Siapakah Pengarah De Fakto

PENGENALAN

Bagaimana hendak kenal pasti siapakah pengarah de fakto dalam suatu syarikat? Sebelum itu, jom kita selami maksud de fakto itu terlebih dahulu. Dalam Bahasa Latin, de fakto bermaksud ‘sebenarnya’ atau ‘secara amalannya’. L. B Curzon menyatakan de fakto bermaksud ‘sebenarnya’ atau ‘hakikatnya’.[1]

Menurut Australian Legal Dictionary,[2] pengarah de fakto adalah seseorang yang mengawal seseorang ahli lembaga pengarah. Misalnya, melaksanakan darjah kawalan yang tinggi terhadap seseorang pengarah nomini di mana nomini tersebut hanyalah bertindak sebagai patung.

DARIPADA KES UNDANG-UNDANG

Kes 1

Dalam kes Secretary of State for Trade and Industry lwn Laing and others[3], Mr. Blackwell tidak pernah dilantik sebagai pengarah syarikat responden. Secretary of State mendakwa Mr. Blackwell adalah seorang pengarah bayangan memandangkan penglibatannya seolah-olah beliau adalah sebahagian daripada pengarah syarikat, dan beranggapan pengarah de jure lazimnya bertindak menurut arahan Mr. Blackwell.

Walau bagaimanapun, Secretary of State gagal mengemukakan di Mahkamah sebarang beban bukti atas Mr. Blackwell untuk mengaitkan beliau bertanggungjawab memberi arahan yang lazimnya diikuti oleh Mr. Laing.

Dalam kes ini, Mahkamah memutuskan bahawa tindakan Mr. Blackwell hanya menandatangani kontrak, dan hal ini tidak cukup untuk mengaitkan beliau sebagai seorang pengarah de fakto.

Kes 2

Pengarah de fakto juga boleh berpunca daripada seseorang yang sudah batal kelayakannya, yakni bankrap atau telah dibatalkan kelayakan mereka oleh mahkamah tetapi masih memegang jawatan sebagai seorang pengarah. Castellano v Inspector General in Bankruptcy[5] dan Inland Revenue Commissioner lwn McEntaggard[6] merupakan dua contoh kes pengarah yang bankrap tetapi masih meneruskan perniagaan mereka tanpa kebenaran atau perlepasan daripada Mahkamah.

Walaupun sudah bankrap, Castellano masih menandatangani jaminan membekalkan barang-barang kepada syarikat dan menguruskan syarikatnya tanpa kebenaran berbuat demikian. Oleh itu, Mahkamah memutuskan si bankrap telah bertindak sebagai seorang pengarah de fakto syarikat.

Kes 3

Dalam kes McEntaggard pula, walaupun dia merupakan seorang yang bankrap, beliau telah melibatkan diri dalam semua aspek pengurusan perniagaan termasuklah menandatangani cek-cek syarikat disepanjang tempoh bankrupsi. Dalam penghakimannya, Patten J menegaskan:

 ‘… saya tegaskan bahawa, disebabkan isu sebenar sama ada disepanjang tempoh tersebut, saya dapat mengenalpasti bahawa defendan pertama merupakan seorang pengarah de fakto kepada syarikat’.

Kes 4

Terdapat juga kes yang mana seseorang itu telah meletakkan jawatan sebagai pengarah syarikat pada asalnya. Namun begitu, beliau terus bertindak sebagai pengarah syarikat, terutamanya dalam hal-hal yang berkaitan dengan pengurusan dan kewangan syarikat.

Mahkamah juga melihat penglibatan kerja-kerja yang dilakukan itu merupakan tanggungjawab yang dilakukan seseorang bertaraf pengarah kanan. Situasi sedemikian dapat digambarkan melalui kes-kes seperti Deputy Commissioner of Taxation lwn Austin[7] dan Chaudry lwn Customs & Exercise Commission.[8]

Dalam kes Chaudry pula, perayu telah meletakkan jawatannya sebagai pengarah syarikat. Namun begitu, beliau telah meneruskan tanggungjawab dalam hal-hal yang berkaitan dengan akaun, simpan kira, mengeluarkan invois dan value added tax (VAT) pada masa-masa tertentu. Disebabkan penglibatannya yang berterusan dalam syarikat, Mahkamah memutuskan bahawa Chaudry merupakan seorang pengarah de fakto syarikat.

Kes 5

Tindakan seseorang sebagai pengawal syarikat yang mana tindakannya boleh dianggap dia merupakan seorang pengarah de fakto syarikat. Hal ini dapat digambarkan melalui kes-kes seperti Mistmorn Pty Ltd lwn. Yaseen[9] dan The Arena Corporation Limited lwn. Schroeder.[10]

Dalam kes Yaseen, Mahkamah Persekutuan Australia memutuskan bahawa walaupun Yaseen tidak dilantik dengan rasmi sebagai seorang pengarah syarikat keluarganya, penglibatan beliau dalam aktiviti-aktiviti syarikat amat ketara. Hal ini berdasarkan beliau adalah penggerak utama perniagaannya dan bukan hanya bertindak sebagai seorang perunding.

Dalam kes Arena Corporation Limited, plaintif telah merancang untuk menipu melalui Arena sebuah syarikat yang diperbadankan di Isle of Man. Pengarah Arena merupakan sebuah firma perkhidmatan korporat dan Mr. Shchroeder bukanlah seorang pengarah de jure Arena. Pihak Kastam dan Eksais menuduh Mr. Shchroeder sebagai seorang pengarah de fakto lantaran pengaruh kawalannya terhadap semua urusan syarikat tersebut. Mahkamah memutuskan Arena Corporation Limited berada di bawah arahan pengarah de fakto iaitu Mr. Schroeder.

KESIMPULAN

Berdasarkan kes-kes yang dibincangkan, terdapat empat kriteria bagaimana seseorang itu boleh disabitkan oleh Mahkamah sebagai seorang pengarah de fakto, iaitu:

  • seseorang yang telah dibatalkan kelayakan pengarah (misalnya, bankrap);
  • seseorang yang telah meletakkan jawatan pengarah tetapi terus bertindak sebagai seorang pengarah; dan
  • seseorang yang tidak dilantik sebagai pengarah tetapi bertindak berterusan sebagai pengawal syarikat.

—————————————————-

Nota Kaki:

[1] supra, hlm 122.

[2] supra, hlm 321.

[3] [1996] 2 BCLC 324

[4] [1978] 22 ALR 161

[5] [1998] 51 ALD 254

[6] [2004] EWHC 3431

[7] [1998] 16 ACLC 1, 555

[8] [2007]EWHC 1895

[9] [1996] 14 ACLC

[10] [2003] EWHC 661

 

 

 

 

 

 

 

 

Posted on Leave a comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *