(a) memberi pinjaman kepada pengarah, atau suatu syarikat menurut kuasa di bawah seksyen 7 yang disifatkan sebagai mempunyai hubungan dengan syarikat tersebut; atau

(b) menjadi penjamin kepada pengarah, atau syarikat itu dijadikan sebagai cagaran berhubung dengan suatu pinjaman yang dibuat oleh pengarah, 

kecuali dengan kelulusan daripada syarikat terlebih dahulu; melalui suatu resolusi yang menyatakan tujuan pinjaman, amaunnya, had jaminan atau cagaran yang wujud hendaklah didedahkan.[2]

Pengecualian Pinjaman Kepada Pengarah

Walau bagaimanapun, syarat-syarat pinjaman kepada pengarah di bawah seksyen 224(1) tidak terpakai dalam keadaan berikut:[3]

(a) sebuah syarikat persendirian dikecualikan (kurang daripada dua puluh orang ahli);

(b) menyediakan dana buat pengarah bagi membayar perbelanjaan dalam melaksanakan kewajipannya sebagai seorang pegawai syarikat;

(c) pengarah yang berkhidmat dalam penggajian sepenuh masa dengan syarikat atau dengan syarikat pemegangan, dengan dana digunakan untuk membayar perbelanjaan membeli rumah; atau

(d) pinjaman yang diberikan kepada pengarah yang berkhidmat dalam penggajian sepenuh masa dalam skim pinjaman kepada pekerja-pekerja syarikat, dan pinjaman diberikan mengikut skim itu.

Pinjaman Tanpa Kelulusan

Jika syarikat tidak memberi kebenaran pinjaman, tetapi pinjaman telah diberikan, maka pinjaman itu hendaklah dibayar balik kepada syarikat atau tanggungan di bawah jaminan atau cagaran itu hendaklah dipulihkan seperti berikut:[4]

(a) Jika syarikat awam – selepas enam bulan daripada berakhirnya mesyuarat agung tahunan yang akan datang; atau

(b) Jika syarikat persendirian – selepas dua belas bulan daripada pemberian pinjaman, jaminan atau cagaran.

Jika kelulusan daripada syarikat tidak diberikan sebagaimana yang dikehendaki menurut syarat, pengarah yang meluluskan pemberian pinjaman, jaminan atau cagaran hendaklah secara bersesama dan berasingan bertanggungan untuk membayar balik kerugian yang ditanggung oleh syarikat.[5]

Seksyen pinjaman kepada pengarah ini tidak terpakai terhadap institusi kewangan yang perjalanan biasa perniagaan bercorak memberi pinjaman kepada pengarah institusi kewangan atau kepada suatu syarikat menurut seksyen 7.

Begitu juga dengan syarikat-syarikat yang berkaitan dengan institusi kewangan[6] menurut spesifikasi yang dibuat oleh Bank Negara Malaysia.[7]

Larangan Memberi Pinjaman Kepada Orang Yang Mempunyai Pertalian Dengan Pengarah

Sebuah syarikat selain daripada syarikat persendirian yang dikecualikan, tidak dibenarkan:

(a) memberi pinjaman kepada seseorang yang mempunyai pertalian dengan pengarah,[8] syarikat atau syarikat pemegangannya; atau

(b) menjamin atau menyediakan cagaran pinjaman yang diberikan kepada seseorang.

Walau bagaimanapun, larangan pinjaman kepada pengarah syarikat tersebut tidak terpakai menurut keadaan berikut:[9]

(a) Pinjaman yang diberikan, jaminan atau cagaran yang dibuat berhubung dengan suatu subsidiari, syarikat pemegangan atau subsidiari bagi syarikat pemegangannya;

(b) Bagi syarikat yang perniagaan biasanya memberi pinjaman wang, atau aktiviti perniagaan syarikat berkaitan dengan perbankan, insurans atau takaful atau tertakluk kepada penyeliaan oleh Bank Pusat Malaysia; atau

(c) Pinjaman yang diberikan kepada seseorang yang mempunyai pertalian dengan pengarah yang berkhidmat dalam penggajian sepenuh masa suatu syarikat atau perbadanan yang berkaitan:[10]

(d) bagi maksud memenuhi perbelanjaan membeli atau memperolehi sebuah rumah; atau

(e) menurut suatu skim memberikan pinjaman kepada pekerja-pekerja yang diluluskan oleh syarikat.

KESIMPULAN

Disebabkan majoriti syarikat yang ada dipasaran merupakan syarikat persendirian yang dikecualikan, dan dikawal penuh oleh pemiliknya, maka syarikat boleh memberikan pinjaman kepada pengarah syarikat mengikut syarat-syarat di bawah seksyen 224(1) di atas.

———————————–

[1]  Seksyen 224(1) AS 2016

[2] Seksyen 224(3) AS 2016

[3] Seksyen 224(2) AS 2016

[4] Seksyen 224(5) AS 2016

[5] Seksyen 224(6) AS 2016

[6] Seksyen 224(9) AS 2016 – Instutusi kewangan bermaksud institusi berlesen dan pembangunan institusi kewangan seperti yang ditetapkan di bawah Development Financial Institution Act 2002.

[7] Seksyen 224(8) AS 2016

[8] Maksud orang yang berkaitan dengan pengarah dinyatakan dalam seksyen 197 AS 2016.

[9] Seksyen 225(2) AS 2016

[10] Seskyen 225(2) AS 2016

Call To Action

Hubungi Kami Untuk Penubuhan Syarikat

Posted on Leave a comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *