Penjenisan Syer Biasa

kamal-alrahman

JENIS-JENIS SYER BIASA

Penjenisan syer biasa hendaklah difahami supaya pemilik syer majoriti boleh menerbitkan kelas-kelas syer biasa dengan betul. Misalnya, pemegang syer tunggal ingin menerbitkan syer baharu kepada pelabur yang juga merupakan pembekal bahan-bahan mentah kepada syarikatnya.

Menurut statut, syer bermaksud:

“Modal syer sesuatu perbadanan yang diterbitkan dan termasuklah stok kecuali suatu perbezaan antara stok dan syer dinyatakan atau disiratkan.”[1]

Menurut Lipton and Herzberg (2007):

“Syer merupakan suatu item harta tidak boleh dilihat, juga dikenali sebagai suatu hak bertindak. Pemilikan syer memberikan pemegang syer hak milik kepunyaan seperti yang ditetapkan dalam Perlembagaan dan juga undang-undang.”

Pengkelasan Syer-syer Biasa

Tertakluk kepada Perlembagaan syarikat, penjenisan syer biasa boleh dibahagikan mengikut kelas-kelas berikut: [2]

  • Diterbitkan dalam kelas yang berbeza;
  • Boleh ditebus menurut seksyen 72;
  • Memberi hak keutamaan atas pengagihan dividen atau pendapatan;
  • Memberi hak mengundi khas, terhad atau bersyarat; atau
  • Tidak diberi hak mengundi.

Contohnya, pemilik syarikat menerbitkan 500,000 unit syer biasa dengan harga nominal RM1.00/unit syer, diberikan hak atas dividen, tetapi tiada hak mengundi.

Syer atau lain-lain kepentingan seseorang ahli dalam syarikat merupakan harta personal, dan boleh dipindah milik kepada pihak lain.[3]

Rasional Menerbitkan Syer-syer Biasa Dalam Kelas Yang Berbeza

Sebab-sebab syarikat ingin menerbitkan kelas-kelas syer yang berbeza adalah:

  • Untuk menarik pelaburan;
  • Untuk mendorong pendapatan dividen ke arah tertentu;
  • Untuk tujuan kawalan, yakni menghilangkan atau meningkatkan kuasa mengundi individu tertentu; atau
  • Untuk memotivasikan kakitangan supaya kekal sebagai pekerja;

tertakluk kepada apa-apa sekatan dalam Akta atau Perlembagaan syarikat bagi membolehkan syarikat membuat kelas syer baharu pada bila-bila masa.

Jika ingin terbitkan syer baharu, syarikat boleh mewujudkan suatu kelas syer-syer baharu di samping kelas syer yang sedia ada. Syarikat boleh juga menukarkan kelas syer yang sedia ada kepada satu atau lebih kelas-kelas syer baharu.

TERBITAN SYER-SYER BIASA DALAM KELAS YANG BERBEZA

Syer-syer biasa boleh diterbitkan dalam kelas yang berbeza. Misalnya, beberapa kelas syer biasa lazimnya diterbitkan adalah seperti berikut:

Contoh 1.01: Terbitan Dua Kelas Syer Yang Berbeza

Suatu syarikat menerbitkan 1,000,000 unit syer biasa yang dibahagikan kepada dua kelas, iaitu:

Kelas A: Menerbitkan 700,000 unit syer pada harga RM1.00 seunit mempunyai hak mengundi dan dividen tahunan.

Hal ini bermakna jumlah modal syer yang diterbitkan berjumlah RM700,000 (700,000 x RM1.00).

Nilai nominal syer biasa hendaklah dinyatakan mengikut harga pasaran semasa.

Kelas B:  Menerbitkan 300,000 unit syer pada harga RM0.50/unit, tidak mempunyai hak mengundi tetapi layak mendapat dividen tahunan.  Hal ini bermakna jumlah modal syer yang diterbitkan berjumlah RM150,000 (300,000 x RM0.50).

Contoh 1.02: Kelas Syer Biasa Dengan Dividen Tertangguh

Syarikat juga boleh menerbitkan kelas syer biasa dengan dividen tertangguh. Dalam hal ini, minimum dividen bagi kelas syer lain dipenuhi/ dibayar terlebih dahulu sebelum kelas ini menerimanya.

Lazimnya, pemegang syer kelas ini menerima dividen pada kadar yang sama seperti dividen syer-syer biasa, cuma ditangguhkan pemberian dividen itu pada masa hadapan.

Contoh 1.03: Kelas Syer Biasa Tanpa Hak Mengundi

Syer biasa dalam kelas ini tidak mempunyai hak mengundi melainkan jika syarat-syarat tertentu yang ditetapkan telah dipenuhi.

Hal ini dibuat mungkin sebagai suatu alternatif untuk menyekat pemegang syer supaya tidak mempunyai hak mengundi sama sekali.

Contoh 1.04: Syer Boleh Tebus

Syarat-syarat syer boleh tebus memberikan syarikat pilihan untuk membelinya kembali pada masa akan datang. Kadang-kadang pemegang syer mungkin juga mempunyai pilihan untuk menjualnya kembali kepada syarikat, walaupun perkara ini jarang berlaku. Harga penebusan syer boleh tebus biasanya sama dengan harga terbitan, tetapi harga itu boleh ditetapkan secara berbeza.

HAK DAN KUASA PEMILIK SYER

Pemilik syer-syer biasa dalam syarikat diperuntukkan oleh Akta dengan hak dan kuasa-kuasa tertentu yang berkuatkuasa selagi mereka memegang syer-syer tersebut.

Hak-hak pemegang syer (syer biasa) dalam syarikat adalah seperti berikut:[4]

  • Hak menghadiri, menyertai dan bercakap dalam mesyuarat;
  • Hak mengundi dengan cara mengangkat tangan atas mana-mana resolusi syarikat;
  • Hak satu undi bagi setiap satu syer selaras dengan mana-mana resolusi syarikat;
  • Hak ke atas syer yang sama dalam pengagihan lebihan aset-aset syarikat; atau
  • Hak dalam mendapatkan pengagihan dividen.

tertakluk kepada terma dan syarat-syarat terbitan syer biasa yang dipersetujui oleh pemegang syer.

REGIM TIADA NILAI PAR

Sebelum Akta Syarikat 2016 berkuatkuasa, nilai nominal atau nilai par syer ditetapkan pada nilai muka RM1.00 bagi setiap unit syer yang dinyatakan dalam memorandum persatuan. Walau bagaimanapun, Akta Syarikat 2016 telah mewujudkan regim tiada nilai par bagi syer selaras dengan tren antarabangsa.

Nilai par syer syarikat akan dinilai menurut nilai aset nyata bersih (net tangible asset) semasa dibahagi dengan jumlah ekuiti syer yang diterbitkan oleh syarikat itu.

KESIMPULAN

Terbitan syer biasa pada kelas yang berbeza dilakukan untuk melindungi dan mengawal kepentingan ahli majoriti dalam sesuatu syarikat. Dengan adanya pengkelasan syer-syer biasa ini, hak mengundi pelabur boleh disekat, dikurangkan dan pelabur hanya fokus kepada pulangan dalam bentuk dividen sahaja.

———————————————–

[1] Seksyen 2 AS 2016

[2] Seksyen 69 AS 2016

[3] Seksyen 70 AS 2016

[4] Seksyen 71(1) AS 2016

Posted on 6 Comments

6 thoughts on “Penjenisan Syer Biasa

  1. […] Penjenisan Syer Biasa […]

    1. terima kasih bro!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *