Pintar Niaga

PENDEKATAN PENULISAN

Buku Pintar Niaga ini diterbitkan oleh DBP. Buku ini ditujukan buat usahawan smart yang baharu berbisnes atau yang sudah lama menjalankan bisnes. Buku ini ditulis menggunakan tiga pendekatan:

Pendekatan Pengetahuan

Buku Pintar Niaga dikarang menggunakan pendekatan 3P; iaitu, Pengetahuan, Pengalaman dan Praktis. Pengetahuan saya dalam bidang akademik dan juga kursus-kursus pembangunan profesional (CPD)  selama lebih daripada 30 tahun digabungkan dalam proses penulisan buku ini.

Pendekatan Pengalaman

Seterusnya, pendekatan Pengalaman digunakan dalam memerhati, mensintesis, menaakul dan menghuraikan pelbagai peristiwa selama lebih 30 tahun bersama-sama dengan lebih 300 usahawan. Merekalah sumber utama rujukan penulisan buku Pintar Niaga ini, “real life experience.”

Pendekatan Praktis

Akhirnya, pendekatan Praktis merupakan elemen pengamalan, iaitu saya sebagai seorang pengamal dan juga usahawan dalam bidang perkhidmatan pengurusan. Objektif saya menulis buku Pintar Niaga ini ialah untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam bidang perniagaaan dan keusahawanan dengan sesiapa sahaja yang meminati bidang ini.

PEMBAHAGIAN BAB

Buku Pintar Niaga ini dibahagikan kepada lima bab. Setiap bab disusun mengikut urutan berdasarkan perkaitannya dengan bab-bab yang seterusnya.

Bab 1

  1. Bab 1 lahir daripada idea saya untuk memberi panduan dan berkongsi pengalaman buat golongan yang sedang bekerja makan gaji tetapi ingin berhenti kerja untuk menjalankan perniagaan. Walaupun menjadi seorang usahawan itu adalah sesuatu yang digalakkan, namun begitu, terdapat beberapa aspek penting perlu dipertimbangkan terlebih dahulu oleh golongan yang ingin berhenti kerja ini.
  2. Terlintas dalam hati saya tidak inginkan mereka menyesal dikemudian hari jika berhenti kerja disebabkan memilih kerjaya sebagai usahawan. Oleh itu, bab 1 buku Pintar Niaga ini memberi panduan membuat keputusan kepada seseorang sama ada ingin menjadi usahawan sepenuh masa; usahawan sebelah kaki; atau pun usahawan de fakto.

Bab 2

  1. Bab 2 buku Pintar Niaga pula tercetus daripada idea mengenai bagaimana harus seseorang usahawan memilih suatu perniagaan yang berdaya maju, terutamanya dalam keadaan terdapat lebih daripada satu  projek.
  2. Ketiga-tiga aspek di bawah telah digabungkan dalam proses untuk menilai daya maju mana-mana projek perniagaan. Seterusnya, usahawan mampu  membuat keputusan sama ada haruskah memilih atau menolak mana-mana cadangan perniagaan yang dikemukakan.

Justeru, saya bahagikan bab 2 ini kepada tiga aspek utama seperti berikut:

1. mengenali sifat-sifat ekonomi barang yang ingin diniagakan;

2. ciri-ciri perniagaan yang ideal; dan

3. kaedah penilaian projek perniagaan menggunakan teknik yang mudah.

Bab 3

  1. Bab 3 Pintar Niaga pula menelusuri aspek-aspek penggunaan akal budi yang sangat molek diapplikasikan dalam menjayakan sesebuah perniagaan. Idea ini terbit daripada pengalaman saya menerima layanan yang baik dan juga tidak baik daripada usahawan disepanjang kerjaya saya sebagai perunding pengurusan.
  2. Bukankah kata-kata orang bijaksana ada mengatakan bahawa kita boleh jatuh tersungkur apabila terseradung batu yang kecil! Aspek akal budi yang kecil ini sering diketepikan oleh usahawan dan saya ketengahkan semula dalam bab 3 ini disebabkan sifatnya yang sentiasa tak lapok dek hujan dan tak lekang dek panas.
  3. Tambahan pula, tidak rugi seseorang usahawan mengambil endah amalan akal budi yang baik, apatah lagi ia tidak memerlukan apa-apa kos untuk melaksanakannya.

Bab 4

  1. Idea bab 4 buku Pintar Niaga terbit daripada pemerhatian saya ke atas usahawan-usahawan yang berjaya disepanjang 30 tahun pengalaman saya dalam bidang perniagaan. Semua usahawan sangat ashik memburu kejayaan, sedangkan kegagalan juga merupakan suatu manifestasi daripadanya.
  2. Ketika kejatuhan ekonomi melanda negara pada tahun 1997 dahulu, ramai daripada pelanggan-usahawan telah jatuh dan gulung tikar. Saya tidak tahu di mana mereka berada sekarang dan perniagaan apakah yang mereka sedang jalankan.
  3. Kemudian, muncul pula usahawan-usahawan baharu, namun mereka juga tidak dapat bertahan lama dipersada perniagaan, walau pun dalam keadaan ekonomi yang menghijau. Mereka juga gagal! Hal ini telah mengubah minat saya untuk menyingkap tabir kegagalan usahawan berbanding dengan menyingkap tabir kejayaan supaya hasilnya dapat dikongsikan bersama.
  4. Dalam bab 4 saya membincangkan dapatan penyebab-penyebab kegagalan usahawan kepada tiga sudut, iaitu;
    1. kegagalan disebabkan oleh faktor luaran,
    2. kegagalan disebabkan oleh faktor dalaman; dan
    3. kegagalan disebabkan oleh diri sendiri.

Bab 5

  1. Dalam penerusan mencari idea-idea penulisan bab 5 buku Pintar Niaga , tiba-tiba saya teringatkan kepintaran seorang budak hebat bernama Hang Nadim yang menyelamat Singapura daripada serangan ikan todak. Bertitik tolak daripada kisah kepintaran Hang Nadim ini, keluarlah idea aspek-aspek kepintaran yang diperlukan dalam perniagaan.
  2. Gagasan ini pasti boleh digunakan oleh usahawan dalam menongkah arus perniagaan yang deras. Justeru itu, saya gariskan enam aspek kepintaran yang perlu dikuasai oleh usahawan, iaitu;
    1. kepintaran mencari peluang dan idea perniagaan,
    2. kepintaran mendapatkan modal,
    3. kepintaran menembusi pasaran,
    4. kepintaran mengembangkan perniagaan,
    5. kepintaran mengekalkan perniagaan; dan
    6. kepintaran membuat keputusan.
Pintar niaga merupakan suatu segi, seni dan strategi perniagaan yang tidak memerlukan seseorang itu memiliki tahap pelajaran yang tinggi untuk melaksanakannya.

PENUTUP

Akhirul kalam, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka kerana telah sudi menerima manuskrip buku Pintar Niaga ini untuk diterbitkan. Saya mohon kemaafan atas segala kekurangan buku ini, dan sesungguhnya segala kesilapan adalah datangnya daripada kelemahan diri saya sendiri.
Posted on Leave a comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *