Sifat-sifat Syarikat

APAKAH SIFAT-SIFAT ISTIMEWA SYARIKAT?

Selepas diperbadankan, suatu syarikat secara automatiknya mempunyai sifat-sifat syarikat dari aspek undang-undang seperti berikut:

  • Personaliti Undang-undang yang Berasingan

Syarikat merupakan suatu entiti dan berasingan dengan orang yang menganggotainya seperti pengarah, pemegang syer, para pelabur dan pengurusan syarikat.

  • Liabiliti Terhad

Liabiliti syarikat ditanggung oleh syarikat dan bukan ahli-ahlinya. Liabiliti ahli terhad setakat syer-syer yang belum dibayar sahaja apabila berlaku penggulungan.

  • Menyaman dan Disaman

Syarikat boleh bertindak menyaman dan disaman atas namanya sendiri, misalnya; syarikat menyaman pengarahnya atau pengarah menyaman syarikatnya.

  • Boleh Diwarisi

Syarikat boleh diwarisi oleh kaum keluarga melalui pemindahan hak milik syer kepada waris yang masih hidup.

  • Wujud Berterusan

Syarikat merupakan sebuah entiti yang wujud berterusan dengan identiti tersendiri walaupun ahli-ahlinya sudah bertukar atau meninggal dunia.

  • Syarikat Boleh Memiliki Harta

Syarikat boleh memiliki atau membeli harta atas namanya sendiri. Harta syarikat adalah milik syarikat, dan bukannya milik ahli-ahli.

Ahli-ahli tidak berhak mengambil atau menjual harta-harta syarikat disebabkan oleh hak ahli-ahli hanyalah setakat mengundi dalam mesyuarat agung, dan berkongsi keuntungan melalui dividen.

Prinsip entiti undang-undang yang berasingan juga membolehkan syarikat memiliki harta dan harta tersebut bukanlah milik ahli-ahli. Tidak seperti perniagaan milik tunggal dan firma perkongsian, pemegang syer tidak mempunyai pemilikan atas harta-harta kepunyaan syarikat.

Perubahan hak milik syarikat oleh pemegang-pemegang syer tidak akan mengubah hak milik syarikat atas harta-harta tersebut.

  • Syarikat Boleh Berkontrak

Disebabkan syarikat mempunyai sifat entiti undang-undang yang berasingan, maka syarikat dan ahli-ahlinya boleh berkontrak antara satu sama lain. Misalnya, syarikat boleh meminjam wang daripada ahli-ahlinya, syarikat boleh memasuki kontrak perkhidmatan (contract of service) dengan pengurusnya dan lain-lain lagi.

PERSONALITI UNDANG-UNDANG YANG BERASINGAN

Sifat-sifat syarikat mempunyai kaitan rapat dengan personaliti undang-undang yang berasingan. Selepas  diperbadankan, wujudlah satu tabir yang direntang (dikenali sebagai tabir perbadanan) bagi memisahkan ahli, pegawai dan pengarah dengan syarikat.

Dalam erti kata lain, personaliti syarikat adalah berasingan sama sekali dengan personaliti orang-orang yang menubuhkan dan meanggotainya.

  • dengan wujudnya tabir perbadanan, sesiapa sahaja boleh mengadakan atau memasuki apa-apa kontrak dengan syarikat. Sifat unik ini dikenali sebagai ‘personaliti perbadanan’.
  • keunikan sifat-sifat syarikat seperti personaliti perbadanan bersandarkan kepada kewujudan syarikat itu  bersepadu dengan pengasas, lembaga pengarah dan pemegang syer, walaupun mempunyai personaliti yang berasingan.

Doktrin personaliti undang-undang yang berasingan berasal daripada kes Salomon lwn Salomon Co. Ltd.[1] yang berlaku di England lebih 100 tahun yang lampau. Tujuan doktrin ini dibentuk ialah untuk memastikan bahawa pemegang-pemegang syer tidak bertanggungan atas liabiliti syarikat.

Adalah tidak adil pelabur-pelabur yang memegang syer dalam syarikat bertanggungan atas segala hutang-piutang syarikat. Tujuan pelabur hanyalah inginkan pulangan dalam bentuk dividen atau keuntungan syarikat tanpa perlu bertanggungan atas hutang dan risiko-risiko lain.


[1] [ 1897] AC 22

[rara_call_to_action title=”Penubuhan Syarikat” button_text=”What’s App Us Now” button_url=”https://api.whatsapp.com/send?phone=60138122362&text=penubuhan%20syarikat” target=”_blank” button_align=”center”]HUBUNGI KAMI!

[/rara_call_to_action]

 

Posted on Leave a comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *